Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,136,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam suatu majlis yang berlangsung di Masjid Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, baru-baru ini.
Menurut siaran media MAIPs, zakat tersebut dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, YBhg. Datuk Mohd Muazzam Mohamed kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs; dan turut disertai oleh Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan BIMB, Encik Mohd Nazri Chik; Pengarah BIMB Kawasan Utara, Encik Abdul Ghani Abdul Wahab; dan Pengarah BIMB Negeri Perlis/Kedah, Encik Hasnul Hadi,.
Majlis penuh bermakna ini turut disaksikan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama dengan Tuanku Raja Puan Muda Perlis berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda Kali Ke-14 Tahun 2025, dan menyantuni 300 orang asnaf terpilih dari kariah Batu Dua Jalan Padang Besar, Sempering, Mata Air dan Oran, dengan jumlah penuh diagihkan sebanyak RM210,000 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasakan kebajikan umat Islam di negeri ini.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan BIMB dalam usaha menyokong agenda pembangunan ummah melalui pembayaran zakat perniagaan, serta hubungan strategik bersama-sama dengan institusi agama negeri, khususnya MAIPs.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nizam Mohd Noor, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BIMB atas peningkatan mendadak jumlah sumbangan zakat pada tahun ini.
“Sumbangan ini bukan sahaja mengambil kira keperluan utama semasa di negeri Perlis, malah juga menyuntik semangat dan meningkatkan komitmen tinggi MAIPs untuk terus membantu golongan yang memerlukan secara lebih strategik dan berimpak tinggi,” ujar beliau.