Diterbitkan pada 16 Mei 2025, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Tidaklah patut bagi seseorang itu, setelah dia diberi oleh Allah kitab  agama dan kefahaman serta taraf nabi, dia mengatakan kepada manusia, ‘Hendaklah kamu menyembah aku dan meninggalkan perbuatan menyembah Allah.’ Sebaliknya, dia (patut) berkata, ‘Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah dengan ilmu dan amalan yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu dan kamu juga selalu mempelajarinya.”

(Surah Ali ‘Imran 3:79)

Guru diumpamakan penyambung risalah Rasulullah SAW. Guru bersedia mengambil tanggungjawab mendidik dan mengilmukan anak didik, mengasuh, mengajarkan adab dan nilai murni, serta membentuk akhlak dan sahsiah demi membangunkan kemuliaan insan selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutus, melainkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Menurut Imam al-Ghazali, guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut memimpin jiwa murid ke arah kebaikan dan mengenal Tuhan. Guru rabbani ialah guru yang bercirikan kemuliaan insan, yang menguasai dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada anak didik, dan secara beramanah menyempurnakan tanggungjawab membimbing manusia menemui sinar kebenaran, agar manusia mengabdikan diri semata-mata kepada Allah SWT.

Ayat 79 Surah Ali ‘Imran tersebut hendaklah dijadikan sebagai rujukan, yang menandakan tugas dan peranan besar seorang guru yang diamanahkan dengan ilmu. Warga guru bukan sekadar ditugaskan untuk mencanai pemikiran anak didik dengan ilmu, dengan harapan terbinanya masyarakat bertamadun, malah matlamat utama daripada ilmu adalah untuk melahirkan insan berpengetahuan yang menjunjung syariat Ilahi dengan menegakkan keadilan dan kebenaran, di samping mengamalkan nilai dan sikap seorang ilmuwan.

Ilmuwan tafsir, al-Sayuti menukilkan riwayat, kata-kata daripada Ibn Mas‘ud r.a. bahawa, “Bukanlah ilmu itu diperoleh daripada banyaknya riwayat, tetapi ilmu yang sebenar apabila bertambahnya ketakutan kepada Allah SWT.”

Yang berikut merupakan empat ciri guru rabbani:

Pertama: Mengikhlaskan niat untuk mendidik dan menyampaikan ilmu kerana Allah SWT. Guru hendaklah menjauhi niat, tujuan dan muslihat yang bersalahan dengan syarak, serta tidak meletakkan gaji, anugerah, pangkat atau pujian sebagai matlamat utama.

Kedua: Mengabadikan diri dengan ilmu, sentiasa meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran, serta memperkemas kaedah pengajaran berpandukan penggunaan teknologi moden.

Ketiga: Mempamerkan sikap selayaknya sebagai seorang guru. Tidak melakukan perbuatan yang mencemarkan maruah seorang guru dari segi perkataan dan tingkah laku, atau memuat naik kandungan yang tidak mencerminkan nilai seorang ilmuwan dalam media sosial.

Keempat: Mengamalkan ilmu yang dimiliki serta memiliki sifat mulia seperti sabar, tekun, teliti, prihatin, amanah dan berdaya menyelami jiwa dan memahami permasalahan anak didik, seterusnya membimbing mereka dengan penuh kasih sayang.

Ilmu ialah penyuluh landasan yang kelam. Ilmu mengupayakan insan menakhodai pelayaran kehidupan. Warga pendidik rabbani akan gigih berusaha dan tekun berikhtiar untuk melahirkan anak didik yang berilmu dan bercirikan kemuliaan insan, iaitu berakhlak mulia, kukuh jati diri, tinggi budi pekerti, beradab sopan, pandai menghormati, jujur dan bermaruah. Mereka juga bijak membezakan antara kaca dengan permata, antara kepalsuan dengan ketulenan, dan antara fitnah dengan kebenaran; di samping menghargai keamanan dan keharmonian serta menghargai khazanah alam, juga bersifat patriotik kepada negara bangsa, seterusnya mampu memberikan sumbangan bermakna yang dapat meraih kebaikan dunia dan akhirat.

Warga pendidik selayaknya dihormati, dihargai dan dikenang jasa mereka. Mereka telah mendidik generasi demi generasi. Mereka mencurahkan ilmu tanpa jemu, memberikan nasihat, menyuntik semangat, mendedikasikan seluruh hidup agar anak didik tahu membaca dan mengira, seterusnya melakar kejayaan menjadi insan berilmu, berpengetahuan, berakhlak mulia dan bermanfaat kepada negara bangsanya.

Sedarilah! Jikalau hari ini seorang raja menaiki takhta, jikalau hari ini seorang ulama bertaraf mulia, jikalau hari ini seorang menteri memiliki kuasa, jikalau hari ini seorang peguam menang bicara, jikalau hari ini seorang menjadi penulis terkemuka, sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, dengan lembut sabarnya mengajar, menulis dan membaca, pemberi paling setia, setiap akar ilmu miliknya, bagaikan pelita dan lampu, mewakili seribu buku, membimbing manusia menjadi dewasa. Guru ibarat ibu, bapa dan sahabat dalam hidup insan; semakin terpencil duduknya di ceruk desa, semakin bererti tugasnya kepada negara.

Guru laksana awan yang melimpahkan hujan pada musim gersang, menyegarkan benih ilmu berbuah hikmah; guru laksana kitab sejarah dalam bilik darjah, penelaah yang tekun, mewariskan dunia sebagai kutub khanah, mengemudi biduk; guru ialah batin suci hati nurani, pengunjung budi, manusia yang takwa, obor hemah kehidupan bangsa.

Bersempena dengan sambutan Hari Guru, umat Islam diingatkan tentang dua perkara yang berikut:

Pertama: Islam mengangkat tinggi martabat guru, meletakkan guru bertaraf murabbi, mualim, mursyid, dan muaddib, yang merujuk peranan guru yang lebih menyeluruh; insan yang kini menjunjung amanah untuk mencerahkan minda, menyampaikan ilmu dan mendidik manusia menemui Siratulmustakim.

Kedua: Hargailah guru yang begitu besar jasa mereka dalam hidup kita. Tunjukkan adab berterima kasih kepada guru dengan menghulurkan apa-apa penghargaan tanda menghargai jasa mereka, serta mendoakan kesejahteraan mereka.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 16 Mei 2025, bertajuk “Guru Rabbani: Membangun Kemuliaan Insan”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi