Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIslam menjadikan ilmu sebagai asas kepada pembinaan insan dan peradaban. Kewajipan menuntut ilmu dan penghormatan kepada golongan berilmu telah ditegaskan dalam nas al-Quran dan sunah. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Surah al-‘Alaq yang dimulakan dengan kalimah iqra’, bukan sekadar menyeru manusia kepada pembacaan, malah menjadi manifestasi kepada falsafah pendidikan dalam Islam yang mengajak manusia mengenal Tuhan melalui ilmu. Ilmu memainkan peranan penting untuk membina tamadun dan peradaban manusia. Ilmu juga menjadi asas kepada pembangunan masyarakat yang berakal, berpengetahuan dan beriman kepada Allah SWT.
Usaha untuk membawa manusia agar mengenali Allah SWT memerlukan seorang pembimbing yang amanah dan berilmu, iaitu insan yang bergelar guru. Mereka inilah yang memainkan peranan yang amat besar untuk mencorakkan pemikiran, memperkasakan akhlak dan membentuk jati diri masyarakat. Namun begitu, dalam perspektif Islam, seseorang guru tidak cukup sekadar menyampaikan ilmu kerana mereka perlu menjadi seorang guru rabbani, iaitu pendidik yang berintegriti, berakhlak dan menjadikan ilmu sebagai jalan untuk membawa pelajar mengenal Pencipta, serta menerapkan nilai wahyu yang dituntut dalam al-Quran dan sunah dalam jiwa pelajarnya.
Pendidikan dan Cabaran Semasa
Dalam era globalisasi dan digital masa ini, sektor pendidikan berdepan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Ledakan teknologi, perubahan gaya hidup, serta tuntutan terhadap pembinaan modal insan yang holistik telah mengubah landskap pendidikan negara secara menyeluruh. Seiring dengan perubahan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh ekosistem pendidikan, termasuklah menerapkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Namun begitu, perubahan pesat ini turut meletakkan tekanan baharu terhadap profesion perguruan. Para guru kini tidak lagi berperanan semata-mata sebagai penyampai ilmu, bahkan turut memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar. Antara cabaran yang dihadapi oleh para guru termasuklah:
Satu daripada cabaran utama ialah kurangnya kesedaran masyarakat terhadap peranan sebenar guru dalam sistem pendidikan moden. Guru sering kali dilihat hanya sebagai tenaga pengajar di dalam kelas, sedangkan pada hakikatnya mereka juga berperanan sebagai pembimbing emosi dan pembentuk sahsiah pelajar. Perjuangan guru untuk mendepani cabaran pendidikan masa ini bukanlah tugas yang ringan, malah menuntut kecekalan dalam usaha menyesuaikan diri dengan perubahan pesat zaman. Guru moden pada hari ini perlu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, bahkan juga memiliki keseimbangan antara ilmu dunia dengan ilmu akhirat dalam usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan tinggi.
2. Cabaran penggunaan teknologi dalam pengajaran
Pelaksanaan dasar pendidikan digital dan AI turut menjadi cabaran besar kepada guru, khususnya bagi mereka yang kurang pendedahan terhadap teknologi baharu. Walaupun KPM giat merangka pelan tindakan bagi mereformasi sistem pendidikan negara, namun kurangnya latihan intensif dan sokongan sistemik menyebabkan terdapat guru masih bergelut untuk mengadaptasi PdP berasaskan digital dengan berkesan. Cabaran ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan pengajaran, malah turut memberikan kesan terhadap motivasi dan keyakinan guru.
Oleh hal yang demikian, memahami dan menangani isu semasa merupakan langkah penting agar strategi yang lebih berkesan dapat dirangka bagi memartabatkan profesion perguruan dalam arus pendidikan yang semakin mencabar. Dalam kerangka ini, usaha melahirkan guru rabbani perlu diberi penekanan. Guru rabbani bukan sekadar mahir menyampaikan ilmu, bahkan juga mampu memimpin perubahan berteraskan hikmah, nilai Islam dan kefahaman yang menyeluruh selaras dengan tuntutan al-Quran dan sunah.
Kepentingan Ilmu dalam Islam
Ilmu diumpamakan seperti hujan lebat yang turun ke bumi, kerana hujan bukan sahaja memberikan pelbagai manfaat kepada tanah, bahkan juga kepada makhluk lain yang bergantung padanya. Ibn Hajar al-Asqalani berkata, “Sebagaimana hujan yang turun menghidupkan tanah yang mati, begitu jugalah ilmu agama yang akan menghidupkan hati yang telah mati.”
Menuntut ilmu merupakan tanggungjawab setiap manusia dan akan ditinggikan darjatnya oleh Allah SWT seperti yang disebut dalam firman-Nya yang bermaksud, “Nescaya Allah SWT akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah 58:11).
Tanggungjawab Guru Menyampaikan Ilmu
Menyampaikan ilmu merupakan tugas yang sangat mulia dalam Islam, sebagaimana Nabi Muhammad SAW diutus sebagai pendidik umat. Guru bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu, bahkan juga memainkan peranan penting untuk membentuk akhlak dan disiplin seseorang. Keperibadian yang baik dalam kalangan guru menjadi asas utama untuk melaksanakan tugas mendidik dengan berkesan, mempengaruhi keberhasilan pembelajaran dan membentuk generasi yang memenuhi keperluan duniawi, bahkan juga membawa keberkatan serta ganjaran di sisi Allah SWT.
Ganjaran bagi seorang guru sangat mulia kerana seseorang yang menunjukkan kebaikan atau mengajarkan ilmu kepada orang lain akan memperoleh pahala sepertimana pahala orang yang diajarkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.”
Keperibadian Guru Menurut al-Quran dan Sunah
Keikhlasan merupakan satu daripada asas terpenting dalam pendidikan Islam. Seseorang guru hendaklah menyampaikan ilmu dengan niat yang tulus kerana Allah SWT semata-mata, bukan didorong oleh keinginan untuk meraih pujian atau pengiktirafan duniawi. Tanpa keikhlasan, ilmu yang disampaikan akan kehilangan rohnya, dan keberkatan dalam proses pendidikan menjadi pudar.
Ibn Sahnun dalam karyanya, Adab al-Muallimin menjelaskan bahawa seorang guru perlu memiliki keikhlasan yang tinggi ketika melaksanakan tugasnya. Mereka tidak seharusnya mengungkit atau meminta-minta ganjaran atas ilmu yang diberikan. Bahkan, keikhlasan pendidik harus sampai ke tahap tanpa mengharapkan balasan daripada ilmu yang disampaikan. Sifat amanah dalam kalangan pendidik juga penting. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal 8:27).
2. Penyayang terhadap pelajar
Sifat kasih sayang yang ditunjukkan oleh pendidik bukan sahaja mencerminkan keperibadian dan perlakuan yang terpuji, malah menjadi asas penting untuk membentuk suasana pembelajaran yang positif antara guru dengan pelajar, seterusnya menyokong perkembangan pelajar secara holistik.
Sifat ini perlu disebarkan kepada seluruh anak didik atau murid tanpa memilih atau mengira latar belakang. Ilmu yang disampaikan dengan kasih sayang akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Para pendidik perlu bersikap adil dan menganggap muridnya seperti anak sendiri. Peranan pendidik yang bertanggungjawab untuk mengembangkan potensi murid mestilah dilaksanakan atas dasar kasih sayang. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah Maha Lembut dan mencintai kelembutan dalam setiap urusan.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2165).
3. Memiliki percakapan yang baik
Dalam proses pendidikan, seseorang pendidik digalakkan untuk menyampaikan ilmu dengan tutur kata yang lembut, bijaksana dan menggunakan bahasa yang baik. Pendekatan komunikasi yang penuh hikmah ini bertujuan agar perkara yang disampaikan dapat memberikan pengaruh positif kepada orang lain supaya mudah untuk diterima dengan hati yang terbuka dan mengurangkan konflik ketika di dalam bilik darjah. Percakapan yang baik juga mencerminkan keperibadian seorang guru, sekali gus mempengaruhi keberkesanan penyampaian ilmu. Tambahan pula, komunikasi yang berhikmah mampu membina hubungan yang harmoni antara guru dengan murid, mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan saling menghormati. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut.” (Surah Taha 20:43 – 44).
4. Berakhlak mulia
Akhlak yang mulia merupakan cerminan keperibadian seorang guru dan menjadi asas penting dalam pembentukan hubungan yang harmoni antara guru dengan murid. Pendidik yang memiliki akhlak terpuji akan melaksanakan segala perintah Allah SWT, memelihara adab dalam agama, dan mampu memelihara diri daripada sebarang bentuk kerosakan akidah dan akhlak.
Akhlak juga mencerminkan tahap keimanan seseorang hamba kepada Allah SWT. Setiap individu yang beriman dituntut untuk meneladani sifat terpuji, kerana Islam meletakkan nilai akhlak yang mulia sebagai salah satu asas utama dalam kehidupan beragama. Oleh itu, antara hikmah pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak aku diutus melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad, no. 8952).
Secara keseluruhannya, guru dalam Islam bukan sekadar penyampai ilmu, malah pendidik jiwa dan pembentuk akhlak. Ciri-ciri guru menurut al-Quran dan sunah merangkumi keikhlasan dan amanah, sifat penyayang, pertuturan yang baik dan akhlak yang terpuji. Setiap ciri ini harus menjadi asas kukuh bagi setiap pendidik untuk melaksanakan amanah mereka. Tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang ringan, tetapi menuntut kesungguhan, keikhlasan dan pengorbanan yang tinggi. Seorang guru bukan sahaja perlu menguasai ilmu, tetapi juga menjadi qudwah hasanah, iaitu contoh teladan dari segi akhlak, adab dan prinsip. Mereka bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan manusia dengan makna kehidupan yang