Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan perempuan (isteri tuan rumah) tempat tinggal Yusuf itu cuba menggoda Yusuf supaya berkehendak dengannya. Dia menutup pintu-pintu di rumahnya seraya merayu (kepada Yusuf), ‘Marilah ke mari, dekat denganku,’ Yusuf menjawab, ‘Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji ini) sesungguhnya tuanku (suami wanita itu) telah menyediakan tempat tinggal yang terbaik kepadaku. Sesungguhnya orang yang jahat (zalim) tidak akan berjaya.’”
(Surah Yusuf 12:23)
Dalam ayat lain pula, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Seorang daripada kedua-dua perempuan itu berkata, ‘Wahai ayahku, jadikanlah dia (Musa a.s.) sebagai pekerja (kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang ayah ambil sebagai pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.’”
(Surah al-Qasas 28:26)
Berpandukan Rang Undang-undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, di Malaysia, belia ditakrifkan sebagai lelaki dan wanita dalam lingkungan usia 15 tahun hingga 30 tahun. Belia di negara ini berjumlah 9.6 juta orang, mewakili 29 peratus daripada jumlah penduduk. Para ilmuwan Islam menyifatkan zaman keemasan seseorang berlaku ketika usia muda kerana mereka dianugerahkan oleh Allah SWT dengan pelbagai kelebihan, seperti memiliki tubuh badan yang kuat, semangat juang yang tinggi, keyakinan yang kukuh, keberanian menempuh cabaran, keupayaan berfikir secara kritis dan kegigihan mahu mencapai impian. Sayugia diingatkan bahawa kelebihan yang dimiliki oleh belia wajib bertunjangkan tauhid kepada Ilahi serta dilengkapi dengan ilmu yang bermanfaat, agar mereka dapat memberikan sumbangan yang bermakna untuk kebaikan dunia dan kesejahteraan akhirat.
Watak “kepemudaan” yang hebat terbukti dalam pelbagai kisah yang terkandung dalam al-Quran. Ayat 23 Surah Yusuf menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s. sewaktu usia muda yang digoda melakukan maksiat. Asbab berpegang teguh pada syariat Allah, serta meyakini bahawa setiap perbuatan keji bakal mengundang kemurkaan Ilahi, Nabi Yusuf a.s. tekad menolak perbuatan tersebut sekalipun dipaksa oleh wanita bangsawan yang mempunyai pengaruh dan kedudukan.
Ayat 26 Surah al-Qasas pula menceritakan kisah Nabi Musa a.s. sewaktu usia muda, membantu memudahkan kerja memberi minum haiwan ternakan; lalu dilamar oleh seorang wanita, ditawarkan bekerja bersama-sama ayahnya, kerana Nabi Musa a.s. dilihat sebagai pemuda yang mempunyai dua ciri, iaitu al-qawiy (kuat) dan al-amin (amanah). Al-qawiy bukan sekadar menggambarkan kekuatan fizikal, malah merangkumi kekuatan dalaman, memiliki jiwa yang kuat, keupayaan mengurus emosi, keyakinan pada kebolehan dan potensi diri, di samping melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.
Dua kisah tersebut memberikan pengajaran bahawa orang muda selayaknya memiliki iman yang teguh dan jati diri yang kukuh, agar berupaya menjunjung syariat Ilahi, membendung diri daripada perbuatan yang dimurkai; di samping berterusan meningkatkan keyakinan dan kebolehan diri yang diterjemahkan melalui sikap dan kelakuan yang baik, serta sentiasa bersegera dalam perkara kebaikan yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.
Wawasan dunia dan akhirat hendaklah dijadikan matlamat untuk menyempurnakan amanah sebagai khalifah Allah di bumi ini; iaitu berusaha memakmurkan dunia dengan perkara kebaikan dan kemajuan berpandukan syariat Ilahi; di samping menghindari perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan, agar berjaya meraih kebahagiaan di akhirat.
Sifat yakin pada kebolehan diri, iaitu percaya bahawa kesungguhan membuahkan kejayaan harus menjadi nadi dalam jiwa para pemuda. Belia yang yakin pada kebolehan diri dan belia yang memiliki kesungguhan berupaya memetakan perancangan, tujuan dan matlamat hidup, malah dapat mengembangkan bakat dan potensi diri, di samping berupaya menangani cabaran dan kesulitan yang dihadapi.
Untuk menghargai pentingnya peranan anak muda sebagai khazanah negara dan merupakan pemimpin masa hadapan, maka kerajaan telah mewujudkan Dasar Pembangunan Belia Negara yang mencorakkan belia dengan nilai luhur dan berwawasan. Anugerah Perdana Belia Negara yang dicalonkan kepada anak muda dan pertubuhan belia menandakan pengiktirafan dan penghargaan negara terhadap sumbangan bakti dan pencapaian belia dalam pelbagai bidang. Malah, pelibatan anak muda semakin ditingkatkan dalam pelbagai peringkat pentadbiran dan pengurusan kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, institusi dan masyarakat.
Para belia hendaklah bijak mengambil peluang, menggunakan masa muda sebaik-baiknya, berusaha meningkatkan ilmu, menyebarkan kebaikan, serta mengerjakan amal bakti dan amal jariah yang boleh membawa manfaat kepada diri, ummah, negara serta dunia.
Ketika meniti usia muda menuju alam dewasa, para belia bakal menghadapi pelbagai cabaran duniawi berbentuk godaan nafsu, hiburan, kebendaan, pujian, jawatan dan pelbagai lagi. Oleh itu, beberapa pesanan yang berikut perlu diambil perhatian oleh para belia:
Pertama: Meneladani sifat “kepemudaan” yang terkandung dalam al-Quran serta teladan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para ilmuwan dalam semangat mahu meningkatkan pengetahuan dan kepakaran; gunakan masa sebanyak mungkin untuk membaca dan menghadiri majlis ilmu.
Kedua: Mempamerkan sifat insan bertakwa dengan mengamalkan akhlak mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah serta melakukan perkara yang makruf dan menjauhi perkara yang mungkar.
Ketiga: Berpegang teguh pada prinsip kebenaran dengan menjulang keadilan dan bijak mentafsirkan antara permata dengan kaca. Pemuda juga perlu memiliki keberanian, lalu dengan berani lagi berhikmah menyuarakan teguran terhadap kemungkaran yang berlaku, seperti penyelewengan, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, ketidakadilan, sekalipun kemungkaran tersebut dilakukan oleh pemimpin negara, majikan, ketua, guru, ahli keluarga, sahabat taulan atau jiran tetangga.
Keempat: Menjauhi diri daripada terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan akidah dan moral seperti berfoya-foya, berjudi dan bergaul bebas tanpa batas.
Kelima: Menjaga kesihatan dengan mengambil makanan seimbang, beriadah, tidur dan rehat yang cukup, dan meninggalkan amalan yang merosakkan kesihatan seperti makan dan mengambil gula berlebihan, mengambil dadah, merokok dan menghisap vape, berjaga malam atau lewat tidur.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 9 Mei 2025, bertajuk “Belia Berkeyakinan: Memenuhi Wawasan Dunia dan Akhirat)