Diterbitkan pada 2 Mei 2025, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa sebagai sebuah institusi yang menjadi teras kepada pembangunan umat Islam, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hendaklah terus berperanan aktif dalam usaha memperkasakan ekonomi ummah melalui pengurusan zakat yang berkesan, pembangunan wakaf, serta program keusahawanan Islam yang mapan.

Pada masa yang sama, segala keputusan dan dasar yang telah dipersetujui dalam mesyuarat MAIPs mestilah dapat diterjemahkan dalam tindakan yang nyata, berimpak tinggi, serta memberikan manfaat kepada masyarakat Islam di Perlis.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan MAIPs Peduli berjumlah RM105,000 yang berlangsung di Masjid Solahuddin Al-Ayubbi, Padang Besar baru-baru ini.

Program ini dianjurkan oleh MAIPs bagi meringankan beban serta menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf berdasarkan kariah masing-masing di seluruh negeri.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan kepada 75 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Felcra Lubuk Sireh dan 75 orang lagi anak kariah Kampung Melayu.

Setiap mereka menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700 dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda turut mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja di negeri Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi