Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Gabenor Wilayah Tashkent, Uzbekistan, Mirzaev Zoir Toirovich, melahirkan rasa kagum terhadap inisiatif Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Program ini disifatkan sebagai suatu pendekatan inovatif yang membuka perspektif baharu dalam usaha menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf di negeri Perlis.
Pengalaman menyertai kayuhan di kawasan kampung sambil menyampaikan bantuan yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, meninggalkan kesan yang mendalam dan memberikan pengalaman unik kepada delegasi dari Uzbekistan.
“Pada awalnya, kami sedikit ragu dan tertanya-tanya tentang konsep kayuhan ini, namun selepas tamat program, kami sangat terpesona dengan keindahan negeri Perlis, kreativiti MAIPs untuk membantu golongan asnaf, serta keunikan dan keindahan Kampung Nelayan Warna-Warni,” ujar Gabenor Mirzaev.
Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev pula turut berkongsi pandangan bahawa delegasinya meneliti pendekatan yang diambil oleh MAIPs dan berhasrat untuk menjadikannya sebagai panduan dan melaksanakan konsep yang sama di Uzbekistan.
Beliau menambah bahawa kayuhan amal ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman mereka, malah memberikan banyak ilmu serta menjadi inspirasi kepada seluruh delegasi.
Delegasi Uzbekistan juga amat teruja melihat keindahan dan kepelbagaian warna-warni kampung di Perlis.
Maklumat dan pengalaman berharga ini dipersembahkan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas mengiringi baginda dalam program MAIPs Peduli yang berakhir di Pulau Ketam Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini.
Delegasi Uzbekistan turut disertai oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Wilayah Tashkent, Aripov Tokhir; Ketua Jabatan Pelaburan, Industri dan Perdagangan Wilayah Tashkent, Sharipov Najmiddinkhuja; serta Ketua Dewan Perdagangan dan Industri Wilayah Tashkent, Abdukhalilov Abdurasul.
Terdahulu, delegasi tersebut mengadakan sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Raja Muda di Balai Menghadap Biru, Istana Arau.
Dalam program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf yang masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah, di samping sumbangan peribadi tambahan daripada pihak delegasi Uzbekistan bagi membantu meringankan keperluan harian mereka.