Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Proses kawalan kualiti MS ISO 9001 dan 37001 perlu mengambil kira dan mengintegrasikan perubahan iklim yang menjadi isu global kini, serta bersandarkan syarak.
Pada 10 Julai 2024, SIRIM QAS International Sdn. Bhd. telah mengeluarkan notifikasi untuk memasukkan elemen dan piawaian berkaitan dengan perubahan iklim dalam Standard Sistem Pengurusan (MSS) sebagai kecaknaan terhadap isu global tersebut.
Eksekutif Kanan SIRIM Academy Sdn. Bhd., Encik Mohammad Izzat Naqib Md Yusof berkata, “Perubahan iklim terjadi disebabkan oleh tindakan manusia terhadap alam sekitar yang pada akhirnya boleh cenderung kepada amalan rasuah dalam urusan kerja dan kehidupan seharian.”
Beliau berkata demikian dalam Bengkel Penambahbaikan dan Pemurnian Sistem Pengurusan Kualiti dan Sistem Pengurusan Antirasuah di Dewan Seminar EDC, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kuantan, semalam.
“Sarjana Syed Muhammad Naquib al-Attas juga banyak menjelaskan tentang kepentingan manusia memahami ilmu alam bersumberkan agama kerana manusia sendiri merupakan sebahagian daripada elemen alam ini,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, “Terdapat suatu kajian oleh seorang pengkaji bahawa perbuatan rasuah yang dilakukan oleh manusia ini disebabkan keimanan diri yang tidak kuat.”
“Perkara tersebut benar kerana iman manusia boleh turun dan naik. Dengan berlakunya perubahan iklim, penguatkuasaan peraturan baharu berkaitan dengan alam sekitar dan sebagainya, membuatkan manusia mudah terjerumus dalam amalan rasuah demi memudahkan urusan kerja seharian yang terlalu banyak birokrasi,” jelas beliau.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa proses kawalan kualiti di agensi dan syarikat perlu turut mengambil kira kesan kerosakan kepada alam sekitar dan seharusnya bersandarkan syarak demi kemaslahatan seluruh makhluk di dunia ini, serta menghentikan amalan rasuah yang kian meruncing.
Jelas beliau, al-Quran juga banyak menyentuh berkenaan dengan kerosakan dan pencemaran alam yang berlaku dikaitkan dengan perbuatan manusia sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat 41 yang bermaksud, “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Beliau turut mengingatkan bahawa adab terhadap makhluk termasuk alam sekitar ialah gabungan hikmah dan ilmu dalam diri manusia.
Tanpa kedua-duanya, manusia akan mudah leka dan lalai sehingga memudaratkan diri sendiri dan alam sekitar.