Diterbitkan pada 4 April 2025, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal soleh. (Iaitu) orang yang bersabar dan berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.”

(Surah al-Ankabut 29:58-59)

Ujian yang datang daripada Allah SWT bertujuan untuk mengenal pasti sejauh mana kesabaran seseorang hamba dengan reda menerima ketentuan Ilahi. Ujian mendidik manusia untuk belajar berfikir secara positif kerana bagi mukmin yang teguh imannya, mereka sentiasa bersangka baik ketika menghadapi setiap ketentuan Ilahi dan mentafsirkannya sebagai tanda kasih sayang Allah untuk mengangkat darjat hamba-Nya yang bertakwa.

Kata-kata bersabar mudah diungkapkan, namun hakikatnya sukar diamalkan, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah yang amat berat, kecuali dalam kalangan mereka yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Sifat kesabaran yang teguh diperlihatkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika berhadapan dengan setiap ujian, dugaan dan tentangan ketika melaksanakan tanggungjawab seorang rasul menjunjung perintah daripada Allah SWT. Baginda diejek, dipersendakan dan dilemparkan dengan pelbagai fitnah dan cercaan kaum kafir untuk menghina dan merendahkan maruah Baginda.

Begitu juga sabar dan teguhnya para sahabat Baginda yang sama-sama menghadapi perbuatan zalim para penentang agama Allah. Contohnya, Bilal bin Rabah r.a. dijemur di bawah terik matahari dengan badannya dihimpit batu besar kerana keyakinan Bilal membenarkan akidah keesaan Allah SWT. Demikian pula kisah keluarga Yasir r.a. yang sabar menghadapi ujian, diseksa dengan kejam oleh kaum musyrikin yang memaksa mereka untuk kembali kepada amalan mempersekutukan Allah sehingga isteri beliau, Sumayyah ditikam dari arah qubulnya sehingga meninggal dunia. Sifat sabar setiap seorang daripada mereka terbina melalui keyakinan dan ketakwaan mereka mempercayai syurga yang dijanjikan sebagai ganjaran menegakkan agama Allah selaras dengan ayat 58 dan 59 Surah al-Ankabut yang menggambarkan keindahan mahligai syurga menanti kehadiran orang yang bersabar menjunjung agama Allah SWT.

Sabar dapat dibahagikan kepada tiga darjat:

Pertama: Sabar dalam ketaatan.

Merupakan darjat sabar tertinggi, berada di puncak untuk mendapat keredaan dan penerimaan Ilahi kerana bersabar melaksanakan ibadah dengan penuh ketaatan, keyakinan, kesungguhan, kesempurnaan, tawaduk dan khusyuk dengan menyerahkan diri khusus kepada Allah SWT.

Kedua: Sabar menjauhi kemaksiatan.

Bersabar menewaskan, menjauhi dan menghindari desakan nafsu yang mahu mempengaruhi manusia untuk melakukan perbuatan maksiat dan mungkar kerana pegangan iman dan takwa yang kukuh, serta takut kepada kemurkaan Allah SWT.

Ketiga: Sabar terhadap ketentuan dan musibah.

Bersabar menerima ketentuan atau musibah kerana keyakinan terhadap Allah SWT serta percaya bahawa setiap yang berlaku memiliki hikmah dan kebaikan yang tersirat di sebalik yang tersurat. Mereka yakin bahawa setiap ujian daripada Ilahi akan membuka jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apabila kita berazam dan bertekad untuk meneruskan ibadah dan amal soleh, sudah pasti ada ujian yang datang untuk menguji sejauh mana kesabaran dan kecekalan hati untuk terus beristiqamah. Sesungguhnya Allah SWT menguji hamba-Nya untuk melihat hamba-Nya yang ikhlas beramal dengan iman yang teguh dan hamba yang sekadar berpura-pura beramal dengan iman yang longgar. Sesungguhnya orang yang sentiasa bersabar melakukan ibadah tergolong dalam kalangan orang yang pemurah dan disukai, serta berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT sebagaimana sabda Baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

Maksudnya: “Barang siapa yang berusaha menjaga diri, maka Allah menjaganya, barang siapa yang berasa cukup, maka Allah mencukupinya. Barang siapa yang berusaha bersabar, maka Allah akan menjadikannya mampu bersabar dan tidak ada seorang pun yang dianugerahkan sesuatu yang lebih berharga daripada kesabaran.”

Kesimpulannya, terdapat empat pengajaran yang boleh diambil, iaitu:

Pertama: Ujian yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya jauh lebih berat daripada apa-apa yang dirasai oleh umat Islam pada masa ini, maka jadikanlah kesabaran yang dimiliki oleh Baginda dan para sahabat sebagai contoh ikutan untuk kita buktikan keyakinan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Kedua: Rahmat Ilahi tidak pernah terhenti terhadap mereka yang sentiasa taat dan yakin kepada Allah SWT dengan sifat sabar dan reda ketika menghadapi apa-apa jua ujian.

Ketiga: Allah SWT meninggikan darjat mereka yang bersabar dengan jaminan bahawa setiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan.

Keempat: Allah SWT menjanjikan ganjaran mulia dan tinggi kepada mereka yang sentiasa bersabar, iaitu mahligai indah di syurga sebagai tempat penginapan yang kekal abadi.

 

Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 4 April 2025, bertajuk “Rahmat Kesabaran”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi