Diterbitkan pada 5 Mac 2025, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam siri Syarahan Menteri oleh Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Saifuddin Nasution, beliau berkongsi tentang inti pati syarahan yang pernah disampaikan oleh Dr. Tareq al-Suwaidan, ilmuwan terkenal dari Kuwait berkaitan dengan permasalahan umat Islam dalam usaha mendepani kemajuan.

Dr. Tareq banyak menulis buku ilmiah seperti Islam Simplified dan Prophet Muhammad: The Hallmark of Leadership. Cabaran ini terdapat dan berlaku di mana-mana sahaja termasuklah dalam konteks memberdayakan kemajuan sesebuah institusi pengajian tinggi.

Lima cabaran utama yang dihadapi dalam konteks institusi pengajian tinggi adalah seperti perilaku tidak Islamik, ketidakcekapan, kemunduran, intelektual dan pemahaman dan kepimpinan yang dihuraikan seperti yang berikut:

  1. Perilaku Tidak Islamik

Hal ini merujuk tindakan, perkataan atau perilaku yang bertentangan dengan ajaran dan prinsip Islam yang terkandung dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Islam mengajarkan umatnya untuk berkelakuan dengan adab yang baik, mengikuti nilai moral yang tinggi dan menjauhi segala bentuk perilaku yang tidak selari dengan etika Islam.

Beberapa contoh perilaku tidak islamik yang sering berlaku di sesebuah institusi pengajian tinggi termasuklah mengadu domba dan fitnah, tidak menjaga kebersihan, menzalimi orang lain, menipu, membuat tuntutan palsu, menyalah guna kuasa untuk kepentingan diri, kemalasan, bertangguh kerja dan kelewatan dalam tugasan. Hal ini bukan sahaja mencemarkan suasana akademik, tetapi juga menjejaskan keharmonian komuniti kampus.

  1. Ketidakcekapan

Ketidakcekapan dalam Islam merujuk tindakan atau perilaku yang tidak menggunakan sumber atau masa dengan sebaik-baiknya. Hal ini bertentangan dengan prinsip Islam yang mengutamakan kecekapan, keberkesanan dan penggunaan sumber secara bijaksana. Islam menggalakkan umatnya untuk bekerja dengan penuh tanggungjawab, berusaha sebaik-baik mungkin dan tidak membazirkan masa atau usaha.

Sebagai contoh, dalam Surah al-Jumu‘ah ayat 9, umat Islam diajar untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi berdasarkan prinsip Islam, bahkan banyak hadis Rasulullah SAW yang menekankan peri pentingnya bekerja dengan tekun dan menghindari pembaziran.

Beberapa contoh ketidakcekapan dalam konteks institusi pengajian tinggi termasuklah pembaziran masa dan sumber, kemudahan tidak digunakan sepenuhnya, kurangnya inovasi untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran, lambat membuat keputusan dan bertangguh untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

  1. Kemunduran

Kemunduran dalam Islam merujuk keadaan kemunduran atau kegagalan untuk maju, sama ada dalam aspek ilmu pengetahuan, sosial, ekonomi ataupun moral. Situasi ini bertentangan dengan prinsip Islam yang mendorong umatnya agar sentiasa berkembang dan memperbaik diri. Islam bukanlah agama yang menggalakkan kemunduran, sebaliknya mengajar tentang peri penting kemajuan dan perkembangan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Dalam Islam, konsep kemunduran tidak dinyatakan secara langsung dalam hadis, namun banyak hadis yang menggariskan prinsip yang boleh dihubungkan dengan idea kemunduran. Hadis ini memberikan petunjuk tentang pentingnya pengetahuan dan usaha berterusan dalam hal menuntut ilmu, serta kewajipan untuk memperbaik akhlak dan iman agar umat Islam tidak terjerumus dalam kemunduran, baik dari aspek intelektual, sosial mahupun moral.

Kemunduran dalam institusi pengajian tinggi berlaku akibat daripada ketidakseimbangan dalam pendekatan pendidikan yang mengabaikan integrasi ilmu agama dan ilmu dunia, serta kurangnya penekanan terhadap pembangunan etika dan akhlak berdasarkan prinsip Islam.

Oleh itu, untuk membangunkan warga pelajar di sesebuah institusi pengajian tinggi, penekanan perlu diberi bukan sahaja berkualiti dari aspek intelektual, tetapi perlu juga mengutamakan pembentukan sahsiah yang seimbang dan berlandaskan nilai Islam yang sebenar.

  1. Intelektual dan Pemahaman

Intelektual dan pemahaman dalam Islam merujuk pemikiran intelektual dan kefahaman yang bukan sahaja melibatkan pengetahuan duniawi, tetapi juga pengetahuan yang mendalam dalam aspek spiritual, moral dan sosial. Tujuan penyampaian ilmu dalam institusi pengajian tinggi adalah untuk membentuk masyarakat yang seimbang antara kecemerlangan intelektual dengan penghayatan nilai agama. Individu yang lahir melalui institusi pengajian tinggi tidak hanya cerdas secara intelektual, tetapi juga mempunyai pemahaman dan penghayatan yang tinggi terhadap nilai dan akhlak Islam.

Yang berikut ialah beberapa aspek utama tentang intelektual dan pemahaman Islam dalam konteks institusi pengajian tinggi:

i. Kepentingan dan Kewajipan Menuntut Ilmu

Islam sangat menekankan pencarian ilmu sebagai asas pembangunan insan yang holistik. Kepentingan ilmu ini disebut dalam Surah al-‘Alaq ayat 1 yang bermaksud, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” Institusi pengajian tinggi tidak sepatutnya hanya berfungsi sebagai medium penguasaan ilmu duniawi bagi meningkatkan kemahiran intelektual semata-mata, tetapi juga untuk memperkaya pemahaman spiritual dan menanam nilai ketuhanan. Keseimbangan antara ilmu fardu ain di samping ilmu fardu kifayah dapat membantu individu memahami tujuan dan matlamat kehidupannya di dunia dan di akhirat.

ii. Membentuk Pemikiran Kritikal dan Rasional

Al-Quran sentiasa menggalakkan umat Islam untuk berfikir secara kritikal dan rasional. Pendidikan dalam Islam bertujuan untuk membentuk minda yang mampu membuat keputusan yang bijak berdasarkan pengetahuan dan pemahaman yang tepat. Sebagai contoh, firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 190 yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berfikir.”

Institusi pengajian tinggi perlu menggalakkan pelajar dan warga untuk berfikir secara kritikal dan kreatif.  Hal ini termasuklah menggalakkan pelajar dan warganya untuk bertanya, menganalisis, menilai dan mengembangkan pemahaman dengan pendekatan yang berlandaskan nilai Islam.

iii. Mengintegrasikan Ilmu Dunia dan Akhirat

Pendidikan dalam Islam menuntut keseimbangan antara ilmu dunia dengan ilmu akhirat sebagai teras kepada pembangunan insan yang seimbang. Institusi pengajian tinggi perlu menyediakan kurikulum integrasi yang menggabungkan ilmu duniawi seperti ilmu sains, teknologi dan matematik dengan ilmu agama seperti ilmu akidah, fiqah, tafsir, hadis dan akhlak. Kedua-dua bidang ini perlu diintegrasikan supaya pelajar tidak hanya kompeten dan cemerlang dalam bidang profesional, tetapi juga memiliki asas spiritual yang kukuh untuk keseimbangan kehidupan dunia dan akhirat.

iv. Membentuk Akhlak dan Etika

Pendidikan dalam Islam tidak hanya berfokus pada pembangunan intelektual, tetapi juga terhadap pembentukan akhlak dan etika yang baik. Institusi pengajian tinggi perlu memberikan penekanan terhadap pendidikan akhlak bagi membentuk pelajar yang mengamalkan akhlak mahmudah dan menjauhi akhlak mazmumah sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pendidikan akhlak ini bertujuan untuk melahirkan individu yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berkeperibadian mulia serta bermanfaat kepada masyarakat.

v. Menghargai Perbezaan Pendapat dan Kepelbagaian

Islam mengiktiraf kepelbagaian sebagai rahmat. Terdapat ruang untuk perbezaan pendapat dalam Islam terutamanya dalam perkara yang tidak berkaitan dengan prinsip utama agama. Institusi pengajian tinggi perlu menggalakkan pelajar untuk menghargai kepelbagaian pendapat dan perspektif, serta mengajar warganya kaedah berdialog secara konstruktif dan berbincang dengan penuh rasa hormat. Pendekatan ini penting bagi melahirkan masyarakat yang inklusif sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 8 yang bermaksud, “Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil.” Selain itu, hal tersebut juga dapat membentuk pemikiran yang lebih terbuka dan menghargai perbezaan dalam masyarakat yang pelbagai selaras dengan nilai dan prinsip Islam.

vi. Menerapkan Teknologi dan Inovasi

Islam sangat menggalakkan pencarian ilmu dan penggunaan teknologi untuk kebaikan umat manusia. Oleh itu, institusi pendidikan tinggi perlu menggunakan teknologi moden dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan.

vii. Pendidikan sebagai Wadah untuk Kesejahteraan Masyarakat

Islam mengajar bahawa ilmu dan pendidikan ialah alat untuk memajukan masyarakat. Institusi pengajian tinggi harus memberikan penekanan terhadap pengajaran yang mendorong pelajar untuk berkhidmat kepada masyarakat. Pelajar perlu diajar untuk menggunakan ilmu dengan cara yang memberikan manfaat kepada manusia, menjaga kesejahteraan sosial, menegakkan keadilan dan berusaha untuk kebaikan bersama.

  1. Kepimpinan

Menurut Dr. Tareeq al-Suwaidan, permasalahan umat Islam yang berkaitan dengan kepemimpinan dapat dilihat dari pelbagai aspek. Beberapa permasalahan utama yang beliau kenal pasti adalah seperti yang berikut:

a. Krisis Kepemimpinan yang Berlanjutan

Satu daripada permasalahan terbesar ialah krisis kepemimpinan yang terjadi di dunia Islam. Dr. Tareeq al-Suwaidan mengungkapkan bahawa umat Islam sering kali kekurangan pemimpin yang memiliki visi yang jelas, serta kemampuan untuk mengelola perubahan. Hal ini menyebabkan sesebuah institusi terjebak dalam ketidakstabilan.

b. Pemimpin yang Tidak Amanah

Banyak pemimpin yang tidak memenuhi tanggung jawab mereka sebagai amanah yang diberikan oleh Allah SWT. Mereka banyak mengutamakan kepentingan peribadi atau kelompok, berbanding dengan kepentingan rakyat, sehingga menyebabkan berlaku ketidakadilan dan ketempangan sosial.

c. Kepemimpinan yang Tidak Berdasarkan Ilmu

Menurut Dr. Tareeq al-Suwaidan, satu daripada masalah yang muncul ialah banyaknya pemimpin yang kurang memiliki ilmu atau pemahaman yang mendalam tentang prinsip Islam dalam kepimpinan, dan kurangnya pengetahuan dalam pengaplikasian teknologi terkini seperti kepintaran buatan dan sains data. Tanpa dasar ilmu yang kuat, pemimpin sering kali mengambil keputusan yang tidak tepat, yang pada akhirnya merugikan institusi.

d. Pemisahan antara Pemimpin dengan Warga

Dr. Tareeq Al-Suwaidan juga menyoroti masalah adanya jurang yang besar antara pemimpin dengan warga institusi pengajian tinggi. Pemimpin yang tidak dekat dengan warganya atau tidak memahami keperluan dan permasalahan yang dihadapi oleh warganya akan menghadapi kesulitan untuk membuat keputusan yang efektif dan bermanfaat untuk sesebuah institusi.

e. Penyalahgunaan Kuasa

Penyalahgunaan kuasa juga merupakan masalah besar dalam kepemimpinan sebagaimana yang diutarakan oleh Dr. Tareeq al-Suwaidan. Banyak pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk keuntungan peribadi, yang mengarah kepada ketidakadilan dan ketempangan sesebuah institusi.

Dalam konteks institusi pengajian tinggi, seseorang pemimpin yang dipilih di sesebuah institusi pengajian tinggi perlulah dalam kalangan orang yang mempunyai kompetensi dan kecemerlangan akademik dan terbukti kejayaannya dalam bidang yang menjurus kepada ketampakan, dan agak tidak keterlaluan jika dikatakan setiap pemimpin perlu dinilai dari aspek pengalaman, kecemerlangan dalam akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan mempunyai kemampuan jaringan kolaborasi yang kukuh dari dalam dan luar negara. Hal ini bagi membolehkan seseorang pemimpin dapat menerajui institusi dengan visi dan misi dan dihormati oleh pemegang taruh. Hal ini juga supaya penerimaan warga institusi itu tidak dipertikaikan, dan tidak mendapat penerimaan penuh yang berkemungkinan akan menyebabkan perjalanan sesebuah institusi akan terganggu.

Selain itu, Dr. Tareed al-Suwaidan menekankan bahawa untuk mengatasi permasalahan kepimpinan ini, umat Islam perlu kembali kepada nilai kepimpinan yang diajarkan dalam Islam, iaitu kepimpinan yang adil, serta menjurus kepada ilmu dan amanah. Selain itu, penting juga untuk menciptakan pemimpin masa hadapan yang memiliki kualiti dan wawasan yang luas, serta mampu membawa perubahan positif bagi sesebuah institusi.

Secara keseluruhan, permasalahan yang dibangkitkan oleh Dr. Tareq al-Suwaidan merupakan sesuatu yang perlu kita fikir dan renungkan untuk memastikan sesebuah institusi dapat berkembang mengikut landasan Islam.


Shukor Sanim Mohd Fauzi merupakan Mantan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, dan Noraini Ismail merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari, UiTM Cawangan Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi