Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan penyucian jiwa, peningkatan ketakwaan dan penyatuan umat.
Pada bulan yang penuh keberkatan ini, setiap amalan akan dilipatgandakan pahalanya dan sesiapa yang berdoa akan dikabulkan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis.
“Oleh itu, kita perlu sama-sama membuat persediaan yang rapi, bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga dari segi rohani.
“Tujuan utama puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga untuk membentuk peribadi yang lebih bertakwa, sabar dan penyayang.
“Bulan Ramadan juga menjadi ruang terbaik untuk memperbaik diri, meningkatkan amalan serta mengeratkan lagi hubungan sesama manusia,” titah baginda.
Baginda turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Baginda yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM210,000 kepada seramai 300 orang asnaf terpilih.
Setiap asnaf menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, selain turut menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri.