Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApabila berada dalam bulan Rejab mengikut takwim Hijri, umat Islam akan diperdengarkan dengan kisah Israk dan Mikraj, iaitu peristiwa yang memperlihatkan keagungan Allah SWT serta keistimewaan Rasulullah SAW di sisi-Nya. Israk dan Mikraj merupakan peristiwa benar yang menguji keimanan seseorang sama ada mempercayainya ataupun boleh menjadi sebab seseorang Muslim terjerumus dalam lembah kekufuran sekiranya menafikan kebenaran peristiwa tersebut.
Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW bersama-sama malaikat Jibril pada waktu malam dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa, manakala Mikraj merujuk perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidilaqsa ke Sidratulmuntaha untuk bertemu Allah SWT. Kedua-dua perjalanan tersebut berlangsung dengan izin dan kuasa Allah SWT. Israk dan Mikraj ialah peristiwa yang benar-benar berlaku dan dialami sendiri oleh Rasulullah SAW secara roh dan jasad. Inilah antara perkara ghaib yang wajib diimani oleh Muslim tentangnya meskipun peristiwa tersebut di luar kebiasaan dan adat kehidupan manusiawi.
Sebenarnya, perkara utama yang menjadi misi terpenting perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj adalah berkenaan dengan kewajipan menunaikan solat fardu lima kali sehari bagi seluruh umat Islam yang menjadi satu daripada lima tonggak Rukun Islam. Beberapa perkara penting yang perlu difahami berkaitan dengan solat menerusi peristiwa Israk dan Mikraj ialah:
Pensyariatan ibadat solat dilakukan secara langsung apabila Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW menemui-Nya di Sidratulmuntaha. Hal ini berbeza daripada pensyariatan ibadat lain dalam Islam yang ditetapkan menerusi penurunan wahyu daripada Allah SWT. Kepentingan solat juga terbukti apabila solat menjadi amalan pertama yang dihitung di akhirat nanti. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
Sesungguhnya amalan yang mula-mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Sekiranya baik solatnya, maka baik segala amalannya. Sekiranya buruk solatnya, maka buruklah segala amalannya.
(Hadis riwayat al-Tabarani).
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada tahun kesedihan yang dikaitkan dengan pemergian isteri Rasulullah SAW yang tercinta, iaitu Sayidatina Khadijah dan juga pemergian bapa saudara yang banyak memberikan perlindungan kepada Baginda, iaitu Abu Talib. Kedua-duanya meninggal dunia pada saat Rasulullah SAW masih memerlukan sokongan mereka. Kesedihan yang dialami oleh Baginda diubati dengan peristiwa Israk dan Mikraj untuk menerima kefarduan solat lima waktu.
Hal ini membuktikan bahawa solat dapat mendidik diri agar mempunyai daya tahan dan semangat yang kuat bagi menempuh ujian kehidupan. Sesungguhnya solat ialah medium komunikasi seseorang hamba dengan Allah SWT, justeru solat perlu dilaksanakan dengan penuh khusyuk kerana solat merupakan peluang terbaik untuk seseorang hamba meminta dan merayu kepada-Nya.
Kehidupan orang beriman tidak akan sunyi daripada 1001 ujian dan cabaran. Allah SWT menyatakan bahawa sememangnya kehidupan orang beriman akan diselubungi ujian dan cubaan agar diri terus bergantung harap kepada-Nya. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah al-Ankabut 29:2).
Oleh itu, solat ialah ibadat yang dapat menenangkan jiwa bagi hamba-Nya yang dapat melaksanakannya dengan penuh khusyuk. Seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Hudzaifah berkata, “Apabila datang masalah, Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat.” (Hadis riwayat Ahmad).
Ibadat solat yang dilakukan oleh Muslim pada setiap hari ialah manifestasi kebergantungan hamba kepada Penciptanya. Tidak ada sesiapa yang dapat membantu manusia keluar daripada kesulitan hidup melainkan kesemuanya hanya datang daripada Allah SWT dengan sifat al-Rahman (Maha Pemurah) dan al-Rahim (Maha Mengasihani). Hal ini sepertimana yang dinyatakan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah 2:45).
Rasulullah SAW juga menjelaskan dalam hadisnya yang bermaksud, “Seorang hamba akan menjadi paling dekat dengan Rabnya saat dia sedang sujud. Maka itu, perbanyaklah doa (ketika sujud dalam solat).” (Hadis riwayat Muslim).
Peristiwa Israk dan Mikraj merakamkan perihal solat yang pada asalnya difardukan sebanyak 50 waktu sehari semalam dalam kehidupan Muslim. Namun begitu, pada akhirnya, ibadat solat difardukan sebanyak lima waktu sahaja dengan ihsan dan rahmat daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah SWT berfirman: Lima waktu dan ia sebenarnya menyamai 50 waktu solat. Keputusan ini tidak berubah di sisi-Ku.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Maka itu, jelaslah bahawa ibadat solat fardu, meskipun hanya dilakukan sebanyak lima waktu, tetapi pahalanya menyamai 50 waktu solat.
Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj perlu dijadikan asas untuk setiap Muslim melakukan muhasabah diri tentang pelaksanaan ibadat solat fardu. Tunaikanlah solat fardu dengan cara yang sempurna dan jangan sekali-kali berasa terbeban akan pelaksanaan ibadat solat. Solat ialah ibadat paling utama dalam Islam dan mempengaruhi penerimaan amal ibadat lain yang dilaksanakan dalam kehidupan.
Sesungguhnya solat yang dilakukan dengan sempurna dapat menjadi pendinding diri daripada melakukan sebarang dosa dan maksiat. Jika hal ini masih belum berlaku dalam diri, maka semaklah tatacara pelaksanaan ibadat solat yang kita lakukan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud,
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa-apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa-apa yang kamu kerjakan.
(Surah al-Ankabut 29:45).
Penulis ialah Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin.