Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBulan ini merupakan waktu yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pelajar sekolah kerana akan bermula cuti persekolahan yang agak panjang di seluruh tanah air. Walaupun terdapat peperiksaan awam yang berlangsung dalam tempoh tersebut, namun itulah masa yang sangat berharga buat ibu bapa untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Sebagai ibu bapa, menggembirakan ahli keluarga terutamanya anak-anak dengan membawa mereka bercuti tergolong dalam amalan yang terpuji. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik kalian ialah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku ialah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Apabila seseorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).
Terdapat perbezaan antara cuti sekolah bagi generasi dahulu dengan generasi pada masa ini. Pada masa dahulu, apabila bermula cuti sekolah, ibu bapa akan menetapkan lokasi untuk bercuti. Situasi agak berbeza daripada masa ini apabila kebanyakan ibu bapa perlu memenuhi permintaan destinasi pilihan anak memandangkan terlalu banyak lokasi menarik dipaparkan terutamanya menerusi media sosial.
Tempoh cuti persekolahan selama kira-kira sebulan ini merupakan waktu yang amat dinanti-nantikan terutamanya bagi pelajar sekolah rendah. Pastinya berbagai-bagai aktiviti sudah dirancang bersama-sama keluarga sejak sebelum cuti persekolahan bermula lagi.
Pastinya titipan ingatan oleh lebih kurang 400 000 orang guru sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah agar para pelajar mengisi masa cuti persekolahan dengan aktiviti berfaedah haruslah dijadikan panduan buat ibu bapa yang merancang aktiviti yang bermanfaat buat anak mereka.
Sementara itu, sering kali terpampang pada dada akhbar tentang kes yang melibatkan pelajar sekolah termasuklah kemalangan jalan raya akibat daripada aktiviti lumba haram, aktiviti menunggang basikal lajak, pergaduhan, serta aktiviti yang tidak bermoral kerana kurang pengawasan oleh ibu bapa selain tiada pengisian yang bermanfaat ketika cuti persekolahan.
Pada zaman moden dan serba canggih ini, situasi anak di bangku sekolah tidak seperti dahulu lagi. Kebolehcapaian Internet yang mudah dan pengaruh media sosial merupakan cabaran yang perlu dihadapi dengan bijak oleh ibu bapa. Pergerakan anak serta aktiviti mereka dalam alam maya perlulah diawasi dengan berhati-hati agar dapat menghindari perkara yang tidak diingini. Oleh itu, ibu bapa haruslah meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama anak agar mereka tidak berasa bersendirian dan terasing ketika cuti persekolahan.
Realitinya, para pelajar kini lebih proaktif dan kreatif mengisi masa lapang ketika cuti persekolahan. Oleh itu, ibu bapa haruslah bertindak sebagai penasihat utama dalam mengawal aktiviti anak agar tidak terjebak dengan gejala yang tidak bermoral. Peranan ibu bapa ini selaras dengan sabda Rasulullah yang bermaksud, “Setiap anak yang dilahirkan umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hal ini jelas menunjukkan bahawa anak memerlukan bimbingan, panduan dan nasihat daripada ibu bapa ketika menjalani kehidupan.
Antara aktiviti bermanfaat yang boleh dilakukan oleh anak sewaktu cuti persekolahan termasuklah mengulang kaji pelajaran, mendalami ilmu agama, menziarahi keluarga di kampung, melakukan tugasan di rumah agar melatih diri berdikari, serta aktiviti kesukarelawanan dalam komuniti. Aktiviti tersebut merupakan proses pembelajaran yang berkesan untuk membentuk jati diri kerana proses pembelajaran bukan hanya diperoleh di sekolah semata-mata, malah yang lebih utama bermula dari rumah.
Sekiranya ibu bapa berkesempatan membawa anak pergi melancong di mana-mana lokasi menarik sama ada di dalam ataupun di luar negara, luangkanlah masa berharga tersebut untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat seperti mengunjungi tempat bersejarah. Lokasi ini biasanya menawarkan pengalaman menarik yang berkonsepkan lawatan sambil belajar. Aktiviti seperti ini secara tidak langsung boleh memupuk kecenderungan anak untuk menerokai sesuatu bidang yang diminati.
Satu aspek yang perlu diperhalusi dalam merancang percutian keluarga ialah kos percutian. Meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama keluarga tidak semestinya memerlukan kos yang mahal jika kita bijak merancang. Banyak destinasi percutian yang tidak memerlukan kos yang tinggi seperti taman awam, air terjun selain pantai yang cantik dan indah yang boleh menenangkan fikiran. Wang ringgit boleh dicari, namun detik indah bersama-sama ahli keluarga terutamanya sewaktu anak sedang membesar pastinya sukar diperoleh kembali apabila mereka telah dewasa kelak.
Usahlah menetapkan percutian sebagai suatu kemestian sehingga membebankan diri khususnya dalam aspek kewangan. Perkara ini juga perlu dipertimbangkan kerana selepas tempoh cuti persekolahan kelak, beberapa keperluan utama seperti persiapan persekolahan sesi baharu tahun 2025 dan persiapan menyambut Ramadan serta Syawal juga memerlukan perancangan kewangan yang teliti.
Antara sifat orang beriman termasuklah amat menghargai masa dan tidak melakukan sesuatu perkara yang sia-sia. Seharusnya tempoh cuti persekolahan anak dimanfaatkan sebaik-baik mungkin agar membawa faedah yang dapat menjadikan mereka mempunyai nilai karamah insaniah yang unggul dan terpuji.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seseorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu ialah kebaikan baginya.
(Hadis riwayat Muslim).
Penulis tertarik akan langkah beberapa orang usahawan yang dikenali menghantar anak mereka melakukan pekerjaan sambilan sama ada di premis perniagaan milik sendiri ataupun rakan niaga yang lain. Sepatutnya, boleh sahaja anak tersebut untuk duduk berehat di rumah dengan menikmati kemudahan yang dimiliki, namun aktiviti tersebut dapat memberikan pengalaman berharga terutama dalam mengenal erti kesukaran memperoleh rezeki yang halal serta pendedahan dengan alam pekerjaan yang sebenar. Pastinya, secara tidak langsung anak akan lebih menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa serta tidak mudah membazirkan wang sesuka hati.
Oleh itu, semua pihak wajar menghayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Jadikanlah cuti persekolahan anak sebagai tempoh yang memberikan manfaat kerana mereka merupakan saham akhirat yang tidak ternilai untuk ibu bapa.
Penulis merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM).