13 Disember 2024, 14:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan carilah pahala dan kebahagiaan hari akhirat dengan harta kekayaan yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadamu, tetapi jangan kamu lupa akan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah ruah). Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qasas 28:77)

Harta perolehan atau dikenali sebagai al-mal al-mustafad merujuk apa-apa juga harta dan pendapatan yang diperoleh merangkumi gaji, upah kerja, elaun, bonus, hadiah dan sebagainya. Ilmuwan Islam berpandangan bahawa diwajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji yang diterima. Perolehan harta al-mal al-mustafad yang telah ditolak perbelanjaan keperluan asas (kifayah) dan melebihi kadar nisab semasa wajib dizakatkan tanpa menunggu haul (setahun pemilikan).

Ayat 77 Surah al-Qasas tersebut menunjukkan bahawa harta yang dikurniakan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar mendapat keberkatan di dunia dan memperoleh kebahagiaan di akhirat. Ahli tafsir, al-Razi menyatakan bahawa harta seharusnya digunakan pada jalan infak bagi memenuhi bahagian fakir miskin agar mereka juga berupaya meneruskan kehidupan.

Hikmah pensyariatan ibadat zakat bertujuan untuk menyucikan dan menambah keberkatan harta; membersihkan jiwa daripada sifat mazmumah seperti bakhil, tamak dan haloba; dan memupuk sifat ihsan, iaitu sifat pemurah dan bersedia membantu golongan yang memerlukan. Zakat harta bukan sahaja terdiri daripada zakat perniagaan, simpanan, emas dan perak, malah perolehan daripada gaji dan upah yang diterima pada setiap bulan juga termasuk sebagai harta yang diwajibkan zakat.

Yang berikut merupakan empat jenis harta perolehan yang diwajibkan zakat:

Pertama: Harta penggajian dan upah, iaitu harta yang diperoleh oleh seseorang daripada pekerjaan yang dilakukannya dalam bentuk gaji, elaun, bonus, tuntutan kerja lebih masa, ganjaran, pampasan, pencen dan insentif.

Kedua: Harta kerja secara bebas, iaitu harta yang diperoleh oleh seseorang melalui bayaran sebagai kontraktor, perkhidmatan perundingan, hasil penulisan dan penerbitan, kegiatan seni seperti jualan lukisan, serta imbuhan jualan takaful dan saham atau hartanah.

Ketiga: Harta pemberian atau sumbangan, iaitu harta yang diperoleh oleh seseorang, seperti hibah, hadiah, sagu hati, pencen pasangan, pampasan, harta pusaka dan mahar perkahwinan.

Keempat: Al-mal al-mustaghallat, iaitu harta yang diperoleh daripada harta yang tidak diwajibkan zakat, tetapi mendatangkan pendapatan melalui jualan, sewaan atau jualan hasilnya, seperti hasil sewaan bangunan, kenderaan dan peralatan; hasil jualan aset alih dan aset tidak alih; hasil jualan tanaman seperti kelapa sawit dan durian, hasil jualan ternakan seperti lembu dan kambing, dan hasil jualan bahan makanan seperti susu, telur dan madu.

Kiraan layak membayar zakat harta perolehan hendaklah berpandukan kaedah yang berikut:

Pertama: Kira perolehan tahunan yang diterima merangkumi gaji, elaun, bonus, sewaan dan lain-lain perolehan, kemudian ditolak keperluan perbelanjaan asas (kifayah) yang dibenarkan.

Kedua: Bandingkan jumlah perolehan tahunan dengan kadar nilai nisab minimum (85gram emas) atau bersamaan RM31,600 (tiga puluh satu ribu enam ratus).

Umat Islam diseru agar segera menunaikan pembayaran zakat sebelum 31 Disember pada setiap tahun. Hal ini penting bukan sahaja untuk melaksanakan kewajipan agama, malah memberikan manfaat langsung kepada pembayar zakat yang layak mendapat 100 peratus rebat cukai pendapatan, jika zakat ditunaikan dalam tahun semasa.

Selain itu, umat Islam diingatkan tentang tiga perkara yang berikut:

Pertama: Zakat ialah rukun Islam yang wajib dipenuhi. Memenuhi kewajipan berzakat menandakan keimanan dan bukti kesyukuran seseorang hamba terhadap nikmat kurniaan Ilahi.

Kedua: Amalan berzakat dan berwakaf berupaya membangun dan mengukuhkan ekonomi umat Islam, yang dapat memberikan pulangan kebaikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Ketiga: Umat Islam boleh merujuk pejabat Baitulmal, amil bertauliah dan boleh melayari laman web yang disediakan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri masing-masing untuk mendapatkan panduan lanjut tentang kaedah pembayaran dan urusan zakat.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 13 Disember 2024, bertajuk “Kewajipan Membayar Zakat Harta Perolehan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.