Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “… Kami menjadikan besi mempunyai kekuatan yang hebat dan banyak manfaat bagi manusia. (Dijadikan besi sebegitu supaya manusia menggunakan faedahnya itu dalam kehidupan seharian mereka) dan agar Allah mengetahui orang yang (menggunakan kekuatan dan kehandalannya itu untuk) menegakkan dan mempertahankan agama Allah dan para rasul-Nya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
(Surah al-Hadid 57:25)
Profesion teknikal merujuk kemahiran dan kepakaran dalam bidang sains dan teknologi seperti kejuruteraan, seni bina, juruukur bahan dan tanah, pakar kaji bumi, juruteknik dan pakar teknologi. Profesion teknikal merupakan teras kemajuan teknologi yang membangunkan pelbagai kemudahan untuk meningkatkan kualiti hidup manusia.
Dengan akal kurniaan Ilahi, perkembangan teknologi telah mengubah corak hidup manusia. Manusia berjaya mereka cipta pelbagai peralatan seperti membina dan membangunkan pelbagai prasarana, bangunan, masjid, hospital, lebuh raya, jambatan dan pelabuhan, kenderaan, kapal dan pesawat, serta pelbagai reka cipta lagi.
Kemajuan teknologi telah berupaya menyejahterakan kehidupan manusia, di samping membantu memudahkan manusia menyempurnakan tugas fardu kifayah yang telah diamanahkan kepada mereka sebagai khalifah untuk memakmurkan muka bumi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjurkan penduduk dunia akan mencecah sebanyak 8.5 bilion orang menjelang tahun 2030 dan bakal mencecah sebanyak 10 bilion orang menjelang tahun 2050. Pertambahan penduduk dunia bakal mengakibatkan tekanan dan cabaran dalam beberapa sektor, antaranya termasuklah keperluan tambahan bahan makanan dan bekalan air, tanah yang semakin terhad untuk memenuhi keperluan perumahan, pencemaran alam dan penyebaran penyakit.
Untuk menangani tekanan dan cabaran tersebut, perlu ada penemuan dan penghasilan teknologi baharu dalam pelbagai bidang. Antaranya termasuklah bidang pertanian untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan, pengurusan air untuk memenuhi keperluan bekalan air bersih, serta pengawalan alam sekitar yang berupaya mengekalkan kebersihan alam melalui pengurusan sampah yang teratur, mengekalkan kehijauan alam dengan sistem penyelenggaraan yang lebih lestari.
Selain itu, manusia memerlukan pemerkasaan teknologi perubatan yang berupaya merawat dan mengawal penularan pelbagai penyakit sekali gus menyelamatkan nyawa manusia, teknologi pengangkutan untuk memudahkan pergerakan manusia dan barangan secara selamat, teknologi perhubungan yang berupaya merangkaikan manusia, juga teknologi ketenteraan yang dapat meningkatkan keupayaan pertahanan bagi menjamin keselamatan negara.
Penciptaan pesawat tanpa pemandu (dron) telah berupaya mengubah kelangsungan pertanian secara lebih cekap, meningkatkan hasil, sekali gus meningkatkan pendapatan para petani. Tambahan pula, teknologi dron kini dilihat berfungsi dalam pelbagai bidang pekerjaan seperti operasi mencari dan menyelamat, pemantauan, industri pembinaan, pemetaan, ukur tanah dan fotografi.
Tenaga kerja teknikal merupakan tenaga mahir dan tenaga profesional yang berperanan penting menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah, yang telah menyejahterakan kehidupan umat Islam dan sangat besar jasanya kepada negara dan rakyat.
Islam amat mengutamakan kesejahteraan hidup manusia dan menekankan kepentingan menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran. Pemikir Islam, Ibn Khaldun meletakkan teknologi sebagai ciri penting peradaban manusia. Melalui ayat 25 Surah al-Hadid tersebut, Allah SWT berfirman bahawa besi yang mempunyai kekuatan yang hebat telah diciptakan dengan banyak manfaat supaya manusia menggunakan faedahnya dalam kehidupan seharian.
Allah SWT menyeru manusia menggunakan kekuatan dan kehandalannya untuk mempertahankan agama Allah yang bermaksud manusia menggunakan akal kurniaan Ilahi untuk mengkaji, memikirkan, lalu mengolah dan mencipta sebaik mungkin faedah dan cara besi dapat digunakan melalui kemajuan teknologi untuk kebaikan umat Islam, selanjutnya membantu meningkatkan syiar Islam.
Umat Islam diseru menguasai dan mendalami bidang sains dan teknologi yang berperanan penting untuk menjayakan usaha membangunkan dan memajukan negara. Diakui bahawa pada ketika ini, penguasaan umat Islam dalam kepakaran sains dan teknologi moden masih jauh tertinggal di belakang. Untuk mencapai taraf umat yang maju, umat Islam sewajibnya menyemaikan azam untuk mempelajari dan menguasai bidang sains dan teknologi.
Namun begitu, perlu diingatkan bahawa segala ilmu dan kemahiran yang dimiliki merupakan kurniaan Ilahi, yang menuntut kita untuk sentiasa menambah ketaatan dan kesyukuran; juga membetulkan niat memanfaatkan ilmu sains dan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup manusia.
Kisah kaum terdahulu yang terkandung dalam al-Quran wajar dijadikan iktibar. Contohnya, penguasaan teknologi kejuruteraan dan penghasilan seni bina yang luar biasa umat terdahulu seperti kaum Tsamud dan kaum Ad telah berupaya menebuk gunung yang besar untuk dijadikan istana dan menara. Namun begitu, apabila mereka menafikan keesaan Allah SWT, melanggar perintah-Nya dan tidak bersyukur, segala usaha dan kemajuan mereka diranapkan oleh Allah SWT.
Kesimpulannya adalah seperti yang berikut:
Pertama: Menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang sains dan teknologi penting dalam kehidupan manusia. Umat yang berjaya ialah umat yang memiliki kepakaran menguasai bidang sains dan teknologi. Oleh itu, menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang sains dan teknologi merupakan fardu kifayah yang wajib dipenuhi.
Kedua: Anak-anak wajar dijinakkan, disemai minat, diberi pendedahan dan bimbingan, diberi sokongan dan dorongan untuk meminati ilmu sains dan teknologi, dan selanjutnya berupaya mempelopori teknologi baharu.
Ketiga: Ilmu sains dan teknologi, malah pencapaian dan kemajuan mestilah diletakkan tujuan untuk mendapat keredaan Ilahi, jauh sekali disalahgunakan untuk merosakkan alam dan mengancam keselamatan dan kehidupan manusia.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 6 Disember 2024 yang bertajuk “Profesion Teknikal Peneraju Kecemerlangan Teknologi”.