Oleh Noorilham Ismail
27 November 2024, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Abdullah ibn Mas‘ud berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah?’ Baginda menjawab: ‘Solat pada waktunya.’ ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab: ‘Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.’ Aku bertanya lagi: ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab: ‘Jihad pada jalan Allah.’” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Daripada petikan hadis di atas, jelas isyaratyang terkandung dalam sabda Nabi Muhammad SAW tentang laluan untuk memperoleh cinta Allah SWT. Tiga bentuk amalan berkenaan sewajarnya direnungkan dan dijadikan teras dalam pembangunan umat yang meletakkannya sebagai keutamaan dalam hidup kita.

 

Solat pada Awal Waktu

Dalam sehari, 10 kali kita dengarkan seruan “hayya ‘ala al-solah” yang bermaksud, “marilah menunaikan solat” melalui laungan azan solat lima waktu. Akan tetapi, adakah semua insan bergelar Muslim menyahutnya dengan tidak bertangguh-tangguh atau menurutinya tanpa apa-apa alasan? Sudah tentu tidak kerana ada dalam kalangan mereka yang berlengah-lengah dan terlambat atas faktor tertentu baik disengajakan ataupun tidak.

Hadis yang diungkapkan sebelum ini harus dijadikan pemangkin ke arah perubahan yang lebih baik selepas ini. Hal ini mempunyai signifikan tersendiri kerana solat pada awal waktu ialah petanda bahawa kita sebagai seorang hamba mampu untuk menepati masa.

Perkara demikian sungguh penting kerana ciri seumpama ini dapat membentuk budaya positif dalam kehidupan yang merangkumi pelbagai hal seperti urusan kerja oleh petugas pejabat, pelaksanaan projek bagi pemaju dan penyelesaian tugasan akademik untuk pelajar di menara gading. Biarpun contoh tersebut tampak klise, namun melambangkan etika dan etos dalam satu disiplin kerja yang secara tidak langsung terkait dengan keupayaan memenuhi amanah untuk solat pada awal waktu.

Secara tersirat, umat Islam boleh menjadikan perkara tersebut sebagai ketetapan dalam jadual kerja seharian yang menggabungjalinkan kebiasaan dalam ibadat dengan pembentukan perilaku. Perkara ini berupaya untuk membentuk keterampilan dan kepimpinan serta tahap profesionalisme yang tinggi dalam lapangan kehidupan terutama urusan sesama manusia.

Solat pada awal waktu dari satu sudut mampu mempengaruhi perkara yang lebih bersifat metafizik bagi memperoleh kekhusyukan kesan daripad persiapan sebelum solat dengan tidak tergesa-gesa. Manfaatnya, kita dapat merebut kebaikan dan janji Allah dalam Surah al-Mukminun ayat 1 hingga ayat 2 yang bermaksud, “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”

 

Berbuat Baik kepada Ibu Bapa

Secara asasnya, ibu bapa merupakan watak penting yang membentuk pertumbuhan sistem kekeluargaan. Dalam konteks keluarga berpaksikan Islam, ibu bapa memainkan peranan besar membentuk sahsiah anak-anak dengan mencari keredaan Allah kerana individu daripada keluarga ini akan masuk dalam masyarakat melalui proses sosialisasi. Oleh itu, menjadi kewajipan setiap anak untuk berbakti kepada ibu bapa mereka, sama ada secara material ataupun melalui kasih sayang, sepanjang hayat kedua-duanya.

Setiap anak perlulah menginsafi bahawa ibu bapa sebagai asbab kepada hadirnya mereka ke ruang kehidupan. Tuntutan ini turut terkandung dalam Islam yang satu daripadanya dibuktikan dalam Surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud,

Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

 

Berjihad pada Jalan Allah

Kamus Dewan Perdana mendefinisikan perkataan jihad dengan maksud usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah. Dalam sejarah, jihad sendiri membawa penjelasan kepada tindakan fizikal yang berkaitan terus dengan perjuangan serta pengorbanan umat Islam untuk mempertahankan syariat serta syiar agama.

Jihad dengan mengangkat senjata bukan sahaja wujud pada era Nabi Muhammad SAW bagi memerangi musyrikin Makkah bersama-sama kaum Yahudi dan golongan munafik, bahkan telah berkesinambungan pascakewafatan Baginda terutama dalam siri pembukaan wilayah baharu di Semenanjung Arab, benua Afrika, Semenanjung Iberia dan Konstantinopel.

Dari sinilah munculnya watak orientalis Barat seperti Efraim Karsh yang menterbalikkan tafsiran jihad sebagai perkara negatif sehingga melakukan penindasan di bawah nama imperialisme Islam. Sebagai umat Islam yang bergelar generasi kini, kita seharusnya melihat dan memahami bahawa jihad umat terdahulu adalah dalam konteks ancaman ketika itu dan membuktikan Islam tidak dayus atau pasif apabila diasak oleh seteru.

Dalam konteks hari ini, pengertian jihad wajar ditakwilkan dalam lapangan yang lebih luas sama ada dari segi pentas ekonomi mahupun gelanggang intelektual. Bagi pembangunan ekonomi, umat Islam perlu memiliki kesedaran untuk memajukan diri dalam perniagaan berskala besar, penguasaan teknologi maklumat serta penggerak inovasi supaya memberikan manfaat untuk umat.

Sebagai kesimpulan, hadis Rasulullah SAW yang diketengahkan dalam makalah ini mempunyai sisi makna metafizik antara seorang insan dengan Allah di samping pengisian zahiriah dengan melibatkan hubungan sesama makhluk. Cinta Allah yang disebutkan sebagai ganjaran itu terlalu luas maksudnya untuk diperjelas buat kefahaman akal manusia. Namun begitu, kita selayaknya yakin dan memperakui bahawa cinta Allah itu sebagai anugerah teragung kepada individu yang dikehendakinya atas asbab tiga amalan tadi.

Dirikanlah solat pada awal waktu sebagai tanda kita hamba yang kuat dan taat manakala berbaktilah kepada ibu bapa bagi melambangkan keunggulan keinsanan. Jika umat Islam masa lalu mengangkat mata pedang untuk berjihad, biarlah kita mengangkat mata wang dan mata pena sebagai elemen jihad hari ini dalam lapangan ekonomi serta ilmu pengetahuan.

Tidak terlalu idealistik untuk kita lakukan selagi kita sedar akan tanggungjawab diri sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.