Oleh Noorilham Ismail
2 September 2024, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setapak ke tebing masa silam membuatkan kita nampak arus sejarah yang mengalir dari muara waktunya. Itulah analogi untuk kita memahami bahawa setiap umat manusia di dunia pasti telah melalui detik peristiwa yang melakar tawarikh dalam ruangan hidup.

Sejarah yang tercipta mempunyai fasa turun dan naik di samping masa pasang serta surut untuk menggambarkan kitaran masyarakat. Di sebalik bidai masa itu, tersimpan paparan peristiwa seperti saat kegemilangan suatu peradaban yang kemudiannya terseret ke lembah masa penjajahan sebelum kembali meraih kemerdekaan.

Tatkala tiba ulang tahun kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos dan pembentukan Malaysia pada 16 September, seharusnya kita memberikan sedikit perhatian dan berfikir sejenak tentang sesuatu yang pernah terjajah.

Dalam kanta retrospektif yang lebih luas, kita boleh renungkan perkara tersebut sejak serangan tentera Hulagu Khan ke atas Kota Baghdad pada tahun 1258 yang mengakibatkan kemunduran ilmu kesan daripada kehancuran Baitul Hikmah. Mimpi ngeri berulang lagi, kali ini di Andalusia pada tahun 1492 selepas berakhirnya pentadbiran Sultan Abu Abdullah Muhammad XII (Bani Ahmar, Kerajaan Nasriyah) di Granada kerana asakan daripada Ratu Isabella dan Raja Ferdidand II sehingga memadamkan peradaban Islam di Semenanjung Iberia.

Dua tragedi dalam tempoh kurang dari 250 tahun ini ibarat pukulan dahsyat yang menggugat sama sekali posisi peradaban Islam sebagai peneraju ilmu pengetahuan baik di belahan dunia Timur mahupun Barat. Biarpun Kerajaan Uthmaniyah cuba membawa kebangkitan selepas pembukaan Konstantinopel pada tahun 1453 oleh Sultan Muhammad al-Fateh bersama-sama angkatan tenteranya, tetapi keberadaan kerajaan itu hanyalah unggul dari segi geopolitik serta ketenteraan berbanding dengan pencapaian ilmu pengetahuan.

Hal yang demikian sedikit demi sedikit telah meninggalkan peradaban Islam terkebelakang dengan pesaingnya, iaitu dunia Barat yang mula keluar daripada kepompong zaman gelap melalui metamorfosis kemajuan di ruangan Renaissance ke pentas zaman pencerahan. Bukti lahiriah dapat dilihat dengan tumbuhnya institusi seperti Universiti Cambridge dan Universiti Oxford di England, serta Kolej Harvard dan Universiti Virginia di Amerika Syarikat yang menekankan pengetahuan sains dan kemanusiaan secara beriringan.

Sementara itu, keadaan tersebut turut berlaku dalam peradaban Islam di Alam Melayu khususnya di wilayah kesultanan Melaka. Pada kurun ke-13, kerajaan ini telah melalui proses perkembangan petempatan dan transformasi sosial yang menjadikan Melaka berubah kepada pusat perdagangan maritim terkemuka serta wujudnya masyarakat kosmopolitan di situ.

Walau bagaimanapun, Melaka pada akhirnya jatuh ke tangan penjajah dari Semenanjung Iberia, iaitu Portugis pada tahun 1511 biarpun pada waktu itu, Melaka sudah pun mempunyai teknologi persenjataan.

Perpecahan berlaku apabila wujud pengkhianatan, amalan rasuah dan kelemahan dalam pentadbiran sehingga membentuk garis-garis kerapuhan yang pada akhirnya meranapkan kegemilangan Melaka. Hilangnya kesatuan masyarakat ternyata mengakibatkan penjajahan ke atas dunia Melayu yang diikuti dengan penjajahan Belanda pada tahun 1641; British pada sekitar kurun ke-18; dan pendudukan Jepun pada tempoh Perang Dunia Kedua sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Umat Islam seharusnya mencari kembali identiti yang hilang sebagai penggerak peradaban dengan peranan para peneraju ilmu pengetahuan. Hal ini boleh berhasil dengan cara menghidupkan budaya ilmu melalui penterjemahan karya ilmiah berkualiti dari Barat dan Timur dalam bahasa pertuturan umat Islam yang pelbagai di serata dunia.

Intelektual dari negara Islam yang membangun pula perlulah menghasilkan penemuan baharu dalam wacana sains sosial dan sains tulen yang sekali gus akan membuatkan umat Islam tidak semata-mata menjadi pemakai atau pengguna buah fikir dari luar. Usaha sebegini mustahak supaya kita tidak sekadar menjadi penumpang kepada kemajuan sebaliknya ada antara kita mampu untuk menjadi penerajunya.

Dalam lapangan ekonomi, umat Islam seharusnya tampil dengan formulasi idea kemaslahatan ekonomi mengatasi pemikir Barat seperti Joseph Stiglitz, Paul Krugmen dan Thomas Piketty. Permulaan sedemikian, dengan izin Allah, dapat dijadikan prasarana untuk memudahkan kita meneroka kemajuan lain yang lebih konkrit terutama penciptaan teknologi baik untuk penerokaan angkasa lepas, sistem pertahanan, perisian maklumat, mahupun kecanggihan pengangkutan.

Elemen penyatuan perlu sentiasa menjadi penekanan untuk membentuk komuniti masyarakat yang teguh.

Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, elemen penyatuan perlulah sentiasa menjadi penekanan untuk membentuk komuniti yang teguh. Keteguhan ini perlu bagi memastikan masyarakat Islam boleh bergerak seiringan dengan matlamat kemajuan untuk kepentingan bersama tatkala mendepani cabaran semasa yang kian mendesak.

Ketepikan seketika busana dan warna politik masing-masing agar perpecahan dapat dielakkan kerana sikap ekstrem terhadap perkara tersebut menyebabkan kita lupa akan apa-apa yang lebih penting untuk sebuah negara bernama Malaysia. Setiap daripada kita perlulah memberi manfaat antara satu dengan lain agar kita menjadi individu terbaik seperti makna dalam hadis Rasulullah SAW, “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadis riwayat al-Tabarani).

Setelah 67 tahun merdeka, cuba kita tekankan pengertian bahawa kita bukanlah umat Islam yang terasing daripada horizon umat Islam sedunia. Bak kata pepatah, cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Begitulah yang perlu kita fikir dan rasakan sebagai umat Islam akhir zaman yang semakin diasak oleh perubahan serta tekanan semasa. Tanpa perasaan sebegini, mustahil untuk kita kembalikan keunggulan peradaban daripada runtuhan masa silam kesan daripada sesuatu yang pernah terjajah.

Biarlah ilmu menjadi asasnya dan kesatuan menjadi interpretasinya untuk kita melangkah ke era baharu yang lebih maju.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.