Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah di Arau, baru-baru ini.

Arau – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pegangan agama yang teguh memainkan peranan yang besar untuk membentuk pemikiran dan pandangan para pelajar dalam menjalani kehidupan yang didasari dengan ajaran yang terdapat dalam al-Quran dan sunah.

Hal yang demikian penting agar pelajar sentiasa berada pada landasan yang tepat dalam mengejar kejayaan di dunia dan di akhirat.

Tuanku Raja Muda Perlis bertitah,

Pelajar yang merupakan aset masa depan perlu melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu dan cara berfikir kelas pertama dengan menjadikan agama sebagai asas pegangan dalam menjalani kehidupan.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, setiap pelajar perlu menerapkan dan menanamkan elemen kepercayaan atau pegangan agama yang teguh dalam diri masing-masing,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah yang melibatkan sebanyak 335 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga.

Keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Titah Tuanku Syed Faizuddin, “Setiap pelajar juga perlu meyakini keesaan Allah, iaitu mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah.”

“Pelajar wajib mendirikan solat lima waktu, secara tidak langsung pembentukan disiplin terbentuk dan mengajar diri berdisiplin terhadap waktu dan fokus secara spiritual,” titah baginda lagi.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian Arena Dataran Pahlawan sekolah tersebut yang akan digunakan oleh pasukan silat sekolah untuk menjalankan latihan dan persembahan serta ruang serba guna yang dimanfaatkan oleh pihak sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.