Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan pihak Tabung Haji (TH) untuk meneliti dan menyiasat lebih lanjut insiden 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah pada ketika ini akibat terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan oleh agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, pihaknya bersimpati atas nasib yang menimpa mangsa tersebut.
Beliau menasihatkan semua mangsa yang terlibat untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat.
“Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberikan peringatan saban tahun kepada umat Islam negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan oleh segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH merupakan satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Katanya, TH telah melantik 25 buah syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1445H/2024M dan hal ini merupakan antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan oleh TH saban tahun.
Beliau menasihatkan umat Islam untuk menggunakan perkhidmatan syarikat yang dilantik sebagai PJH oleh pihak TH sahaja.