Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Agama al-Islahiyah (Menengah).

Simpang Empat – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pelajar perlu menambah nilai diri masing-masing dengan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang agar berupaya menghadapi cabaran dunia kini.

Baginda bertitah, “Dalam mengejar ilmu, agama perlu menjadi asas pegangan dalam menjalani kehidupan dengan menanamkan elemen kepercayaan atau pegangan agama yang teguh dalam kalangan pelajar.”

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar setiap pelajar beriltizam untuk menjadi generasi masa hadapan yang kental semangatnya, beretika, berakhlak dan penuh ketakwaan serta mampu mengharungi apa-apa juga cabaran.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Agama al-Islahiyah (Menengah) dengan pelibatan sebanyak 294 orang pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengetua Sekolah Agama al-Islahiyah (Menengah), Hajah Ruswati Haji Hashim.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Sekolah Agama al-Islahiyah mempunyai sebanyak 48 orang guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), lima orang guru Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), 10 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan bilangan murid sebanyak 452 orang.

Sekolah ini turut menawarkan pakej mata pelajaran teras, Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) teras yang menggunakan bahasa Arab sebagai pengantar dan elektif bagi menengah rendah dan menengah atas serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Antara fokus utama sekolah ini termasuklah membudayakan subjek nadi sekolah, iaitu bahasa Arab sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran KBD, biah Arabiah dan sifar gagal KBD.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Pondok Lestari yang akan berfungsi sebagai gerobok rezeki, yang menempatkan dan membekalkan pakaian, alat tulis, makanan dan beberapa barangan lain buat murid yang kurang berkemampuan di sekolah ni.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.