Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFoto: Khairul Azhar Baharuddin
Kuala Nerus – Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bakal diperluas dalam kokurikulum Pendidikan Islam Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang melibatkan sebanyak 10 840 tabika KEMAS di seluruh negara.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki berkata, hasrat untuk memartabatkan hadis 40 Imam Nawawi ini dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri apabila beliau berasakan bahawa pembentukan sahsiah, keperibadian, pemikiran dan akal budi harus dimulakan daripada kecil dalam sistem pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran buku poket Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), siang tadi.
“Apabila KEMAS menyahut usaha dan inisiatif ini, hal tersebut merupakan suatu yang amat baik sekali dan sudah tentu mempunyai makna yang besar dalam usaha membina sahsiah dan keperibadian anak-anak,” katanya.
Menurutnya, perbahasan ulama tentang kepentingan hadis 40 dianggap sebagai satu menifestasi pengembangan ilmu yang mendasari tasawur pemikiran yang besar dalam aspek kehidupan manusia di muka bumi ini kerana menghimpunkan hadis penting yang dibahaskan oleh ulama hadis untuk memberikan dimensi kehidupan yang luhur dan jernih kepada masyarakat.
Oleh itu, jika kita lihat hadis ini dari awalnya mencakupi pelbagai aspek kehidupan yang bermula dengan soal pembinaan jati diri dalam perspektif yang lebih syumul dan sempurna.
“Hadis ini jika diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi, mampu memberikan kesan yang positif untuk melihat kehidupan dengan lebih bermakna dari segi akal budi, akhlak, sahsiah, serta konsep habl min Allah dan habl min al-nas yang terkait secara langsung,” katanya.
Tambah beliau, modul pembelajaran hadis 40 seiring dengan inisiatif program Dasar Pratahfiz Negara sebagaimana yang dihasratkan YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyasarkan sebanyak 200 huffaz professional dilahirkan menjelang tahun 2030.
“Perkara ini kita akan laksanakan di bawah MARA, contohnya para pelajar program GIATMARA yang terlibat secara langsung dalam bidang kemahiran, tetapi disediakan program khusus untuk para huffaz,” katanya.
Beliau berkata, buku Hadis 40 Imam al-Nawawi akan dijadikan pegangan kepada pelajar di intitusi pendidikan MARA dan akan dimulakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) supaya hadis 40 dengan bersumberkan buku terbitan DBP menjadi satu program wajib dalam program pembangunan pendidikan di seluruh MRSM dan seluruh institusi pendidikan MARA.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya berkata, pembentukan keperibadian memanusiakan manusia, insan yang budiman, berilmu, dan beradab sopan haruslah diterapkan sejak kecil lagi.
“Penerbitan buku poket Hadis 40 Imam al-Nawawi yang mudah dibawa dan mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat ini merupakan sokongan kepada kerajaan untuk menghasilkan masyarakat MADANI dan membina negara bangsa yang suka membaca,” katanya.
DBP mengambil inisiatif menerbitkan buku poket Hadis 40 Imam al-Nawawi dengan tujuan untuk menyuburkan nilai baik dalam kalangan masyarakat.
Kejayaan penerbitan buku poket ini antaranya merupakan hasil usaha Bahagian Buku Sekolah, Jabatan Penerbitan DBP, dengan cetakan pertamanya pada tahun 2023.
Memuatkan 112 halaman, kandungan buku poket Hadis 40 Imam al-Nawawi yang ringkas, dilengkapi matan dan terjemahan daripada sumber yang sahih dan muktabar serta pengajaran dapat dijadikan rujukan oleh seluruh masyarakat bermula daripada anak-anak di sekolah, pelajar di institusi pengajian tinggi, golongan yang bekerja mahupun suri rumah tangga.
Dalam majlis tersebut juga diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Bersama antara DBP dengan KEMAS dan UniSZA dengan KEMAS.
Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS); Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA; YBrs. Profesor Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas, Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri; YBhg. Datuk Dr. Mohd. Khairudin Aman Razali, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH); YBhg. Dato’ Seri (Dr.) Haji Ahmad Said, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Rozi Mamat, para pegawai kanan persekutuan dan negeri, serta para pemimpin masyarakat.