7 Mei 2024, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Agama 2024 yang berlangsung hari ini menekankan mesej keamanan, keadilan, kasih sayang, belas kasihan dan hormat-menghormati antara penganut pelbagai agama di seluruh dunia.

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan persidangan tersebut berkata, para pemimpin agama perlu menunjukkan sifat toleransi, saling memahami antara satu sama lain dan penyayang serta adil walaupun berbeza agama.

YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Agama di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya.

Beliau menggesa para pemimpin agama seluruh dunia supaya menyebarkan sikap persefahaman dan perpaduan serta mengambil pendirian yang lebih aktif dan berani untuk memperjuangkan keadilan terhadap sesiapa pun di dunia ini.

“Anda mungkin pemimpin Buddha, pemimpin Hindu, pemimpin Islam atau pemimpin Kristian, tetapi keadilan tetap keadilan.

“Tidak ada mana-mana agama yang membiarkan dan membenarkan ketidakadilan dan penindasan terhadap sesiapa pun,” tegas beliau.

Menurut Anwar, Islam ialah agama Persekutuan di Malaysia dengan kira-kira 60 peratus rakyatnya beragama Islam, tetapi pada masa yang sama pemimpin negara komited memastikan setiap rakyat tidak kira agama mempunyai hak di negara ini.

Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Dr. Mohammed Abdulkarim al-Issa ketika menyampaikan ucaptama.

“Jadi di Malaysia, walaupun kami berpegang pada prinsip Islam, tetapi kami mahukan keadilan untuk semua rakyat di negara ini.

Mesej ini jelas kepada rakan di sini mahupun di luar negara. Hal ini mesti dihormati tidak kira orang Islam itu majoriti di Malaysia atau minoriti di negara lain,” katanya.

Selain itu, Anwar berharap supaya Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Agama akan dijadikan acara tetap di Malaysia.

Sebelum itu, sesi ucaptama disampaikan oleh Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (Muslim World League), Dr. Mohammed Abdulkarim al-Issa yang menyifatkan Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Agama 2024 sebagai usaha penting dalam usaha menangani pertembungan budaya dan tamadun.

Antara peserta dari pelbagai negara yang hadir.

Persidangan yang berlangsung selama sehari di Hotel Sunway Resort itu dihadiri oleh kira-kira 2000 tokoh pemimpin pelbagai agama, para cendekiawan, ahli akademik dan pemimpin politik dari 57 buah negara.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri; Datuk Sei Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste; Mariano Assanami Sabino Lopes, Menteri Komunikasi; Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan Tinggi; Datuk  Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Persidangan sehari berkenaan akan disusuli dengan Persidangan Majlis Ulama Asia di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, esok.

Kedua-dua persidangan dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.