2 Mei 2024, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizuddin Shah dilantik sebagai Pengerusi baharu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa pada 9 Mac 2024 hingga 8 Mac 2026.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan, pelantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 bagi menggantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun.

Katanya, walaupun terdapat titah gesaan daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja agar baginda menyambung khidmat yang mulia dan cemerlang selama dua tahun lagi, baginda bertegas untuk mengundur diri supaya tugas dan peranan penting sebagai Pengerusi MKI dipertanggungkan kepada seorang raja lain.

“Tugas serta amanah yang besar itu dipertanggungkan secara bergilir-gilir yang melambangkan semangat kebersamaan tanggungjawab dalam kalangan raja-raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing untuk menjaga dan memelihara agama Islam menurut yang termaktub dalam perlembagaan,” titah baginda.

Tan Sri Syed Danial berkata, DYMM Raja-Raja menghargai kehendak dan asbab baginda untuk tidak berkenan dilantik semula.

Setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, katanya, Sultan Nazrin menyambut keputusan raja-raja untuk meneruskan khidmat bakti cemerlang Sultan Selangor, dengan harapan akan mendapat nasihat dan bimbingan berterusan daripada raja-raja.

Tambah beliau, baginda turut memohon mendapat petunjuk Ilahi untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Pengerusi MKI.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan lain mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merafak sembah dan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Pengerusi Baharu MKI.

Beliau berkata, sesungguhnya pelantikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sebagai Pengerusi MKI akan terus memperkukuh kedudukan MKI bagi menjalankan fungsi-fungsinya berpandukan Peraturan-Peraturan MKI 2022 khususnya dalam urusan menyelaras hal-hal berkaitan dengan pentadbiran agama Islam.

Katanya, seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT  agar diberikan petunjuk serta pedoman kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai Pengerusi MKI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.