22 April 2024, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aidilfitri yang hadir saban tahun disambut meriah oleh masyarakat Islam di negara kita sebagai tanda meraikan kemenangan menahan nafsu sepanjang bulan Ramadan. Kemeriahan sambutan ini dizahirkan melalui pelbagai cara seperti pulang ke kampung, memakai pakaian baharu, menghias rumah, menyediakan pelbagai juadah dan amalan ziarah-menziarahi. Kanak-kanak merupakan antara yang paling teruja untuk meraikan sambutan Aidilfitri kerana mereka akan menerima duit raya daripada keluarga dan sanak saudara. Pemberian duit raya merupakan antara tradisi dan budaya yang telah sinonim apabila tiba hari raya walaupun ada yang mengaitkannya dengan budaya kaum lain. Tradisi pemberian duit raya sebenarnya turut dipraktikkan di negara Islam seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Sri Lanka, Bangladesh, Qatar dan negara di Timur Tengah.

Budaya pemberian duit raya merupakan antara amalan mulia yang dapat menambahkan lagi kemeriahan dan kegembiraan umat Islam semasa Aidilfitri terutamanya bagi kanak-kanak. Isu tasyabbuh, iaitu penyerupaan antara duit raya dengan pemberian angpau semasa sambutan Tahun Baharu Cina tidak timbul kerana menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pemberian duit raya di sisi Islam termasuk dalam kategori sedekah yang sunat hukumnya. Menurutnya juga, penggunaan sampul duit raya kembali kepada hukum asal sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah fikah yang bermaksud hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadat) adalah harus. Pemberian angpau dan duit raya juga berbeza kerana seseorang itu layak untuk menerima angpau selagi dia masih belum berkahwin, manakala bagi pemberian duit raya pula, kebanyakannya diberikan kepada kanak-kanak, ibu bapa, sanak saudara dan remaja yang masih belum bekerja.

Pemberian duit raya sebenarnya dituntut dalam Islam kerana dapat memberikan kemanfaatan bukan sahaja kepada penerima, tetapi juga kepada orang yang memberi. Perbuatan tersebut menghasilkan tiga bentuk pahala, iaitu bir al-walidain (berbuat baik kepada ibu bapa), pahala mengeratkan silaturahim dan pahala bersedekah. Di sisi Islam, pemberian duit raya semasa sambutan Aidilfitri dianggap sebagai sedekah. Oleh itu, pemberiannya ikhlas oleh pemberi dan penerima pula menerima apa-apa sahaja jumlah yang diberikan dengan rasa syukur.

Budaya pemberian duit raya dalam Islam juga harus kerana dapat menggembirakan hati orang lain sebagaimana dalam diriwayatkan daripada Sayidina Umar al-Khattab r.a. berkata bahawa, “Rasulullah SAW pernah ditanya: ‘Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling utama?’ Baginda menjawab: ‘Memberikan kegembiraan kepada hati seorang mMukmin, mengenyangkan rasa laparnya, memberikan pakaian untuk menutup auratnya atau menunaikan keperluannya atau hajatnya.’ (Hadis riwayat al-Tabarani). Bahkan, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan bahawa amalan pemberian duit raya lebih bersifat budaya setempat di Malaysia dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam kerana pemberian tersebut boleh mendatangkan kegembiraan.

Dalam Islam, pemberian duit raya menjadi sedekah dan dapat menggembirakan hati orang yang menerima.

Sebagaimana yang kita maklum, umat Islam dituntut untuk menggembirakan hati seseorang Muslim yang lain dan telah dijanjikan ganjaran pahala yang bukan sedikit kepada mereka yang melakukannya. Ketika duit raya dihulur, tergambar riak kegembiraan dan keseronokan pada wajah orang yang menerimanya, tidak kiralah kanak-kanak mahupun orang dewasa. Jadi, tidak salah budaya pemberian duit raya pada setiap kali sambutan Aidilfitri oleh masyarakat Islam di negara kita kerana banyak individu yang bergembira apabila menerimanya dan pemberi juga mendapat pahala atas perbuatannya.

Pemberian duit raya juga mampu merapatkan silaturahim kerana orang yang menerima akan bersalaman dengan orang yang memberi. Bersalaman sesama Muslim adalah antara akhlak yang mulia dan sunat berjabat tangan dengan menggenggam tapak tangan kanan ke atas tapak tangan kanan orang yang disalami sambil tersenyum memandang wajahnya. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidaklah dua orang Muslim yang bertemu kemudian saling berjabat tangan, kecuali dosa kedua-duanya akan diampuni sebelum berpisah.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad). Budaya bersalaman ini merupakan contoh budaya yang baik walau terdapat pendapat yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut seolah-olah menggalakkan anak kecil untuk meminta duit raya. Bersalaman juga merupakan satu tanda kemesraan sesama insan dari segi sosial.

Walau bagaimanapun, budaya pemberian duit raya ini sepatutnya mengikut kemampuan dan tidak membebankan kewangan pemberinya. Pemberian tersebut juga perlu dilakukan dengan seikhlas hati dan bukannya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Masyarakat juga tidak boleh menganggap budaya pemberian duit raya sebagai satu kemestian dan kelaziman sehingga boleh mendatangkan tekanan dan bebanan kepada tuan rumah yang dikunjungi. Lebih memburukkan keadaan apabila ada yang terpaksa berhutang dan mengikat perut kerana telah menggunakan peruntukan yang lebih daripada sepatutnya untuk menyediakan duit raya.

Bagi orang yang menerima pula, mereka perlu menerima pemberian tersebut dengan penuh beradab agar pemberi juga berasa gembira. Anak-anak perlu dididik untuk mengucapkan terima kasih sebagai tanda bersyukur ketika menerima duit raya dan mengucapkan selamat hari raya selain mendoakan kebaikan buat pemberi. Bukan itu sahaja, para ibu bapa perlu mendidik anak masing-masing agar tidak membuka sampul yang diberikan dan mempersoalkan setiap jumlah duit raya yang diberikan. Situasi ini kerap terjadi yang menyebabkan ada dalam kalangan kita yang malu untuk memberi duit raya dalam jumlah yang sedikit. Di samping itu, duit raya yang diterima seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin dan bukannya melakukan pembaziran.

Tuntasnya, budaya pemberian duit raya oleh masyarakat di negara ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan, pemberian tersebut dituntut kerana melaluinya kita boleh bersedekah dan menggembirakan hati orang lain. Namun begitu, kita perlu mengamalkan adab dan etika yang betul sebagai pemberi dan penerima duit raya agar perbuatan tersebut tidak melanggar ajaran Islam. Budaya pemberian duit raya merupakan antara warna-warni dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri di negara ini dengan pelbagai jenis corak dan warna sampul duit raya yang tidak perlu dipersoalkan lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.