10 April 2024, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari raya merupakan hari yang sangat istimewa bagi umat Islam. Tanpa mengira apa-apa juga status dan kedudukan insan, hari perayaan merupakan sesuatu yang menimbulkan rasa gembira dan bersyukur atas segala nikmat yang dikecapi.

Dalam Islam, terdapat dua hari raya yang dikurniakan oleh Allah Azzawajalla, iaitu hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya AidilAdha. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam hadis riwayat Abu Dawud, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada dua hari (yang kamu sambut) itu, iaitu Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri.”

Hari Raya Aidilfitri yang saban tahun disambut oleh umat Islam merupakan hari kita membesarkan Allah SWT bahkan hari raya ini juga membawa simbolik kesyukuran atas kemenangan kita berpuasa selama sebulan, berlawan dengan nafsu dengan bersungguh-sungguh mengerjakan amal soleh. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud, “… Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Namun begitu, suasana agak berbeza daripada cara sambutan hari raya di Malaysia. Sering kali Hari Raya Aidilfitri diraikan dengan lagu sedih, iklan raya yang menyentuh hati dan sebagainya. Selain itu, laungan takbir raya di radio dan televisyen, juga di masjid dan surau, mendayu-dayu penuh kesyahduan dan kesedihan. Sebaliknya, laungan takbir di kebanyakan dunia Islam sangat bersemangat bagi menunjukkan rasa kegembiraan menyambut kemenangan 1 Syawal.

Hari Raya Aidilfitri bukanlah hari untuk kita menzahirkan kesedihan dan kepiluan sebaliknya merupakan hari untuk kita menzahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran, juga menunjukkan semangat perpaduan umat Islam. Bagi menzahirkan kegembiraan syiar kemenangan 1 Syawal ini, Nabi Muhammad SAW telah memerintahkan para wanita haid untuk turut keluar ke masjid sambil melaungkan takbir membesarkan Allah.

Hal ini sepertimana hadis riwayat al-Bukhari, kata Ummu Atiyyah: “Kami (kaum wanita) diperintahkan (oleh Rasulullah SAW) agar membawa keluar wanita haid pada Hari Raya Fitri dan Adha, termasuk juga para gadis agar menyertai perhimpunan dan seruan kaum Muslimin. Adapun mereka yang haid menjauhi tempat solat (tidak solat).”

Hadis ini menunjukkan bahawa hari kemenangan umat Islam merupakan suatu hari yang sangat mulia dan mesti dizahirkan dengan kegembiraan dan kesyukuran. Diseru para wanita yang haid turut serta perhimpunan umat Islam melaungkan takbir dan mendengar khutbah. Suasana ini secara tidak langsung menggambarkan peri pentingnya kita meraikan hari kebesaran ini.

Umat Islam dituntut agar menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran pada hari raya.

Untuk menzahirkan kegembiraan pada hari raya, Islam mengharuskan kita berhibur berlandaskan syarak. Keharusan berhibur pada hari raya bagi menzahirkan rasa gembira adalah berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Aishah r.a., Abu Bakar telah memasuki rumah anaknya Aishah r.a. dan Nabi Muhammad SAW berada di sisinya. Tatkala itu, terdapat dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar. Lalu Abu Bakar berkata: “Suara syaitan” sebanyak dua kali. Maka itu, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “(Biarkan mereka) wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguhnya hari ini ialah hari raya kita.”

Oleh itu, tidak menjadi kesalahan untuk kita berhibur pada hari raya kerana itulah kehendak yang dituntut pada hari raya selagi hiburan tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Sebaliknya, bertentangan dengan hal itu, bersedih pada hari raya bukanlah tuntutan dalam agama. Para sahabat Nabi Muhammad SAW apabila bertemu pada hari raya, mereka saling mengucapkan ucapan tahniah dengan lafaz taqabballah minna wa minka yang bermaksud “semoga Allah menerima amalan kami dan kamu”. Selain ucapan tersebut, apa-apa sahaja ucapan lain yang membawa makna yang baik adalah tidak salah selagi ucapan tersebut tidak membawa maksud kesedihan.

Selain itu, Aidilfitri juga menjadi lambang kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa. Hal ini tidak bermaksud kita sudah selesai atau tamat beribadat kepada Allah, sebaliknya kemenangan ini menjadi bukti bahawa sebenarnya kita mampu menjadi hamba Allah yang bertakwa. Tidak mustahil untuk kita menjadikan bacaan al-Quran sebagai rutin harian, juga tidak mustahil untuk kita melazimkan solat berjemaah di masjid, kerana sebulan yang lalu kita telah membuktikan bahawa sebenarnya kita mampu melakukannya.

Janganlah kita meraikan kemenangan ini dengan melakukan maksiat dan perkara mungkar. Kita harus ambil peduli soal halal haram ketika bersalaman. Kita juga mesti mengelakkan diri daripada melakukan pembaziran. Peliharalah mulut daripada bercakap hal keaiban, jagalah lidah dari memfitnah kerana sebahagian daripada hal demikian mengundang kemungkaran kepada Allah SWT.

Marilah kita bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri ini dengan makna dan tujuan sebenar. Raikan dengan penuh kegembiraan disulami dengan kesyukuran.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.