10 April 2024, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aidilfitri atau dalam bahasa Arab disebut id bermaksud kembali, manakala fitri bermaksud fitrah, melambangkan kejayaan manusia kembali kepada fitrah yang asal – fitrah suci, bersih daripada dosa dan noda, laksana bayi yang baharu dilahirkan.

Allah SWT dengan rahmat-Nya yang Maha Luas, mengurniakan kepada orang beriman kewajipan ibadat puasa pada bulan Ramadan. Semoga segala ibadat yang ditempuhi selama satu bulan dapat melenyapkan nafsu jahat serta memusnahkan tabiat buruk yang pernah bersarang dalam diri, sekali gus mendidik jiwa menjadi hamba yang benar-benar bertakwa di sisi Ilahi.

Mukmin yang jiwanya bersih berpaksikan tauhid, yang tulus kepada Ilahi, juga bebas daripada segala bentuk kesyirikan dan dosa, hidupnya akan sentiasa dilimpahi rahmat, dikurniakan ketenangan, berupaya menjalani kehidupan berpandukan petunjuk al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Al-Quran menggambarkan betapa jiwa yang bersih akan kembali kepada Allah SWT dalam keadaan tenang ketika semua manusia dihitung di mahkamah Rabbuljalil.

Hayati firman Allah SWT melalui ayat 87 hingga ayat 89 Surah al-Syu’ara’, melalui ungkapan doa Nabi Ibrahim a.s.:

Maksudnya:

Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari sekalian makhluk dibangkitkan semula.(Iaitu) pada hari (ketika) harta dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sedikit pun. Kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (daripada syirik dan penyakit munafik).

Aidilfitri menyambut kelahiran mukmin yang berjaya menciptakan kemenangan berteraskan fitrah suci semasa Ramadan; menatijahkan jiwa yang bebas daripada cengkaman hawa nafsu serta benci kepada keburukan, lalu mencenderungkannya kepada kebaikan, bersifat amanah, berintegriti, jujur dan ikhlas; sentiasa beringat bahawa Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengetahui akan setiap perbuatan yang dilakukan.

Persaudaraan ialah tunjang kesatuan ummah, dan inti kepada nilai Islam. Sejarah menunjukkan, permusuhan antara kaum Aus dan Khazraj di tanah Arab berlarutan selama lebih daripada 100 tahun. Kedatangan Islam telah berjaya membenamkan permusuhan lalu terbina persaudaraan atas dasar akidah kepada Allah SWT.

Islam amat mencela perpecahan dan pertelingkahan seperti firman Allah SWT melalui ayat 46 Surah al-Anfal:


Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan hati yang cekal). Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.”

Aidilfitri membuka ruang terbaik untuk ummah saling memperbaiki hubungan persaudaraan, membina persefahaman dalam kalangan ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja, begitu juga sahabat handai. Perselisihan yang berlaku sesama umat Islam tidak wajar dibiarkan berpanjangan, apatah lagi jika berpunca oleh hal yang remeh-temeh yang akan merugikan semua pihak, dan pada akhirnya umat Islam bertambah lemah.

Ada tiga peringkat dalam usaha memperkukuh persaudaraan sesama ummah:

  • Pertama: سَلََامَةُ الصَّدْ ر (berlapang dada), iaitu dengan rela hati menerima kenyataan dalam setiap keadaan dan meraikan kepelbagaian pandangan.
  • Kedua: الْمُسَاوَاة (rasa kebersamaan), iaitu mengiktiraf manusia dari segi taraf dan kedudukan yang sama sehingga gemar berkongsi rezeki bersama-sama insan yang lebih susah.
  • Ketiga: الإيثار (melebihkan saudara), iaitu kemuncak nilai persaudaraan atas dasar persaudaraan Islam, mengutamakan kebaikan untuk saudaranya, berbanding dengan untuk dirinya sendiri.
Aidilfitri membuka ruang terbaik untuk ummah mengukuhkan ikatan sesama ahli keluarga dan mempererat hubungan dengan masyarakat.

Rasulullah SAW menyifatkan persaudaraan umat Islam ibarat sebuah bangunan. Sabda Baginda yang bermaksud, “Orang mukmin terhadap mukmin yang lain ibarat sebuah bangunan yang saling mengukuhkan antara satu dengan lain, dan Baginda menyilangkan jari-jemarinya (sebagai isyarat bangunan yang utuh).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Walau apa-apa juga kecenderungan perjuangan dan pertembungan fikiran, sama ada dalam wadah politik mahupun pengurusan organisasi, ummah wajib mengurusnya dengan baik, secara harmoni dalam semangat tidak mengorbankan hubungan silaturahim. Kenali titik persamaan dengan meraikan setiap pandangan.

Usah dibiarkan syaitan memperdaya diri kita dengan tiupan racun persengketaan yang tidak berkesudahan, mengakibatkan manusia berkelakuan buruk, lidahnya melakukan sindiran secara melampau, berkata kesat, merendah-rendahkan dan memburuk-burukkan orang yang tidak disukai. Perangai dan tingkah laku sedemikian sangat bercanggah dengan akhlak seorang Muslim.

Aidilfitri merupakan natijah daripada madrasah Ramadan yang telah kita tempuhi selama sebulan. Kita layak bergembira jika Ramadan telah berjaya menyemaikan fitrah yang suci dalam diri kita, dicerminkan melalui hati yang semakin tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT, bertambah keimanan – bertambah ketaatan, berupaya mengawal nafsu, serta menjauhi segala perbuatan mungkar, dan pada masa yang sama bertambah melakukan yang makruf, mengutamakan perpaduan, persaudaraan dan silaturahim.

Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

  • Pertama: Sambutlah Aidilfitri dengan kegembiraan melalui amalan ziarah-menziarahi, saling bermaafan bersama-sama kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai.
  • Kedua: Hindari sambutan dengan acara dan perkara berunsur maksiat, seperti berpesta dan berhibur secara melalikan dan melalaikan, melakukan pembaziran dengan menghidangkan juadah secara berlebihan, bergaul bebas tanpa batasan, atau berpakaian yang mencolok mata.
  • Ketiga: Suburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dengan mengadakan rumah terbuka, menerima dan meraikan mereka sebagai tetamu, mempamerkan budi pekerti umat Islam yang mesra, menghormati tetamu serta mengutamakan keamanan dan keharmonian.
  • Keempat: Menghargai pengorbanan para anggota pasukan keselamatan, petugas kesihatan dan pelbagai pihak yang berkorban melaksanakan pelbagai tugas fardu kifayah, mengendalikan perkhidmatan 24 jam di serata negara untuk membolehkan kita menyambut Aidilfitri dalam suasana aman, tenteram, riang dan gembira.
  • Kelima: Berazam untuk terus meningkatkan ibadat, mengimarahkan masjid, beramal jariah, serta berniat menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal bagi menyempurnakan ganjaran puasa sepanjang tahun. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, seakan-akan dia berpuasa selama setahun.” (Hadis riwayat Muslim).

Hayati roh Aidilfitri dengan mencari kejernihan, mengakhirkan segala sengketa dan perselisihan, agar tersemai rasa kasih sayang sesama umat Islam demi membina persefahaman, mengeratkan persaudaraan dan mengukuhkan perpaduan.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Hari Raya Aidilfitri, 1 Syawal 1445H, bertajuk “Aidilfitri: Menyucikan Fitrah – Memperkukuh Persaudaraan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.