4 April 2024, 17:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramadan ialah pemberian istimewa Allah SWT kepada kita, umat Rasulullah SAW. Pelbagai ibadat boleh dilakukan pada bulan Ramadan yang pahalanya akan digandakan oleh Allah SWT.

Namun begitu, dalam keghairahan menggandakan amalan sunat, kita perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam kancah dosa. Perkara yang sukar dipelihara ketika melakukan amalan sunat ialah aspek keikhlasan. Allah SWT memerintahkan semua manusia agar menyembah Allah SWT dengan ikhlas seperti mana firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud,

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.

(Surah al-Bayyinah 98:5).

Aspek keikhlasan akan sedikit tercalar apabila kita berbual dengan rakan taulan. Secara tidak sedar, akan timbul perasaan riyak yang akan merosakkan pahala ibadat yang kita telah dikerjakan. Contohnya, kita berkongsi kesyukuran pada setiap malam di media sosial bahawa kita menunaikan solat sunat tarawih. Hal ini sangat berbahaya jika tidak dikawal dengan baik kerana bimbang akan muncul perasaan riyak.

Sifat riyak ini termasuk dalam sikap orang munafik sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riyak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit sekali.” (Surah al-Nisa’ 4:142).

Syeikh Abdul Kadir al-Mandili menyatakan bahawa sifat riyak juga boleh dipertontonkan kepada khalayak ramai menerusi kepenatan tubuh badan kerana beribadat. Pada siang hari, mereka menunjukkan kelesuan badan dan menahan rasa mengantuk di hadapan rakan sekerja dengan niat ingin memberitahu bahawa mereka bangun menunaikan solat tahajud. Allah SWT mencela perbuatan ini seperti mana firman-Nya yang bermaksud, “Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya; orang yang berbuat riyak.” (Surah al-Ma’un 107:4 – 6).

Oleh sebab itu, beliau menyarankan dalam kitab Penawar bagi Hati agar menyembunyikan segala amal ibadat daripada diketahui umum sebagaimana kita menyembunyikan kesalahan dan dosa daripada pengetahuan orang ramai. Hal ini sangat mustahak supaya kita tidak menjadi antara golongan yang mula-mula dicampakkan ke dalam api neraka.

Setiap amal ibadat hendaklah dilakukan dengan ikhlas tanpa niat menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Begitu juga pahala sedekah boleh terbatal dengan sikap suka mengungkit-ungkit pemberian, malah perkataan yang menyakitkan hati juga akan menyebabkan perbuatan sedekah akan menjadi sia-sia. Sehubungan dengan itu, kita perlu memelihara dengan bersungguh-sungguh agar infak, sedekah dan memberi jamuan orang berbuka puasa mempunyai nilai pahala di sisi Allah SWT.

Amaran berhubung perkara ini terakam dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun daripada apa-apa yang mereka usahakan dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang yang kafir.” (Surah al-Baqarah 2:264).

Penyakit hati yang kerap melanda orang yang rajin beribadat ialah sifat ujub. Perasaan bahawa kitalah golongan terbaik dan orang lain malas beribadat merupakan perkara yang wajib dielakkan oleh kita. Kadangkala timbul perasaan ujub apabila kita mampu menunaikan solat sunat tarawih 20 rakaat sedangkan jiran-jiran hanya menunaikan lapan rakaat. Semua ini merupakan perbuatan yang dicela oleh syarak dan akan membinasakan pahala ibadat.

Semoga kita mendapat kekuatan memelihara diri daripada penyakit hati yang akan membinasakan diri. Hanya kepada Allah SWT kita memohon pertolongan dan bantuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.