Oleh Aminudin Mansor
31 Mac 2024, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kedatangan bulan Ramadan sebagai bulan tarbiah dapat mendidik hati setiap Muslim supaya melakukan perkara kebaikan dan istiqamah mengamalkan sifat mahmudah. Melalui rasa lapar dan dahaga, seseorang Muslim dapat meningkatkan kesabaran, keinsafan dan juga rasa kehambaan kepada Allah Maha Pencipta. Hati pula dididik supaya tiada sifat dengki dan cemburu. Ramadan mendidik insan dengan sifat yang baik menuju ketakwaan. Ibadat puasa pada bulan Ramadan bukan hanya mendidik nafsu makan dan minum, malah mendidik jiwa supaya merdeka daripada sifat buruk seperti dengki, cemburu dan khianat.

Umat Islam digalakkan untuk menyuburkan sifat yang baik seperti berkasih sayang, mengambil berat, sabar, tabah dan persefahaman yang dapat membentuk kesatuan ummah dan perpaduan dalam masyarakat. Sifat ini terkandung dalam adab  kehidupan Muslim. Umat Islam juga digalakkan ikhlas dalam perhubungan sesama insan.

Islam menegah umatnya daripada bersifat dengki, khianat, cemburu, dendam dan iri hati yang datangnya daripada hati yang tidak pernah puas terhadap kejayaan orang lain. Jika tidak dikawal dan ditegah, sifat ini boleh membawa kepada perpecahan dan pergaduhan. Selain itu, sifat ini juga akan menyebabkan hati tidak sihat dan tidak ikhlas dalam perhubungan sesama insan.

Sifat dengki dan khianat berpunca daripada tiada pengendalian emosi dalam diri seseorang. Ketidakseimbangan emosi menyebabkan pelbagai emosi lain seperti kemarahan, kebencian, kedengkian, kesombongan, kesedihan, keangkuhan dan bangga diri muncul dalam diri. Ramadan mendidik manusia supaya menjauhi sifat ini untuk menjadi insan yang bertakwa.

Ramadan mendidik hati Muslim supaya mengekalkan budaya yang baik dengan rasa persaudaraan dan kasih sayang.

Rasulullah SAW melarang keras umatnya bersifat dengki. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Baginda mengancam sifat dengki dalam diri seseorang Muslim kerana sifat dengki dapat menelan kebaikan seperti api memakan kayu bakar. Baginda bersabda yang bermaksud, “Janganlah kalian saling membenci, iri hati dan saling memusuhi. Jadilah kalian semua hamba Allah yang saling bersaudara.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Malik, al-Tirmidzi, Ibn Majah dan Ahmad).

Begitulah hasad dengki daripada ketajaman mata yang membawa kepada hati yang tidak pernah puas terhadap kejayaan orang lain. Perbandingan ini menunjukkan bahawa begitu buruknya sifat dengki jika tidak dikawal oleh hati yang tawaduk sehingga boleh merosakkan diri sendiri dan juga orang lain.

Rasulullah SAW seterusnya bersabda yang bermaksud, “Apabila seseorang melihat dirinya, harta miliknya atau saudaranya sesuatu yang menarik hatinya (dikaguminya) maka hendaklah dia mendoakannya dengan limpahan keberkatan. Sesungguhnya, pengaruh ketajaman mata adalah hak.” (Hadis riwayat Abu Ya‘la).

Dalam hal ini, ketajaman mata mempunyai pengaruh yang sangat besar. Oleh itu, kawallah mata pada bulan Ramadan, iaitu dengan menggunakan mata fikir apabila melihat sesuatu bagi mengelakkan timbulnya hasad dengki dan khianat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Pengaruh ketajaman mata adalah hak. Apabila ada sesuatu yang mendahului takdir, maka itu adalah oleh ketajaman mata.” (Hadis riwayat Muslim).

Bagi mengelakkan segala rasa hasad dengki dan khianat, Baginda bersabda yang bermaksud, “Barang siapa melihat sesuatu yang dikaguminya lalu dia mengucapkan: Masya-Allah, tidak ada kekuatan kecuali dengan Allah, maka tidak akan terganggu oleh ketajaman mata.” (Hadis riwayat Ahmad).

Begitulah kita dididik dengan hati yang suci, lemah lembut dan sempurna pada bulan Ramadan bagi mengelakkan ketajaman mata yang boleh merosakkan perasaan dan mempengaruhi hati. Segala-galanya akan memberikan penawar dan penyucian jiwa kepada setiap insan yang beriman.

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyah, sifat dengki dan khianat berpunca daripada pandangan mata. Oleh sebab itu, mata perlu dijaga supaya pandangannya tidak menyakiti hati orang lain. Menurutnya, pandangan mata ibarat panah yang sedia menembus sesiapa pun yang dipandangnya. Apabila pandangan yang dilancarkan menyenangkan, maka panah itu tidak beracun. Panah beracun daripada pandangan mata boleh merosakkan jiwa, melupakan hati, menumbuhkan syahwat yang negatif dan menumbuhkan perkara yang negatif seperti sifat dengki dan khianat.

Menurut Ibn Qayyim lagi, bagi mengelakkan pandangan mata seperti panah beracun, umat Islam perlulah melihat sesuatu yang boleh menambahkan keimanan dan keagungan Yang Maha Pencipta, dan selalu membaca al-Quran kerana Allah SWT menciptakan mata untuk melihat kebaikan. Di samping itu, umat Islam digalakkan memandang kebaikan dan kebajikan, dan tidak memandang perkara yang membawa kederhakaan dan kerosakan yang boleh merosakkan akal fikiran. Setiap perbuatan bergantung pada niat. Begitu jugalah pandangan mata, jika niatnya baik, maka hal tersebut akan membawa kesolehan hati dan amal perbuatan yang baik.

Diriwayatkan bahawa Umar bin al-Khatab r.a. berkata: “Perbuatan yang paling utama adalah dengan menunaikan apa-apa yang telah difardukan atau digariskan oleh Allah, berhati-hati dan menjaga diri ataupun warak daripada apa-apa yang diharamkan oleh Allah dan kesungguhan niat untuk mencapai apa-apa yang diredai-Nya.”

Imam al-Syafii menyatakan bahawa mata orang yang reda sering kali tumpul terhadap semua keaiban. Akan tetapi, mata orang yang benci sering kali memunculkan kejelikan. Aku mengenali banyak orang, tetapi aku tidak pernah berasa dengki kepada mereka. Oleh sebab itu, mereka sayang kepadaku. Bagaimana mungkin seseorang akan berlemah lembut kepada seorang pendengki, apabila pendengki itu tidak menghendaki apa-apa pun selain hilang nikmat daripada orang tersebut.

Islam menegah kita daripada bermusuhan, dan puasa pula mendidik kita supaya mengeratkan silaturahim. Melaluinya kita dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan serta menghindari sifat dengki dan khianat. Hidup yang penuh permuafakatan dan persaudaraan akan menguatkan perpaduan ummah.

Fungsi masyarakat Islam terhadap akhlak sangat penting dengan menjaga adab dan budaya Islam terutamanya pada bulan Ramadan. Menjaga mata daripada pandangan yang tidak baik sangat digalakkan. Puasa Ramadan mendidik kita menjaga tangan dan mulut daripada menyebarkan kedengkian. Menjauhi sifat dengki dan khianat sangat penting bagi kerukunan hidup dalam masyarakat.

Ingatlah bahawa tarbiah puasa Ramadan mendidik kita supaya mengekalkan budaya yang baik dengan rasa persaudaraan dan kasih sayang, mengutamakan orang lain, bersatu padu, saling menolong, bantu-membantu, berkerjasama dan persaudaraan yang tidak mengenal kedudukan. Tidak akan rugi orang yang berbuat baik kerana semua perbuatan tersebut akan diberikan ganjaran pahala oleh-Nya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.