29 Mac 2024, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan tentang petunjuk itu dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dengan yang salah).”

(Surah al-Baqarah 2:185)

Ayat tersebut merujuk wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW, bermula ayat 1 hingga 5 Surah al-‘Alaq, yang berlaku pada bulan Ramadan, ketika Baginda sedang beruzlah di gua Hira. Berdasarkan ayat pertama Surah al-Qadr, Ibn Abbas menjelaskan bahawa penurunan al-Quran secara keseluruhan dari Lohmahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia, juga berlaku pada bulan Ramadan, dan kemudiannya diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW, mengambil masa 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari, sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan al-Quran itu telah Kami turunkan sedikit demi sedikit agar kamu (wahai

Muhammad) membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya dengan beransur-ansur.”

(Surah al-Isra’  17:106)

Al-Quran mengandungi panduan meliputi semua aspek kehidupan yang wajib dipelajari, difahami dan diamalkan.

Ayat al-Quran diturunkan secara beransur-ansur bertujuan agar boleh diajarkan  kepada manusia secara teliti, tanpa bergopoh-gapah, agar maksud yang terkandung dalam ayat yang diturunkan dapat difahami, dijadikan pengajaran, lalu disusuli dengan amalan. Ayat al-Quran diturunkan secara beransur-ansur juga dengan tujuan untuk merungkaikan dan menjawab setiap permasalahan yang timbul melalui pelbagai peristiwa yang berlaku, hatta mengabsahkan al-Quran itu benar-benar kalamullah, dan bukan reka cipta Rasulullah SAW. Al-Quran dijamin keaslian dan kesahihannya  seawal penurunannya hingga hari kiamat. Firman Allah SWT:

 

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya.”

(Surah al-Hijr  15:9)

Beberapa penghayatan penting daripada peristiwa penurunan al-Quran:

Pertama: Jibril a.s. merupakan perantara penurunan al-Quran kepada Rasulullah SAW. Setelah menghafalnya, Rasulullah akan menyampaikan dan mengajarkannya kepada para sahabat. Bacaan Rasulullah SAW akan disemak oleh Jibril a.s. pada setiap bulan Ramadan, demikian juga Baginda akan menyemak bacaan para sahabat.

Kedua: Pengumpulan al-Quran serta bagaimana al-Quran dibukukan telah melalui satu disiplin yang amat tersusun, bermula pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a., Sayidina Umar al-Khattab r.a., melalui ijtihadnya telah meyakinkan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq untuk memulakan ikhtiar pengumpulan al-Quran yang dibantu oleh kepakaran Sayidina Zaid bin Thabit r.a. Dalam proses pengumpulan al-Quran, dua orang sahabat tersebut telah meletakkan syarat dan disiplin yang ketat lagi rapi dengan menyemak semua hafalan dan catatan penulisan al-Quran daripada para sahabat, sebelum diterima dan disahkan bertepatan menurut yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Al-Quran yang dimushafkan, iaitu dibukukan pada zaman pemerintahan Sayidina Abu Bakar, dan disambung dalam bentuk mushaf atau kitab yang lebih seragam pada zaman pemerintahan Sayidina Uthman r.a.

Ketiga: Penurunan al-Quran merupakan titik permulaan kepada perubahan peradaban manusia yang mengubah kegelapan jahiliah kepada sinar cahaya Islam. Manusia beralih daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah yang Maha Esa. Kebatilan dan kezaliman berubah kepada kebenaran dan keadilan. Negara Islam Madinah diasaskan atas nilai persaudaraan dan perpaduan umat sejagat. Nilai-nilai insani dipelihara. Sebaik-baik manusia adalah yang paling bertakwa dalam kalangan mereka. Tiada lagi penindasan dan kezaliman. Yang kaya membantu yang miskin, dan yang kuat membantu yang lemah. Manusia hidup dalam rukun dan damai selagi al-Quran menjadi rujukan, panduan dan pedoman kehidupan.

Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak boleh membaca al-Quran.

Keempat: Al-Quran ialah mukjizat agung kurniaan Ilahi. Al-Quran terdiri daripada 30 juzuk, 114 surah, 6236 ayat (4780 ayat diturunkan di Makkah dan 1456 ayat diturunkan di Madinah), 77 437 perkataan dan 323 671 huruf. Dalam al-Quran terkandung nilai mukjizat yang menyeluruh bermula dengan kemukjizatan bahasa al-Quran sehingga keindahan dan ketajaman bahasanya di luar kemampuan manusia untuk menghasilkannya. Kemudian diikuti dengan kemukjizatan syariat al-Quran; syariat solat, puasa, haji dan ibadat lain, mengatasi keupayaan akal pemikiran manusia. Kemukjizatan kejiwaan merujuk kesan kepada makhluk apabila ayat al-Quran diperdengarkan. Begitu juga kemukjizatan saintifik yang telah terbukti kebenarannya pada era kemajuan sains dan teknologi. Kajian kemukjizatan al-Quran telah menjadi asbab banyak dalam kalangan pengkaji telah  menerima hidayah Allah SWT.

Sempena sambutan nuzul al-Quran, umat Islam diajak untuk menginsafi perkara yang berikut:

Pertama: Al-Quran ialah wahyu yang mengandungi panduan kehidupan meliputi semua aspek kehidupan yang wajib dipelajari, difahami dan diamalkan. Al-Quran bertujuan membimbing manusia mengenali dan menyembah Allah yang Maha Esa; tempat pergantungan sekalian makhluk. Sebarang usaha bersifat menyanggah kebesaran dan kemuliaan Allah SWT merupakan perbuatan tercela yang wajib dihalang.

Kedua: Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak boleh membaca al-Quran. Kaedah pengajaran al-Quran jangan dilakukan secara terburu-buru, untuk anak-anak mahu cepat dikhatamkan sebaik selesai membaca 30 juzuk. Sebaliknya, anak-anak hendaklah dididik dan diasuh untuk turut memahami maksud dan menghayati kandungan al-Quran, agar kandungan al-Quran dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan harian.

Ketiga: Kesempurnaan bacaan al-Quran boleh dilakukan melalui disiplin ilmu tajwid untuk mengenali hukum bacaan,serta menyempurnakan sifat dan sebutan huruf. Bacaan al-Quran yang sempurna akan dikurniakan ganjaran yang hebat di sisi Ilahi, begitu juga bagi mereka yang berusaha membacanya seperti hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama-sama para malaikat yang mulia, orang yang membacanya dengan tersangkut-sangkut dan berasa susah membacanya (iaitu sewaktu mempelajari al-Quran) untuknya dua ganjaran.

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Keempat: Jadikan membaca al-Quran budaya harian. Mulakan hidup setiap pagi dengan membaca walaupun hanya sepotong ayat al-Quran diikuti dengan maksudnya.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 29 Mac 2024, bertajuk “Menghayati Peristiwa Nuzul al-Quran.”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.