28 Mac 2024, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejarah mencatatkan pada tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah, tercetusnya peperangan pertama dalam Islam yang disebutkan sebagai Perang Badar al-Kubra. Peperangan ini dinamakan sebagai Badar kerana tempat berlakunya perang tersebut di sebuah lembah bernama Badar. Kedudukan Badar agak strategik kerana terletak di antara Makkah dengan Madinah.

Dalam catatan sirah, seperti yang telah dinukilkan oleh Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum, pada asalnya tentera Islam bukanlah mempunyai tujuan untuk mencetuskan peperangan. Sebaliknya, tujuan sebenar tentera Islam adalah untuk memintas rombongan pemimpin Makkah bersama Abu Sufyan dalam perjalanan pulang dari Syam. Tindakan ini dibuat bertujuan untuk melumpuhkan bekalan musuh yang berpangkalan di Makkah.

Namun demikian, dengan takdir Allah, tentera Islam telah berhadapan dengan tentera musuh yang datangnya dari Makkah dan jumlah mereka sangat besar – melebihi jumlah tentera Islam. Dalam catatan sejarah juga, Abu Jahal telah memaksa Bani Hashim untuk turut turun berperang menentang Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab itu, tentera Islam bukan sahaja berhadapan dengan musuh mereka bahkan ahli keluarga mereka di Makkah.

Peperangan ini menyaksikan jumlah tentera Islam lebih kecil berbanding dengan jumlah tentera kaum Musyrikin Quraisy. Disebutkan oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri, jumlah tentera Islam berjumlah 300 orang dan beberapa belas orang sahabat. Mereka terdiri daripada 82 atau 83 atau 86 orang kaum Muhajirin, 61 orang kaum Aus dan 170 orang kaum Khazraj. Kekuatan tentera ini ditambah dengan dua ekor kuda milik Zubair al-Awwam dan Miqdad al-Aswad, juga 70 ekor unta yang ditunggangi secara bergilir-gilir bagi berhadapan dengan pihak musuh.

Kekuatan tentera Musyrikin Quraisy pula menyaksikan sebanyak 1300 orang askar pada peringkat permulaan, dengan kekuatan sokongan sebanyak 100 ekor kuda dan 600 perisai digunakan dalam peperangan tersebut. Pasukan tentera ini diketuai oleh Abu Jahal bin Hisham. Peperangan ini juga menyaksikan pelibatan para malaikat membantu tentera Islam dan iblis bagi memberikan semangat kepada tentera kaum Musyrikin Quraisy.

Meskipun jumlah tentera musuh lebih banyak berbanding dengan tentera Islam, dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT, tentera Islam memperoleh kemenangan yang sangat hebat. Sebanyak 70 orang tentera Musyrikin Quraisy terbunuh manakala 70 orang lagi ditawan. Baki yang lain telah melarikan diri dari medan peperangan. Pertempuran yang penuh dramatik yang berlaku pada bulan Ramadan ini membuktikan kepada kita bahawa pertolongan Allah SWT itu benar dan sentiasa ada bersama-sama orang beriman.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 123 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Kerana itu, bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.

Imam Ibn Katsir ketika menjelaskan ayat ini, beliau menyatakan bahawa: “Ketika saat terjadi Perang Badar yang bertepatan pada hari Jumaat, tanggal 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Pada hari itu juga, disebutkan yaum al-furqan yang bermaksud hari pembezaan antara hak dengan batil. Pada hari itu, Allah Azzawajalla memuliakan Islam dan kaum Muslimin serta menghancurkan kesyirikan dan penyokongnya, padahal jumlah kaum Muslimin yang turut berperang ketika itu sangat sedikit.”

Kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada ahli Badar juga dapat kita lihat menerusi sebuah hadis Nabi Muhammad SAW riwayat al-Bukhari, daripada Rifa’ah, iaitu seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang turut serta dalam Perang Badar. Beliau menyatakan bahawa Jibril a.s. mendatangi Nabi Muhammad SAW dan bertanya: “Bagaimanakah kalian memandang orang yang ikut serta dalam Perang Badar?” Rasulullah SAW menjawab: “Mereka termasuk dalam kalangan kaum Muslimin yang terbaik.” Jibril a.s. mengatakan: “Begitu juga para malaikat yang sertai dalam Perang Badar.”

Mengamati kisah peperangan dan kemuliaan golongan yang menyertai Badar al-Kubra, membuatkan kita lebih termotivasi dan terinspirasi dengan kisah peperangan agung ini. Oleh itu, dengan mengambil semangat perang Badar al-Kubra ini, mudah-mudahan kita berjaya mengharungi tarbiah Ramadan ini dengan penuh ketakwaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.