Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRamadan sering disebut sebagai bulan tarbiah atau bulan melatih diri untuk menjadi seorang hamba yang lebih bertakwa kepada Allah SWT. Umumnya, Ramadan melatih kita menjadi seseorang yang lebih berdisiplin dan bersistematik melaksanakan amal ibadat dan segala urusan hidup seharian. Bulan Ramadan disediakan dengan pakej persekitaran yang positif untuk melaksanakan kebaikan.
Yang pastinya, bulan Ramadan menjadi medan tarbiah diri merangkap penguat iman dan jati diri. Kehadiran bulan ini sepatutnya menjadi medan untuk menguji tahap keimanan dari segenap sudut dan aspek. Sifat mahmudah seperti sabar, takwa, syukur dan kesederhanaan akan terus disuburkan berkat daripada amalan ibadat pada bulan yang berkat ini.
Cuba renungkan kekuatan iman para sahabat dan pejuang Islam yang berjuang memartabatkan Islam berperang dalam peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadan. Walaupun dengan kekuatan tentera yang minimum, tetapi mereka dapat mengalahkan bala tentera yang besar jumlahnya. Pastinya kekuatan rohani dan kekentalan iman menjangkaui kekuatan fizikal para syuhada tersebut. Jika dinamakan Ramadan sebagai sebuah universiti, maka universiti Ramadan tampil sebagai medan untuk umat Islam belajar mencari kekuatan diri sehingga bergraduasi dengan nilai takwa apabila tamatnya Ramadan.
Namun begitu, pada zaman ini kita hanya berperang dengan nafsu lapar dan dahaga serta godaan dunia semata-mata. Barangkali ada yang puasanya hanya tidak makan dan minum. Pun begitu, hal tersebut masih memerlukan pengorbanan dan jihad yang tidak kurang hebatnya. Berapa banyak antara kita yang mengorbankan keimanannya dengan melanggar perintah puasa semata-mata kerana tidak tahan dengan godaan nafsu makan dan minum. Sedangkan keadaan puasa yang menuntut kita berlapar dan dahaga itu merupakan tarbiah menundukkan nafsu yang sentiasa terdorong kepada keseronokan. Dengan berlapar itulah dapat menyedarkan hati bahawa kita terlalu mewah dengan segala-galanya, sedangkan kelaparan itu menjadi kekuatan masyarakat Muslim di negara bergolak seperti di Palestin dan Syria.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:183). Puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dapat mendidik hati dan nurani untuk menghapuskan sifat mazmumah yang sekian lama bertapak di sanubari. Sifat sabar yang amat dituntut daripada mengatakan sesuatu yang keji walaupun ditohmah akan menjadikan diri kita dihormati oleh lawan dan rakan. Sabar dan tidak bertindak balas walaupun dicerca menjadikan jiwa semakin kental dengan roh keimanan, manakala sabar pada saat berhadapan dengan musibah dapat menyediakan diri kita untuk menjadi mukmin yang soleh. Allah berfirman dalam Surah al-Haj ayat 35 yang bermaksud, “… (iaitu) orang yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, orang yang sabar terhadap apa-apa yang menimpa mereka, orang yang mendirikan sembahyang dan orang yang menafkahkan sebahagian daripada apa-apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka.”
Ternyata sifat sabar mempunyai kaitan dengan jalan untuk mendapat keberkatan Allah SWT. Diharapkan juga kehadiran Ramadan dapat menghapuskan sifat mazmumah yang lain seperti tamak haloba, suka membazir, suka melengah-lengahkan masa, tidak bersyukur, suka mengadu domba serta mengumpat saudara yang lain.
Kesan tarbiah Ramadan sepatutnya membuahkan keinginan untuk melaksanakan kebaikan serta terbentuknya peribadi yang luhur. Hal ini terlihat pada tutur kata yang sopan dan tingkah laku yang terpuji. Malah, hal tersebut bersesuaian dengan hakikat puasa, iaitu menahan kedua-dua mata daripada memandang sesuatu yang haram, menahan pendengaran daripada mendengar sesuatu yang diharamkan, menahan lisan daripada perkataan dusta, umpat, keji dan seumpamanya, dan menahan seluruh anggota tubuh daripada melakukan sesuatu yang haram. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak memerlukan (puasanya) walaupun dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Selain itu, tarbiah Ramadan akan menyuburkan rasa mahabbah dan kecintaan terhadap saudara seagama yang lain. Inilah bulan yang akan lebih membibitkan rasa sayang dan keprihatinan kepada warga yang hidupnya dalam kekurangan seperti anak yatim dan golongan miskin. Maka itu, bagi yang senang pastilah melonjakkan rasa ingin turut berkongsi sedikit kebahagiaan dengan yang kurang bernasib baik. Amalan memberikan juadah berbuka, bertukar juadah sesama jiran, serta banyak menghulurkan sedekah kepada yang memerlukan dapat menguatkan roh persaudaraan sesama Muslim.
Apatah lagi ibadat zakat fitrah yang diberikan kepada golongan yang berhak akan menimbulkan keinsafan dan dapat membantu insan yang memerlukan. Hal ini sesuai dengan maksud zakat, iaitu membersihkan mereka daripada kekikiran dan cinta yang berlebih-lebihan kepada harta benda. Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam Surah al-Tawbah ayat 103 yang bermaksud, “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Dalam bersedekah misalnya, Rasulullah SAW menunjukkan contoh teladan yang sangat baik untuk diikuti. Diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.anhuma, beliau berkata yang maksudnya, “Rasulullah SAW merupakan orang yang paling dermawan dalam perkara kebaikan. Dan Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Maka pada saat Jibril menemui Baginda, ketika itulah Baginda SAW lebih dermawan dalam perkara kebaikan daripada angin yang berhembus.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Semoga keberkatan pada bulan Ramadan ini akan membuahkan rasa kehambaan yang tinggi dengan niat untuk mengubah tabiat yang kurang baik kepada tabiat yang memberikan manfaat kepada semua. Semoga Ramadan yang hadirnya penuh berkat ini akan dijadikan medan latihan juga tarbiah diri untuk mengharapkan keampunan Allah SWT. Amat malang sekiranya kita tidak mengambil manfaat kehadiran bulan Ramadan untuk kita mengubah diri untuk menjadi hamba yang beriman dan bertakwa. Semoga Allah melimpahkan kurnia kepada hamba-Nya yang ingin mengubah diri ke arah kebaikan melalui tarbiah dalam bulan yang penuh keberkatan ini.