15 Mac 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang beriman, mengerjakan amalan soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat akan mendapat pahala di sisi Tuhan mereka. Mereka tidak bimbang (berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak pula bersedih hati.”

(Surah al-Baqarah 2:277)

Amalan terpuji ialah amalan baik yang berperanan besar untuk kesejahteraan hidup setiap Muslim, baik ketika berada di dunia, mahupun di akhirat. Ayat tersebut menyatakan bahawa mereka yang beramal soleh akan mendapat ganjaran pahala; mereka tidak gusar dan tidak bimbang apabila ditimpa bencana, dan tidak akan takut pada hari manusia menjadi resah dan gundah menanti giliran hisab di mahkamah Allah SWT.

Kita sedang berada dalam bulan yang penuh keberkatan serta limpahan rahmat pintu pengampunan yang terbuka seluas-luasnya. Umat Islam diingatkan untuk melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan pengharapan berpandukan sabda Baginda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Puasa ialah perisai, maka janganlah berkata keji, dan jangan melakukan dosa. Jika ada orang yang mengajak bergaduh, atau mencaci maki, maka ulangilah ucapan ‘Saya sedang berpuasa, saya sedang berpuasa.’”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis yang seumpamanya menurut riwayat Imam al-Tirmidzi, menghuraikan lafaz yang bermaksud “puasa ialah perisai daripada api neraka”. Hadis tersebut memperkukuhkan hujah betapa tingginya kedudukan ibadat puasa yang sewajibnya dilaksanakan dengan penuh keimanan dan pengharapan untuk memperoleh perisai daripada azab api neraka.

Ramadan merupakan bulan yang dapat menghidupkan akhlak mulia melalui tarbiah amalan kebaikan. Puasa mendidik umat Islam untuk sentiasa mensyukuri nikmat dan hidup berkasih sayang sesama insan. Semoga kelaparan yang dirasai ketika berpuasa menginsafkan diri kita akan erti penderitaan yang dilalui oleh mereka yang berada dalam kesusahan. Mudah-mudahan melalui keinsafan tersebut, akan bertunas rasa belas dan ihsan untuk sedia berkongsi rezeki dan nikmat yang Allah SWT telah limpahkan kepada kita yang berada dalam kesenangan.

Kelaparan yang dirasai ketika berpuasa dapat menginsafkan diri kita akan erti penderitaan yang dilalui oleh orang yang berada dalam kesusahan.

Memberi makan kepada manusia merupakan amal makruf yang amat mudah dilakukan, namun tidak semua orang terbuka pintu hati untuk melakukannya, meskipun dalam kalangan orang yang telah dilimpahi dengan rezeki mewah yang melimpah ruah. Oleh sebab itu, Allah SWT amat menggalakkan amalan memberi makanan kepada orang yang memerlukan, dilakukan dengan penuh keikhlasan seperti firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan tahukah kamu apakah amalan menempuh jalan yang sukar? (Antara amalan itu bagi orang yang mampu) termasuklah memerdekakan hamba abdi. Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim yang ada hubungan kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah (fakir).”

 (Surah al-Balad 90: 12 -16)

Selain menghidupkan solat dan bacaan al-Quran serta bersedekah harta dan wang ringgit kepada mereka yang memerlukan, amalan seperti memberikan makanan kepada jiran tetangga dan mendoakan keluarga dan rakan taulan juga termasuk dalam amalan terpuji. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan mafhumnya, “Apabila kamu memasak lauk-pauk, maka perbanyakkanlah kuahnya, kemudian lihatlah ahli jiran kamu dan berikanlah kepada mereka.” Hadis tersebut mengingatkan kita tentang tradisi amalan murni masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu dan wajar terus dihidupkan kerana bertepatan dengan amalan makruf yang diajarkan oleh agama.

Saban tahun kita mendengar berlaku pembaziran makanan. Kajian pada tahun 2023 menganggarkan sebanyak 44 peratus daripada kutipan bahan buangan adalah daripada sisa makanan. Angka ini jelas menggambarkan sikap manusia yang tidak insaf dan tidak bersyukur. Ingatlah peringatan Allah SWT yang sangat tegas melarang perbuatan membazir dengan menyifatkan pelakunya sebagai saudara syaitan. Oleh itu, hindari mengikut nafsu dengan tidak melakukan perbuatan membazir yang akan mencacatkan keberkatan amalan, di samping merencatkan kurniaan pahala daripada Allah SWT.

 

Hayatilah ibadat puasa dengan melazimi sunah Rasulullah SAW yang berbuka puasa dengan buah tamar.

Ambillah iktibar akan penderitaan yang sedang dialami oleh saudara kita yang berada di bumi al-Aqsa pada ketika ini, yang terpaksa mengisar makanan haiwan ternakan untuk membuat roti kerana ketiadaan tepung gandum. Pelbagai saluran media mendedahkan keadaan kebuluran yang kian meruncing, yang dihadapi oleh lebih tujuh ratus ribu rakyat Palestin yang menghadapi risiko kehilangan nyawa akibat sekatan bantuan kemanusiaan yang dilakukan oleh perbuatan kejam rejim Israel yang zalim terhadap mereka. Menginsafi keadaan ini, umat Islam diseru agar mengambil pengajaran dan peringatan, antaranya termasuklah:

Pertama: Menghidupkan bulan Ramadan dan menghayati ibadat puasa dengan menggunakan setiap peluang yang ada, memberikan sepenuh masa untuk melakukan amal kebaikan, beramal soleh seperti menggandakan amalan sunat, bertadarus dan tadabur al-Quran, serta memperbanyakkan sedekah membantu mereka yang dalam keadaan susah dan sengsara.

Kedua: Rancang dan kawal hidangan berbuka puasa dan hidangan bersahur secara sederhana agar tidak berlaku pembaziran makanan kerana perbuatan tersebut dikeji oleh Allah SWT. Jangan terpengaruh dengan iklan para peniaga yang bertujuan untuk mengaut keuntungan, menjadikan ibadat berbuka puasa sebagai pesta makanan dan pesta menjamu selera untuk memenuhi nafsu.

Ketiga: Mengekang diri daripada perbuatan yang dibenci oleh Allah SWT seperti mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah, dusta, memaki, mengeji, sama ada melalui percakapan ataupun penulisan di media sosial.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 15 Mac 2024, bertajuk “Ramadan: Amalan Terpuji – Luhur Pekerti.”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.