12 Mac 2024, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allah SWT telah mensyariatkan kepada hamba-Nya yang beriman agar melaksanakan ibadat puasa pada bulan Ramadan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud,

Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Seruan untuk melaksanakan puasa tersebut dimulakan dengan “wahai orang yang beriman”, menunjukkan bahawa dengan iman sahajalah yang menjadikan seseorang hamba mampu melaksanakan rukun Islam ketiga itu dengan jayanya.

Ramadan merupakan bulan berkat, bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan. Pada bulan Ramadan juga al-Quran diturunkan. Ramadan juga merupakan bulan ibadat dan bulan takwa. Pada bulan Ramadan, kita boleh melaksanakan banyak ibadat yang boleh meningkatkan ketakwaan diri kita seperti solat sunat tarawih, solat berjemaah di masjid, bersedekah dan mengaji al-Quran.

Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan hakikat Ramadan dengan berkata:

Bagaimana tidak bergembira seorang mukmin (apabila tibanya Ramadan) dengan terbukanya pintu-pintu syurga? Bagaimana tidak bergembira seorang pendosa dengan tertutupnya pintu-pintu neraka? Bagaimana tidak bergembira seseorang yang berakal dengan waktu yang padanya dibelenggu syaitan-syaitan (durjana)? Adakah waktu lain yang menyerupai waktu ini?

Ibadat puasa ini mempunyai hikmah agung yang jarang disedari oleh umat Islam. Matlamat utama puasa ialah takwa. Maka itu, puasa merupakan latihan terbaik untuk meningkatkan ketakwaan kita sebagai hamba yang beriman.

Dalam bulan Ramadan, umat Islam dididik untuk mengawal nafsu yang tidak baik dan menghindari perkara yang dilarang dalam agama selain menahan lapar dan dahaga. Oleh itu, kita perlulah menjaga adab sepanjang bulan Ramadan dengan menjaga seluruh anggota badan daripada melakukan perkara yang sia-sia dan berdosa. Umat Islam perlulah berpuasa dengan seluruh anggota, bukan sekadar menahan nafsu lapar dan dahaga semata-mata.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berterusan dengan perlakuan tersebut, maka tidak ada nilai di sisi Allah pada dia meninggalkan makan dan minumnya itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Sepanjang bulan Ramadan, kita perlulah berpuasa dari segi penglihatan, pendengaran dan percakapan daripada perkara yang haram, serta menjaga kehormatan diri.

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, beliau menjelaskan beberapa adab yang perlu kita lakukan sepanjang bulan Ramadan, antaranya termasuklah menundukkan pandangan. Kita perlu menahan penglihatan daripada bebas melihat perkara yang boleh merosakkan ibadat puasa. Jauhi daripada melihat video, gambar atau pemandangan yang kurang sopan dan yang salah di sisi syarak. Pandangan mata jika tidak dijaga dengan iman akan menjadi racun dan boleh merosakkan diri.

Adab yang kedua adalah dengan menjaga lidah. Umat Islam perlu memperbanyak bacaan al-Quran, melazimi zikir, berselawat dan kurang bercakap perkara yang sia-sia. Jauhi daripada kata-kata kosong, mengumpat, mengadu domba, perkataan keji, kekasaran, perbalahan dan perdebatan yang tidak berfaedah sepanjang bulan Ramadan.

Seterusnya, tidak mendengar perkataan yang tidak baik. Jauhkan diri daripada mendengar umpatan daripada orang sekeliling. Umpatan, kata-kata kesat ini boleh mengganggu pemikiran kita sehingga menjadikan kita terjerumus kepada dosa. Dengarlah benda yang baik dan berfaedah supaya ibadat kita menjadi lebih sempurna.

Ramadan perlu diraikan dengan kebaikan, seperti berazam untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran.

Beberapa perkara penting perlu diberikan perhatian oleh umat Islam untuk menyambut bulan mulia dan bulan yang penuh rahmat. Antaranya termasuklah mewujudkan niat yang baik, suci dan ikhlas dalam usaha menghidupkan Ramadan dengan pelbagai amal ibadat. Mulakan Ramadan dengan niat yang baik seperti ingin khatam al-Quran, memperbanyak amalan soleh dan berbuat baik terhadap orang sekeliling.

Selain itu, wujudkan suasana gembira ketika menyambut bulan Ramadan. Lakukan persiapan yang terbaik seperti mengemas rumah, serta menyediakan peralatan ibadat yang selesa dan sempurna. Jadikan kehadiran Ramadan seperti kita bergembira apabila menyambut Aidilfitri.

Amalan seterusnya adalah dengan berdoa, meminta Allah memberikan hidayah kepada kita. Contoh doa yang boleh dibaca ialah: “Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat sebaik-baiknya kepada-Mu.” Berdoalah bersungguh-sungguh kepada Allah untuk menguatkan iman dan menganugerahkan hidayah kepada kita supaya menjadi hamba yang bertakwa di sisi-Nya.

Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keagungan, keistimewaan dan ganjaran yang dijanjikan. Umat Islam perlulah menjaga adab dalam bulan Ramadan serta menetapkan niat yang baik ketika berada dalam bulan Ramadan. Jadikan Ramadan ini merupakan Ramadan yang paling bermakna dalam hidup dan mampu melatih diri ke arah menjadi insan yang bertakwa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.