8 Mac 2024, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

(Surah al-Baqarah 2:183)

Insya-Allah kita akan menyambut ketibaan Ramadan pada hari Selasa, 12 Mac 2024 untuk memenuhi kewajipan menyempurnakan satu daripada rukun Islam, iaitu ibadat puasa dengan menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Orang yang beriman dan bertakwa sentiasa merindui kehadiran bulan mulia ini dengan penuh keterujaan dan kegembiraan disebabkan berhasrat mahu merebut segala kelebihan dan ganjaran yang terkandung di dalamnya.

Rasulullah SAW apabila melihat kehadiran anak bulan Ramadan, Baginda akan berdoa sebagaimana yang diriwayatkan daripada Talhah bin Ubaidillah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW melihat anak bulan, Baginda akan berdoa: ‘Ya Allah keluarkanlah anak bulan ini dengan keberkatan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keislaman, Tuhanku dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah SWT.’”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Berdasarkan ayat 183 Surah al-Baqarah yang disebutkan, Allah SWT menggunakan perkataan la‘allakum yang membawa maksud “supaya kamu” untuk menjelaskan tujuan mensyariatkan ibadat puasa. Sarjana Islam menghuraikan bahawa penggunaan perkataan tersebut mempunyai tiga peranan:

Pertama: Ta‘lil, iaitu ibadat puasa dijadikan penyebab keberhasilan takwa.

Kedua: Tansib, iaitu ibadat puasa untuk menambah ketakwaan.

Ketiga: Turja, iaitu meletakkan sepenuh harapan kepada Allah agar tergolong dalam kalangan orang yang muttaqin (bertakwa).

Ketiga-tiga peranan ini menggambarkan betapa besarnya kedudukan takwa yang wajib dimiliki oleh setiap Muslim. Ketika seseorang yang berpuasa berjaya menahan serta mengawal keinginan nafsu, bermakna hati dan akalnya sentiasa bersedia menerima petunjuk Ilahi, sehingga gemar melaksanakan amal kebaikan dan cenderung membuktikan ketaatan kepada Allah SWT. Inilah yang dinamakan takwa, matlamat utama untuk dicapai dalam bulan Ramadan.

Jadikanlah Ramadan sebagai medan untuk melakukan perubahan diri ke arah insan yang bertakwa.

Ramadan mengandungi pelbagai keistimewaan. Ramadan menyuntik semangat dalam jiwa orang beriman untuk berlumba-lumba melakukan amal kebaikan sama ada amalan fardu ataupun amalan berbentuk mendatangkan kebaikan kepada umat Islam. Maka itu, Ramadan menjelmakan suasana ibadat yang luar biasa. Kehadiran solat berjemaah dan solat tarawih di masjid atau bersama-sama ahli keluarga memberikan kesempatan untuk umat Islam saling memupuk ukhuwah persaudaraan. Ibadat berpuasa kembali menyuntik sifat ihsan yang sedia ada dalam jiwa mukmin, sehingga menginsafi akan kesusahan yang dialami oleh golongan fakir miskin yang terpaksa berlapar dahaga kerana tiada makanan atau terputus bekalan makanan. Rebutlah peluang untuk meraih pahala dengan memberi makan kepada orang yang memerlukan dengan niat ikhlas semata-mata untuk mendapat keredaan Ilahi.

Sebelum tibanya Ramadan, setiap Muslim dianjurkan untuk bermuhasabah diri sebagai persediaan dan persiapan untuk melangkah masuk ke dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Ramadan mestilah disantuni dengan penuh pengharapan, disusuli persiapan kerohanian dan persiapan umum seperti yang berikut:

Pertama: Berdoa kepada Allah SWT agar diberikan peluang, kesempatan dan kesihatan untuk berupaya melakukan ibadat pada sepanjang bulan Ramadan.

Kedua: Membiasakan diri dengan menggandakan ibadat sunat lebih daripada kebiasaan seperti solat sunat, zikir, istighfar dan selawat.

Ketiga: Membanyakkan bacaan dan mengulang hafalan al-Quran.

Keempat: Mengulang kaji hukum-hakam berkaitan dengan ibadat puasa.

Kelima: Merancang perbelanjaan juadah berpuasa dan bersahur secara berhemah tanpa membazir.

Keenam: Memperuntukkan sebahagian harta untuk amalan bersedekah, tajaan berbuka puasa di masjid, surau dan untuk fakir miskin, anak yatim serta mereka yang memerlukan.

Ketujuh: Masjid dan surau yang menganjurkan majlis berbuka puasa hendaklah memastikan kelancaran, menjaga kebersihan dan mengatur kehadiran kanak-kanak tanpa mencetuskan gangguan untuk jemaah beribadat, terutama ketika solat tarawih.

Kelapan: Para peniaga melakukan kegiatan urus niaga dengan jujur, dan memastikan barangan jualan dalam keadaan baik, bersih, selamat digunakan serta menepati timbangan mahupun ukuran.

Kesembilan: Penganjur bazar jualan juadah berbuka puasa atau pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan tempat solat bagi memudahkan para peniaga menunaikan solat terutama fardu asar dan maghrib.

Hendaklah dijadikan contoh amalan doa menyambut kedatangan Ramadan yang diamalkan oleh para salaf al-soleh, terdiri daripada para sahabat dan tabiin. Antara doa yang diamalkan oleh mereka termasuklah:

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah daripadaku (ibadat pada bulan itu).”

Elakkan berbelanja secara berlebihan untuk berbuka puasa kerana hal tersebut boleh membawa kepada pembaziran.

Demi memastikan puasa tidak hanya sekadar perbuatan menahan lapar dan dahaga, ibadat puasa hendaklah dilaksanakan menurut aturan syarak berlandaskan wahyu dan sunah Rasulullah SAW. Umat Islam dinasihatkan agar menjaga adab ibadat puasa, antaranya termasuklah meninggalkan perbuatan sia-sia, tidak mengumpat, tidak memfitnah, tidak tidur berlebihan pada siang hari, menjaga pancaindera daripada mengundang perbuatan dosa, dan menjauhi perbuatan yang boleh mengakibatkan terhapusnya pahala ibadat.

Lihatlah Ramadan yang bakal tiba sebagai medan untuk melakukan perubahan diri ke arah insan yang bertakwa, iaitu insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ramadan ibarat laut yang dilimpahi dengan pelbagai hasil di dalamnya; beruntung bagi nelayan yang bersungguh-sungguh mengutip hasil sebagai bekalan untuk dibawa pulang.

Disenaraikan beberapa perkara yang berikut sebagai peringatan bagi umat Islam:

Pertama: Ramadan ialah kesempatan untuk umat Islam merebut sebanyak mungkin ganjaran dan kelebihan kurniaan Ilahi.

Kedua: Perbanyakkan berdoa agar Allah SWT memberikan bimbingan dan kekuatan untuk kita cekal menyempurnakan ibadat puasa dengan hati yang cenderung untuk melakukan amal kebaikan, dan pada masa yang sama meninggalkan segala larangan.

Ketiga: Lakukan persiapan lahiriah dari segi menjaga kesihatan diri, juga persiapan rohaniah dari segi mengukuhkan kekuatan iman.

Keempat: Jauhi perbuatan membazir dengan menyediakan makanan yang berlebihan, atau mengeluarkan perbelanjaan besar yang mengandungi unsur pembaziran kerana didorong oleh nafsu untuk menjamu selera secara berlebihan, seolah-olah ada pesta makanan semasa berbuka puasa.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 8 Mac 2024, bertajuk “Persiapan Ramadan, Meraih Ketakwaan.”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.