7 Mac 2024, 21:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan hasrat untuk tidak menyambung tugas sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selepas tempoh perkhidmatan baginda yang bakal tamat pada 9 Mac ini.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office dalam Facebook pada hari ini, Sultan Sharafuddin menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih pengerusi baharu dalam kalangan Raja Pemerintah agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan dapat diteruskan pelaksanaannya dengan lebih baik.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih atas komitmen semua ahli mesyuarat, wakil-wakil negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku sekretariat MKI atas pelaksanaan tugas yang efektif sehingga membolehkan semua mesyuarat MKI dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Kenyataan yang sama memaklumkan bahawa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah JAKIM merangkap Setiausaha Jawatankuasa MKI, YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff dan sekretariat MKI.

Pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa ini, baginda menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa dan Sekretariat sepanjang baginda memegang jawatan sebagai Pengerusi MKI bermula pada 10 Mac 2022.

“Baginda turut menyemak semua minit mesyuarat yang lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang telah ditubuhkan menjalankan tugas yang diamanahkan,” kata Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa sepanjang bertindak sebagai Pengerusi MKI, menjadi kewajipan baginda untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar agama Islam di Malaysia dalam setiap keputusan yang dibuat secara muzakarah.

Peraturan 2 (1) Peraturan-peraturan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 menetapkan Pengerusi MKI hendaklah dipilih daripada kalangan Raja Pemerintah dan raja tersebut hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.