Oleh Syaza Wardina
3 Mac 2024, 13:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Menteri di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan, tajdid, ihya’ dan nahdah dalam kefahaman tentang fiqh politik Islam perlu diberikan perhatian pada masa ini.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kebanyakan buku teks politik Islam yang masyhur yang dijadikan rujukan, ditulis pada tempoh pemerintahan Kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah.

“Karya agung yang membicarakan konteks mutakhir, iaitu dalam konteks negara bangsa perlu diberikan perhatian dan wacana baharu yang berterusan.

“Pengisian ijtihad yang baharu mampu mengisi kelompangan realiti baharu pada masa ini,” jelas beliau ketika berucap merasmikan pembukaan Konvensyen Ketamadunan Dunia (KKD) 4.0 di sini, pagi tadi.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berucap dalam Perasmian Konvensyen Ketamadunan Dunia 4.0 yang telah berlangsung pada 3 Mac 2024, bertempat di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Pada masa yang sama, Dr. Zulkifli berkata, konsep kenegaraan klasik dan terminologi lama juga memerlukan pemikiran dan pemodelan semula yang serius.

“Begitu juga halnya dengan konsep lain seputar pelaksanaan syariah, perdebatan soal negara Islam dan fiqh jihad perlu diberikan nafas baharu dan satu dimensi baharu.

“Hal ini bertujuan untuk mengisi kekosongan dalam perbincangan wacana yang perlu diperkasakan,” tambah beliau.

Bertemakan “100 Tahun Berakhirnya Khilafah: Legasi, Ibrah dan Masa Depan”, penganjuran KKD 4.0 pada hari ini antara lain bertujuan untuk mewujudkan resolusi yang praktikal untuk generasi hari ini merancang dan melaksanakan pelan tindakan ke arah kegemilangan tamadun.

Hal yang demikian khusus dalam konteks rantau Malaysia-Nusantara.

Kredit foto: Mohamad Adib Zulkifli

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.