1 Mac 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam ayat pertama Surah Ibrahim:

Maksudnya: “Alif Lam Ra. Inilah kitab (al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar kamu mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”

Al-Quran ialah kalamullah yang suci, bersifat qadim (sedia ada), dan mempunyai kebaikan kepada manusia yang tiada penghujung, terutama kepada orang beriman. Al-Quran merupakan petunjuk kehidupan bagi orang bertakwa, seperti firman Allah SWT yang terkandung dalam ayat kedua Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Kitab (al-Quran) ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang bertakwa.”

Sekalian manusia amat beruntung kerana al-Quran terbukti berjaya mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kejahilan kepada kehidupan yang penuh aturan bertunjangkan pengabdian yang benar, hanya kepada Allah SWT. Sejak al-Quran diturunkan, masyarakat Arab dan umat Islam khususnya, berubah kepada kehidupan yang lebih bermakna. Masyarakatnya hidup bersatu, atas dasar persaudaraan akidah, menjalani tatacara hidup yang lebih baik, dengan wujudnya sistem pemerintahan dan perundangan yang adil bertunjangkan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Amalan membaca al-Quran akan memberikan banyak faedah dan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Allah SWT telah menjamin tidak akan berlaku sebarang kekurangan mahupun kesilapan terhadap ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran hingga hari akhirat. Al-Quran kekal terpelihara daripada diubah atau dipesongkan oleh tangan manusia. Keaslian al-Quran sebagai sumber utama pedoman manusia akan kekal, berdasarkan jaminan Allah yang difirmankan dalam Surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya.”

Bacaan al-Quran apabila dihiasi dengan seni taranum (seni bacaan) berserta kemerduan suara pembacanya, tidak akan menjemukan, malah mengasyikkan, sekalipun dibaca berulang-ulang kali. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, beberapa orang sahabat seperti Ubai bin Ka‘ab, Abdullah bin Mas‘ud dan Muaz bin Jabal yang mempunyai kemerduan suara, sering diminta mengalunkan bacaan al-Quran kepada para sahabat. Tiada puisi dan lirik lagu ciptaan manusia yang boleh menandingi kehebatan keindahan al-Quran.

Cara pembacaan al-Quran yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat terus dipelihara dan diwarisi oleh pembaca al-Quran daripada generasi kepada generasi dengan pelbagai jenis qiraat (cara bacaan) yang diiktiraf. Begitulah, Allah SWT telah mempermudah al-Quran untuk dipelajari dan dibaca oleh semua kaum dan keturunan sebagai petunjuk kehidupan. Kemerduan dan keasyikan mendengar alunan al-Quran, sekali gus mendatangkan ketenangan jiwa dan perasaan kepada pembaca dan pendengarnya. Sekeras mana hati manusia, boleh dilunakkan dengan mukjizat yang agung ini.

Amalan membaca al-Quran akan memberikan banyak faedah dan kebaikan di dunia dan di akhirat. Selain pengubat jiwa dan menenangkan perasaan, al-Quran berupaya menyelamatkan pembacanya daripada seksa api neraka seterusnya dijanjikan kurniaan syurga, berpandukan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,Dikatakan kepada pembaca al-Quran: ‘Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu di (syurga) adalah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya.’” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Hadis ini menerangkan bahawa kedudukan seseorang di syurga diambil kira berasaskan sebanyak mana bacaan dan tadabur al-Quran yang telah lakukan. Semakin banyak membaca al-Quran semakin tinggi darjat syurga diberikan. Al-Quran juga menjadi syafaat kepada pembacanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat (penolong) kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim).

Banyak kajian ahli sains Islam yang menggunakan al-Quran sebagai sumber rujukan. Contohnya, al-Khawarizmi mengasaskan ilmu persamaan algebra dalam matematik setelah menganalisis ayat 11 Surah al-Nisa’, berkaitan dengan penyelesaian pembahagian harta pusaka; Al-Haitami melakukan kajian ilmu falak berdasarkan ayat 61 Surah al-Furqan; Ibnu Sina, al-Farabi dan ramai lagi ilmuwan Islam menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama ketika melakukan kajian ilmu sains.

Anak-anak perlu dididik dengan al-Quran sejak dari kecil.

Al-Quran terbukti membenarkan fakta penemuan sains. Pelbagai ilmu pengetahuan dan panduan kehidupan duniawi dan ukhrawi termaktub dalam al-Quran. Asas ilmu dalam bidang matematik, sains, teknologi, perubatan, ekonomi, perundangan, kenegaraan, peperangan, kemasyarakatan, kekeluargaan, dan pelbagai bidang lain yang diperlukan oleh manusia, kesemuanya terkandung dalam al-Quran. Oleh itu, ummah dituntut supaya bersungguh-sungguh melakukan kajian akan kandungan al-Quran, agar sentiasa berada pada jalan yang diredai Ilahi.

Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang boleh disimpulkan, iaitu:

Pertama: Al-Quran ialah mukjizat yang kekal hingga hari ini dan satu-satunya petunjuk yang boleh membawa kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Al-Quran mestilah dipelajari, difahami, dihayati, dijadikan pedoman dan panduan, serta teman sepanjang kehidupan.

Kedua: Ummah hendaklah pada setiap hari memperuntukkan masa walaupun singkat, untuk membaca dan mentadabur al-Quran walaupun hanya beberapa ayat; mendidik diri sehingga membaca dan mentadabur al-Quran menjadi amalan harian.

Ketiga: Pentafsiran al-Quran mestilah menggunakan sumber yang telah disahihkan oleh sarjana Islam kerana al-Quran mesti ditafsirkan mengikut disiplin ilmunya dan tidak memadai hanya mengikut logik akal.

Keempat: Pengajaran al-Quran wajib dihayati dan diimani secara keseluruhan, bukan dipilih berdasarkan pilihan hati dan nafsu, kerana perbuatan beriman dengan sebahagian daripada al-Quran tetapi pada masa sama mengkufuri sebahagiannya, merupakan perbuatan tercela seperti yang Allah SWT tegaskan dalam ayat 150, Surah al-Nisa’ yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang kufur ingkar terhadap Allah dan para rasul-Nya, dan (mereka yang) hendak membeza-bezakan antara keimanan mereka terhadap Allah dan para rasul-Nya dan berkata, ‘Kami beriman kepada sebahagian rasul itu dan kami mengingkari sebahagian (yang lain)’, dan mereka bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dengan kufur itu.”

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 1 Mac 2024, bertajuk “Al-Quran Petunjuk Kehidupan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.