29 Februari 2024, 14:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Usai berjalan-jalan di ibu kota, penulis menyisihkan sedikit waktu tersisa sebelum melelapkan mata dan hanyut dibuai lena memeluk mimpi. Penulis berdiri di hadapan jendela kaca yang terbentang luas, mencapai siling menyentuh lantai pada ketinggian 35 tingkat, sambil memerhati ke luar. Hadir perasaan takjub dan kagum ketika mata penulis menyaksikan pusat kemajuan dan produk kemodenan terunggul tamadun Malaysia.

Gemerlapan cahaya yang dipancarkan oleh sebilangan pencakar langit di kota ini cukup memukau diri penulis yang pada kebiasaannya ditemani oleh suasana dan pemandangan yang lebih konservatif di Terengganu. Begitu tinggi kemajuan material yang telah negara ini capai, setinggi pencakar langit yang didirikan. Kemajuan ini seolah-olah kuntuman bunga yang berputik, indah mekar dan mengharum.

Bunga kemodenan material di Malaysia kian mekar bercambah taktala takhta binaan kedua tertinggi di dunia dirangkul oleh Merdeka 118. Berada pada ketinggian 678.9 meter, pencakar langit ini gah berdiri menjadi kebanggaan baharu watan bertuah ini. Struktur monumental ini diolah persis sosok Tunku ketika almarhum melaungkan laungan keramat 66 tahun yang lalu. Olahan seni bina ini membangkitkan lagi nilai kemegahan yang ada padanya.

Itulah perkara yang penulis saksikan, Kuala Lumpur, sebuah kota raya yang cukup maju jika ditakrifkan dari segi materialnya. Namun begitu, dari aspek dan sudut pandang lain, kemajuan dari sudut moral? Barangkali masih boleh dipersoalkan.

Taktala berbicara soal kemajuan material, penulis teringat kembali kepada pandangan kontroversi yang pernah diutarakan oleh seorang filsuf dari Geneva ratusan tahun yang lalu. Beliau ialah Jean Jacques Rousseau (1712 – 1778), seorang individu yang lantang menyelar kemajuan yang dicapai oleh tamadun Eropah sewaktu kurun ke-18 lalu sebagai asbab kepada keruntuhan tatapan moral masyarakat. Menerusi esei yang dikarang oleh beliau pada tahun 1750 yang berjudul Discours Sur les Sciences et Les Arts, pandangan Rousseau menurut pemahaman penulis, era Pencerahan yang mengoptimumkan pengamalian sains dan seni dalam kehidupan pada era itu seolah-olah racun yang telah menjahanamkan nilai moral dan etika masyarakat Eropah. Metthew D. Menham menerusi artikel beliau menggambarkan secara ringkas akan pandangan Rousseau terhadap kemajuan Eropah: “Dia (Rousseau) menggambarkan kehidupan moden sebagai kejam, hiruk-pikuk, kompetitif dan keras … .”

Asas kepada idea Rousseau ini berputar dalam lingkaran perbandingan antara manusia yang hidup dalam keadaan alami dengan manusia yang hidup pada zaman moden yang dikatakan telah korup dengan sifat buruk hasil daripada kemajuan yang dicapai. Rousseau berhujah bahawa manusia pada zaman primitif kaya dengan sifat alamiah yang bertunjangkan falsafah hidup amour de soi (kasih sayang pada diri sendiri). Amour de soi merupakan falsafah swacinta yang secara alamiahnya mendorong manusia melangsungkan kehidupan, makan, tidur dan membiak bagi kelangsungan spesis.

Falsafah amour de soi pula cukup berbeza dengan falsafah manusia pada zaman moden yang hidup berkiblatkan falsafah amour propre. Amour propre adalah sebuah falsafah destruktif yang mendorong dan meletakkan manusia dalam keadaan yang sentiasa mengejar dan dahagakan dambaan daripada manusia lain. Rousseau menggambarkan amour propre sebagai impak langsung hasil daripada persekitaran tamadun Eropah yang pada ketika itu sedang rancak dengan kemajuan dalam segenap hal khususnya dari sudut material. Rousseau percaya bahawa kemajuan material telah mengkorupkan masyarakat Eropah, berdasarkan pemerhatian beliau ke atas kelahiran falsafah amour propre tersebut.

Namun begitu, benarkah apa yang diujarkan oleh Rousseau itu, adakah kemajuan materialistik menyumbang kepada kemunduran moral manusia?

Jawapan penulis kepada Rousseau, “Tidak semestinya.

Penulis berhujah bahawa kemajuan materalistik tidak akan menyumbang kepada kemunduran moral manusia sekiranya disalut dengan balutan yang kemas. Dalam hal ini, balutan itu ialah ajaran serta nilai Islam. Islam ialah titik yang mampu mengharmonikan kemajuan material dan kemajuan moral. Hujah ini penulis rangka berdasarkan pemerhatian ke atas model peradaban Islam yang lampau, secara spesifiknya penulis mengambil kekhalifahan Abbasiyah yang merupakan kekhalifahan ketiga dalam sejarah Islam (750  ̶  1258 M).

Sebagaimana yang kita ketahui, Islam bukanlah sekadar agama, tetapi juga sebagai cara hidup. Cara hidup tersebut didasarkan dengan al-Quran dan sunah, mencakup seluruh aspek kehidupan manusia dan bermula dari peringkat bawah, iaitu individu hingga ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu peradaban.

Dalam erti kata lain, Islam bersifat holistik, komprehensif dan syumul. Impak daripada kesyumulan itu, kita dapat saksikan pencapaian kerajaan Abbasiyah menjadi pelopor terhadap kemajuan material, khususnya dalam bidang sains dan teknologi, serta menjuarai kemajuan moral menerusi penerapan ajaran serta nilai Islam dalam urusan pentadbiran mereka.

Berbalik kepada hujah asal, penulis telah memilih Kerajaan Abbasiyah sebagai hujah untuk membidas pandangan Rousseau kerana Kerajaan Abbasiyah merupakan model kerajaan Islam yang berjaya menitikberatkan kedua-dua unsur kemajuan, iaitu material dan moral.

Dari sudut kemajuan material, Kerajaan Abbasiyah pada zaman keemasannya, umumnya ketika di bawah Khalifah Harun al-Rashid (786  ̶  809 M) telah menjadi hub utama yang memayungi perkembangan ilmu sains dan teknologi dunia. Impak seperti penubuhan Baitul Hikmah di Baghdad dan kelahiran cendekiawan ulung seperti Ibn Sina dan al-Farabi menjadi bukti kemajuan material yang dicapai oleh Abbasiyah. Pencapaian lain seperti perkembangan seni dan budaya serta keluhuran tradisi pemikiran falsafah juga antara penanda aras kemajuan material yang dimiliki oleh kerajaan Abbasiyah.

Dari sudut kemajuan moral dan nilai etika pula, Kerajaan Abbasiyah merupakan model terunggul yang kita ada. Nilai ajaran Islam yang diamalkan dan diterapkan oleh Kerajaan Abbasiyah berjaya menyemai sifat dan nilai terpuji terhadap moral masyarakatnya seperti integriti, keadilan dan kejujuran. Tamadun Abbasiyah juga menekankan peri pentingnya belas kasihan, tolong-menolong dan sikap hormat- menghormati sesama manusia dalam kehidupan seharian melalui pelaksanaan zakat, wakaf dan sedekah. Amalan yang amnya digerakkan oleh Khalifah dan Baitulmal ini membantu meratakan agihan kekayaan dalam masyarakat selain memberikan manfaat buat gologan rentan.

Selain itu, prinsip seperti keadilan undang-undang dan perlindungan hak asasi manusia juga terpelihara di bawah Kerajaan Abbasiyah, sekali gus membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan nilai keadilan dan kesaksamaan. Semua nilai ini membentuk landasan kejayaan bagi Kerajaan Abbasiyah mencapai kemajuan moral.

Pendekatan Kerajaan Abbasiyah yang berlandaskan ajaran dan nilai Islam terhadap pengurusan dan pembangunan mencerminkan usaha mereka yang jitu dalam usaha mengharmonikan kemajuan material seiring dengan kemajuan moral dan etika yang sekali gus menyangkal pendapat Rousseau.

Tamadun Abbasiyah telah membuktikan bahawa kemajuan material tidak akan menyumbang kepada kemunduran moral sekiranya adunan diletakkan di dalam acuan yang tepat. Dalam konteks ini, acuan yang tepat itu ialah Islam dan nilai serta ajarannya. Memetik kata-kata seorang orientalis dari Scotland, iaitu H.A.R. Gibb menerusi bukunya berjudul Whither Islam, “Islam sememangnya lebih daripada sistem teologin, bahkan adalah sebuah tamadun yang lengkap.”

Kemajuan hakiki bukanlah terletak pada ketinggian pencakar langit semata-mata, tetapi kemajuan dari segi moral dan etika.

Mendepani era kemajuan pascamerdeka ini, di mana kemajuan material terus membentuk kehidupan kita, penulis dapati diri kita berada di persimpangan yang serupa dengan era Rousseau.

Kesimpulannya, kritikan Rousseau dan pengalaman Abbasiyah sewajarnya kita petik dan hadam serta direnungi sedalam-dalamnya. Ketika kita mengagumi kemodenan yang dicapai sebagaimana yang dijelmakan oleh struktur monumental di kota raya kita seperti Merdeka 118, marilah kita beringat bahawa kemajuan hakiki bukanlah terletak pada ketinggian pencakar langit semata-mata, sebaliknya kemajuan moral dan etika merupakan pencapaian sebenar yang mentakrifkan kita sebagai tamadun yang maju secara seimbang sama ada dari segi material mahupun moral.

Rousseau dan Abbasiyah mengingatkan kita bahawa mengejar kemajuan itu tidak seharusnya menyebabkan kita mengabaikan kemajuan moral, sebaliknya harus dipandu olehnya, bahkan membiarkannya terus mekar dan harum seiring dengan mekar dan harumnya bunga pencapaian material. Pada akhirnya, Islam menjadi titik harmoni yang mendamaikan kemajuan material dan moral menuju kemakmuran tamadun.

Semoga tamadun Malaysia terus aman, makmur dan maju!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.