Oleh Syaza Wardina
25 Februari 2024, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peminat sukan ragbi merupakan antara ribuan jemaah yang membanjiri Masjid Putra bagi menunaikan solat subuh secara berjemaah di sini, pagi ini.

Sebilangannya mengenakan jersi ragbi pasukan sendiri mahupun kumpulan kegemaran masing-masing dalam kempen Geng Subuh Macam Jumaat yang disertai oleh bintang ragbi profesional dunia, Sonny Bill Williams.

Dalam perkongsian selepas subuh tadi, Williams menyatakan, beliau sangat terkejut menerima sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia sepanjang keberadaan beliau di sini sejak 16 Februari lalu.

Bekas bintang pasukan All Blacks itu berkongsikan secara ringkas tentang pengalaman dan cabaran beliau sebelum dan setelah kembali kepada fitrah sebagai Muslim, juga nasihat kepada jemaah yang hadir.

Dalam program Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Putra pagi ini, kebanyakan jemaah ialah golongan belia yang rata-ratanya datang dari seluruh Malaysia, bukan sekadar penduduk di sekitar Putrajaya.

Selain golongan belia, yang turut serta ialah jemaah lelaki dan wanita pelbagai peringkat usia; daripada kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga warga emas.

Pada kesempatan yang sama, orang ramai berpeluang menyertai acara jalan laju bersama-sama Williams dari Masjid Putra menuju ke Istana Kehakiman.


Yang berikut rakaman foto detik-detik bermakna program Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Putra pada pagi ini, dari lensa jurufoto JendelaDBP, Mohd Farid Janudin.

Kira-kira 5000 jemaah menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Putra, pagi ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya, YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan YB Senator Dr. Zulkifli Hassan, serta Alif Satar dan Sonny Bill Williams antara yang menyertai solat subuh berjemaah di sini, hari ini.

 

Jemaah wanita daripada pelbagai peringkat usia antara yang hadir mengimarahkan kempen Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Putra.

 

Sesi perkongsian pengalaman dan nasihat usai solat subuh berjemaah.

 

Para jemaah di pekarangan Masjid Putra setelah selesai solat subuh berjemaah dan sesi perkongsian oleh Williams.

 

Williams bersama-sama seorang jemaah yang mengenakan jersi pasukan All Blacks pada acara jalan laju selepas solat subuh dan sesi perkongsian bersama-sama beliau.

 

Jemaah subuh bersama-sama Williams berjalan laju dari Masjid Putra menuju ke Istana Kehakiman.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.