23 Februari 2024, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dialah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada (setitis) air benih, kemudian daripada segumpal darah beku, kemudian daripada seketul daging; kemudian Dia mengeluarkan kamu sebagai bayi; kemudian dipelihara kamu (membesar) sehingga dewasa, lalu (dipanjangkan umur) sehingga menjadi tua. Dan ada antara kamu yang dimatikan sebelum itu, (Allah melakukan yang demikian) agar kamu sampai kepada masa yang ditentukan (untuk menerima balasan), dan agar kamu berfikir.”

(Surah Ghafir 40:67)

Ayat ini menunjukkan bahawa manusia secara fitrahnya akan menempuh pelbagai fasa kehidupan, bermula daripada usia kanak-kanak, disusuli usia dewasa, selanjutnya mencapai usia tua. Antara manusia ciptaan Ilahi, ada yang tidak berpeluang mengalami usia tua kerana menemui ajal sewaktu masih muda. Ketika usia tua, kesihatan manusia semakin merosot, dengan pendengaran semakin kurang jelas dan penglihatan semakin kabur. Begitu juga pelbagai nikmat lain termasuk selera makan semakin hilang. Segala putaran hidup ini telah ditetapkan oleh Ilahi, menandakan keagungan kekuasaan Allah SWT yang wajib diimani, diinsafi dan diambil pengajaran.

Umat Islam wajib menyedari bahawa setiap detik yang berlalu sebenarnya semakin mengurangkan baki usianya yang masih ada, malah semakin menghampirkan kita untuk kembali ke rahmatullah. Tidak ada manusia yang berupaya menetapkan berapa lama tempoh hayatnya, menyebabkan banyak orang yang lali dan lalai, serta mensia-siakan usia yang masih berbaki. Oleh itu, umat Islam hendaklah mengingatkan diri agar senantiasa melakukan persiapan untuk menghadapi fitrah penuaan yang pasti berlaku; dan hendaklah sentiasa memanfaatkan usia melakukan amal soleh selaras dengan peringatan Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Seorang lelaki bertanya, ‘Siapakah manusia yang paling baik wahai Rasulullah?’ Baginda SAW menjawab, ‘Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya.’ Dia bertanya lagi, ‘Siapakah pula orang yang keji?’ Baginda menjawab, ‘Orang yang panjang umurnya tetapi buruk amalnya.’”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Mereka yang melebihi umur 60 tahun dikenali sebagai warga emas. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjurkan bahawa penduduk warga emas di dunia akan mencecah 2.1 bilion menjelang tahun 2050, manakala Malaysia bakal menjadi sebuah “negara tua” menjelang tahun 2030, apabila 15 peratus daripada penduduk di negara ini berumur 60 tahun ke atas. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas di negara ini semakin meningkat, daripada 7 peratus pada tahun 2021, ke 7.3 peratus pada tahun 2022. Peningkatan peratus warga emas tersebut dipengaruhi oleh jangka hayat hidup yang lebih panjang, seiring dengan penurunan kadar kelahiran bayi, disebabkan banyak dalam kalangan penduduk pada hari ini memilih untuk menangguhkan perkahwinan, atau dalam kalangan yang sudah berumah tangga memilih untuk menangguhkan masa untuk mempunyai anak ataupun memilih untuk tidak mempunyai anak yang ramai.

Warga emas seharusnya diberikan perhatian, layanan mesra dan kasih sayang.

Keadaan fizikal dan mental yang kian melemah dalam kalangan warga emas menyebabkan mereka menempuh kesukaran untuk menjalani hidup secara bersendirian pada hari tua; seperti penyakit yang bertambah sedangkan mereka sukar atau tidak mampu untuk mendapat rawatan perubatan dan kemudahan kesihatan, keadaan kewangan yang lemah kerana telah putus sumber pendapatan, di samping tiada simpanan yang cukup untuk membiayai hidup pada hari tua, serta sukar mengubah suai diri dengan alat dan teknologi moden yang semakin canggih. Perubahan iklim, bencana alam, keterjaminan bekalan makanan dan tekanan emosi antara perkara yang turut memberikan kesan mempengaruhi kelangsungan hidup warga emas.

Warga emas seharusnya diberikan perhatian, layanan mesra dan kasih sayang. Amat mendukacitakan apabila mengikuti berita di media massa yang melaporkan kes warga emas yang dihindari, malah ada yang dipukul, didera dan dicederakan. Kebelakangan ini semakin banyak ibu bapa yang meniti usia warga emas, tidak lagi dipedulikan atau dijaga oleh anak-anak. Ibu bapa yang sudah uzur dianggap membebankan dan menyusahkan, lalu sebahagian anak-anak memilih untuk meninggalkan ibu bapa mereka di pusat kebajikan dan rumah orang tua.

Sedarilah! Menjadi kewajipan seorang anak untuk berbakti kepada ibu bapanya. Anak-anak bertanggungjawab membalas budi ibu bapa. Walau sebesar mana kebaikan anak terhadap ibu bapa, namun masih tidak setimpal dengan pengorbanan dan jasa yang telah ibu bapa lakukan dari peringkat anak berada dalam kandungan, dilahirkan dan dibesarkan sehingga menjadi insan dewasa. Rasulullah SAW menyifatkan bahawa kehinaan bagi orang yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa, berpandukan sabda Baginda:

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapakah (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Mereka yang mempunyai salah satu atau kedua-dua orang tuanya ketika sudah lanjut usia, namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga (kerana tidak berbakti).”

(Hadis riwayat Muslim)

Umat Islam wajib menginsafi bahawa setiap detik yang berlalu semakin menghampirkan diri dengan kematian.

Oleh itu, beberapa kesimpulan yang berikut perlu diberikan perhatian:

Pertama: Umat Islam wajib insaf bahawa setiap detik yang berlalu semakin menghampirkan kita dengan kematian. Oleh itu, perbanyakkan beramal soleh, beristighfar memohon keampunan Ilahi, bermaaf-maafan sesama makhluk, menyempurnakan ibadat yang diwajibkan, di samping melakukan ibadat yang disunatkan, bersedekah, berpuasa, bertadarus al-Quran, berselawat dan berzikir dan mengingati Ilahi.

Kedua: Jalani kehidupan yang sihat, pemakanan yang seimbang, beribadat, membaca, menyertai kerja amal, bermasyarakat, bergaul serta menziarahi sanak saudara dan rakan taulan.

Ketiga: Berkhidmat dan berbakti kepada ibu bapa dan saudara-saudara tua kita selagi hayat mereka dikandung badan dengan ihsan, ikhlas, belas dan rasa kasih sayang.

Keempat: Beringat semasa usia muda untuk menghadapi usia tua dengan melakukan persediaan, memiliki rumah tempat tinggal, serta menabung simpanan untuk bekalan hari tua.

Kelima: Menyelesaikan hutang agar keluarga tidak menanggung beban hutang selepas kematian kita.

Keenam: Melakukan hibah dalam kalangan yang bakal meninggalkan harta supaya ahli keluarga tidak mewarisi masalah pembahagian harta pusaka.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 23 Februari 2024, bertajuk “Menginsafi Fitrah Penuaan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.