17 Februari 2024, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mencari rezeki daripada limpahan kurnia-Nya melalui apa-apa sahaja pekerjaan selagi tidak melewati batas syarak merupakan sifat mulia yang disanjung tinggi dalam Islam, malah menjadi tuntutan kepada umat Islam bagi mencapai kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat nanti.

Rezeki dari segi bahasa bermaksud pemberian. Dari segi istilah pula ialah sesuatu yang diberikan oleh Allah SWT kepada semua makhluk, tidak kira sama ada halal ataupun haram. Rezeki yang berkat pula bermaksud rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT daripada sesuatu yang baik dan melalui cara yang baik. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud, “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa-apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Setiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan jujur supaya yang rezeki yang diperoleh mendapat keberkatan oleh Allah SWT.

Kita diperintahkan bukan setakat memakan rezeki yang halal, tetapi juga rezeki yang baik. Sesuatu makanan yang halal belum tentu baik kerana dapat menjejaskan kesihatan kita sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak, seperti gula, daging atau makanan yang sudah basi. Selain itu, mencari rezeki juga hendaklah disertai dengan tujuan yang baik, bukan untuk mencari kekayaan semata-mata dan menjadi takbur dengan kekayaan tersebut, ataupun mencari rezeki dengan tujuan untuk membantu orang kafir dan membunuh orang Islam. Mendapat rezeki yang berkat bukan bermakna rezeki RM1000.00 bertambah menjadi RM1500.00, tetapi kita sentiasa berasa cukup dengan pendapatan yang sederhana biarpun mempunyai jumlah ahli keluarga yang banyak.

Tugas mencari rezeki merupakan tanggungjawab kaum bapa bagi membangunkan diri dan keluarga, sekali gus mengelakkan daripada belenggu kemiskinan dan bergantung hidup pada orang lain. Tidak dinafikan terdapat sesetengah golongan yang bekerja secara ala kadar dan cukup makan sahaja, serta tidak mahu berusaha lebih untuk memperbaik kehidupan, malah sering kali menyalahkan takdir. Sikap mereka lebih bergantung pada nasib dan beranggapan bahawa jalan memperoleh rezeki sangat terhad dan hanya untuk orang kaya sehingga menyebabkan kehidupan mereka tidak juga berubah. Dalam konteks ini, Islam sebagai agama yang suci sentiasa menganjurkan umatnya untuk  membebaskan diri daripada belenggu kefakiran dan kemalasan, dengan bekerja dan berusaha mencari rezeki. Oleh itu, tanggungjawab berkenaan tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, lebih-lebih lagi dalam Islam bekerja dikira sebagai suatu ibadat.

Terdapat banyak hikmah jika rezeki yang diperoleh mendapat keberkatan daripada Allah SWT, antaranya termasuklah menjadi punca atau asbab doa dimakbulkan. Hal ini diperkukuh dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan tidak menerima melainkan perkara yang baik, dan Allah memerintahkan orang Islam (orang yang beriman), sebagaimana Allah SWT perintahkan kepada para rasul. Sesungguhnya Allah berfirman: ‘Wahai sekalian rasul, hendaklah kamu memakan makanan yang baik dan melakukan perbuatan yang soleh.’ Dan Allah SWT menyebut juga, ‘Wahai orang yang beriman, makanlah daripada perkara baik yang telah Aku kurniakan.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘Seorang lelaki telah melalui perjalanan yang jauh sehinggakan pakaian dan penampilannya kusut-masai. Lelaki itu menadah tangan berdoa kepada Allah dengan menyebut, Ya Rabb, Ya Rabb tetapi lelaki itu makan makanan dan minuman yang haram serta memakai pakaian haram, dan dia diberikan makanan yang haram. Oleh sebab itu, bagaimanakah Allah hendak menerima doanya?’” Jelaslah di sini bahawa biarpun doa seorang musafir antara doa yang dimakbulkan, tetapi doa tersebut menjadi tidak termakbul kerana makanan, minuman dan pakaiannya terdiri daripada sumber yang haram.

Rezeki yang berkat merupakan satu daripada asbab doa dimakbulkan oleh Allah SWT.

Selain itu, rezeki yang berkat juga menjauhkan seseorang itu daripada api neraka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah lebih utama untuk dirinya. Seterusnya, menerusi rezeki yang berkat ini juga menandakan kita telah menyahut dan melaksanakan perintah Allah, dan pasti mendapat pahala.”

Allah SWT pula berfirman dalam Surah al-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud, “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.”

Kesimpulannya, untuk mendapat rezeki yang berkat maka perlulah dipastikan sumber dan cara untuk mendapatkannya halal. Tidak kiralah apa-apa jenis pekerjaan sekalipun. Contohnya, kerjaya guru merupakan satu pekerjaan yang mulia dan halal, tetapi sekiranya disalahgunakan, rezeki yang diperoleh menjadi tidak berkat. Begitu juga dengan mereka yang bekerja dengan syarikat bukan Islam. Hal tersebut tidak salah, malah kerja tersebut halal kecuali pekerjaan tersebut melibatkan perlakuan maksiat, penipuan, riba, melalaikan solat, mencuri dan sebagainya. Sudah tentu pekerjaan tersebut bertukar menjadi haram.

Yang pasti, apa-apa pekerjaan sekalipun, hendaklah dilakukan dengan amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan, ikhlas dan jujur, barulah datangnya keberkatan rezeki. Pada masa sama, kita mestilah sentiasa berasa qanaah, iaitu sentiasa berasa cukup dengan apa-apa yang diperoleh, bersyukur, sentiasa beristighfar dan selalu meminta keampunan daripada Allah SWT.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.