16 Februari 2024, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 21:

Maksudnya: “Dan orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami (di akhirat) berkata, ‘Mengapakah bukan para malaikat yang diturunkan kepada kita dan mengapakah kita tidak boleh melihat Tuhan kita?’ Sesungguhnya mereka telah menyombongkan diri mereka dan benar-benar telah melampaui batas.”

Fahaman menolak konsep ketuhanan atau menafikan kewujudan tuhan dikenali sebagai ateisme. Dalam bahasa Arab, disebut ilhad. Al-Quran menggelar mereka sebagai golongan dahriyyun, iaitu golongan yang mempercayai bahawa kehidupan terhenti di dunia sahaja, dan mereka tidak menyandarkan sebarang kejadian hidup dan mati kepada Tuhan.

Fahaman ini bercanggah dengan Islam; fahaman ini berpaksikan aliran memperjuangkan hak asasi manusia yang bertunjangkan pemikiran bebas serta menolak keperluan agama dalam kehidupan. Mereka berpegang pada fahaman, manusia bebas menentukan hala tuju kehidupan dan meyakini sepenuhnya keupayaan yang ada pada manusia.

Akal diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memahami semua perkara. Akal dianggap berupaya menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan  dengan kehidupan tanpa perlu merujuk pandangan agama dan ketuhanan.

Antara keraguan yang ditimbulkan oleh fahaman ini yang bercanggah dengan prinsip Islam ialah:

  • Pertama: Kewujudan Tuhan tidak dapat dibuktikan melalui pancaindera atau secara pembuktian sains.
  • Kedua: Setiap penganut mendakwa agama merekalah yang benar dan Tuhan merekalah yang layak disembah. Persoalannya, mengapakah setiap agama mempunyai Tuhan masing-masing dan Tuhan agama manakah yang sebenar-benar Tuhan?
  • Ketiga: Manusia pada asalnya tidak beragama, oleh itu tidak perlukan agama dalam kehidupan.
  • Keempat: Agama bersifat mengongkong dan menghalang kebebasan manusia.

Antara perkara yang mendorong perkembangan fahaman tidak bertuhan ini termasuklah kurangnya penekanan pendidikan agama dan penghayatan agama dalam kehidupan berkeluarga. Anak-anak yang tidak didedahkan dengan asas fardu ain dan asuhan berpandukan syarak akan mudah terjebak dengan pelbagai aliran pemikiran yang sesat serta menyeleweng.

Dikenal pasti pelbagai saluran media sosial, kini menjadi medan untuk menyebarkan aliran pemikiran yang menafikan kewujudan Tuhan, dan kumpulan berfahaman sedemikian pada masa ini turut berusaha untuk mendapatkan pengikut daripada kalangan anak muda Melayu beragama Islam. Beberapa laman Facebook digunakan sebagai ruang bertemu komuniti mereka untuk berbincang tentang fahaman songsang ini.

Selain itu, faktor nasib kurang baik yang dilalui seseorang seperti pengalaman sedih dan menakutkan pada masa lampau, kurang mendapat belaian kasih sayang, mengalami pelbagai jenis penderaan, terlalu dikongkong oleh ibu bapa, turut menjadi punca untuk mereka cuba mencari kebebasan mutlak sehingga pada akhirnya terjebak untuk menganut fahaman ini.

Islam tidak mengiktiraf fahaman menafikan kewujudan Tuhan; fahaman sedemikian bercanggah dengan prinsip syarak, dan disifatkan fahaman yang menyeleweng. Maha Agung Allah SWT yang menciptakan kejadian manusia dengan fitrah yang suci – fitrah semula jadi bahawa setiap manusia pada hakikatnya memiliki naluri memerlukan Tuhan sebagai tempat bergantung dan tempat bernaung.

Manusia sebenarnya diciptakan bersifat lemah dan amat bergantung pada Tuhan dalam semua perkara terutama apabila menghadapi keadaan antara hidup dengan mati, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-An‘am ayat 63 yang bermaksud,

Katakanlah: ‘Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu daripada bencana-bencana di darat dan di laut?’ (Ketika) kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara sembunyi (dengan berkata), ‘Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami daripada bencana-bencana ini, tentulah kami menjadi orang yang bersyukur.’

Akal manusia wajib dipandu dan dibimbing dengan sumber wahyu al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Sedarilah! Sehebat-hebat Firaun, ketika akhir hayatnya, sewaktu ditenggelamkan dalam Laut Merah, Firaun mengakui keesaan Allah SWT sebagai Tuhan yang layak disembah, namun syahadahnya tidak lagi boleh diterima.

Naluri mengiktiraf kewujudan Tuhan telah pun dijelaskan oleh Allah SWT menerusi ayat 61 Surah al-Ankabut yang bermaksud, “Dan jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik): ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-Nya)?’ Pasti mereka menjawab, ‘Allah.’ Maka mengapakah mereka boleh dipalingkan (oleh hawa nafsu daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)?”

Akal yang dikurniakan oleh Ilahi, sekalipun memiliki keupayaan untuk berfikir jauh, namun terhad dan tidak mampu menyelesaikan keseluruhan persoalan hidup, terutama berkaitan dengan tatacara hidup yang sebenar serta keperluan rohani dan jasmani. Akal wajib dipandu dan dibimbing dengan sumber wahyu al-Quran dan sunah Rasulullah SAW agar manusia kekal berada pada landasan yang diredai Ilahi.

Menurut sejarah, pelopor fahaman Ahli Sunah Waljamaah, iaitu Imam Abu Hasan al-Asy‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi telah membanteras golongan yang melebihkan akal berbanding dengan wahyu, iaitu golongan yang mendewa-dewakan teori sains sehingga menjadikannya panduan dalam kehidupan dan mengetepikan wahyu.

Rumusan yang berikut sewajarnya dijadikan renungan bersama:

  • Pertama: Ummah wajib berpegang pada akidah Ahli Sunah Waljamaah aliran Asya‘irah Maturidiah dan mengukuhkan pegangan dengan mempelajari ilmu agama daripada agamawan yang berkelayakan.
  • Kedua: Ibu bapa dan penjaga bertanggungjawab memberikan didikan asas agama kepada anak-anak, dilengkapi ilmu akademik dan kemahiran hidup sebagai bekalan. Pantau kegiatan anak-anak, mengambil tahu dengan siapa mereka bergaul agar mereka tidak terjebak mengikuti aliran-aliran yang menyeleweng.
  • Ketiga: Pihak berkuasa agama dan institusi pendidikan perlu mempergiat usaha mendidik, mengembangkan dakwah dan melaksanakan pemulihan akidah yang sesuai, di samping menjalankan usaha pencegahan terhadap kegiatan yang menyebarkan fahaman dan aliran yang bertentangan dengan syarak.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 16 Februari 2024, bertajuk “Waspada Fahaman Menafikan Tuhan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.