9 Februari 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam ayat pertama Surah al-Isra’:

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidilaqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Israk dan Mikraj ialah peristiwa yang wajib diimani oleh setiap umat Islam. Israk bermaksud perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidilharam di Makkah menuju ke Masjidilaqsa di Palestin. Mikraj pula ialah perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidilaqsa menuju ke Sidratulmuntaha, menghadap Allah SWT secara langsung.

Masjidilaqsa di bumi Palestin merupakan tempat persinggahan Rasulullah SAW sebelum diangkat ke Sidratulmuntaha.

Marilah kita mengimbau beberapa perkara penting berkaitan dengan peristiwa Israk Mikraj.

Pertama: Kewajipan menunaikan solat lima waktu; bermula daripada perintah menunaikan solat 50 waktu sehari semalam, namun berkat permohonan Rasulullah SAW, dengan ihsan dan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya, dikurangkan kepada lima waktu sahaja. Lebih istimewa, Rasulullah SAW menerima perintah bersolat secara terus daripada Allah SWT tanpa perantara Malaikat Jibril a.s.

Kedua: Sebelum berlakunya peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW menghadapi pelbagai ujian dan berada dalam kesedihan kerana dihalau dan dicederakan oleh penduduk Taif. Hal tersebut ditambah lagi dengan kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kematian isteri tercinta, Siti Khadijah yang merupakan penyokong kuat bagi kegiatan Baginda berdakwah mengembangkan Islam. Israk Mikraj dihadiahkan untuk mengubati kedukaan serta mengukuhkan semangat juang Baginda.

Ketiga: Masjidilaqsa di bumi Palestin, tempat persinggahan Rasulullah SAW sebelum diangkat ke Sidratulmuntaha merupakan satu daripada tanah suci umat Islam. Masjidilaqsa ialah kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Kaabah di Makkah. Negara Palestin merupakan bumi yang banyak diutus para anbia dan rasul. Pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW berkesempatan mengimamkan solat bersama-sama para rasul dan nabi.

Keempat: Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam keadaan luar biasa. Pada kebiasaannya ketika itu,  perjalanan dari Makkah ke Baitulmuqaddis mengambil masa dua bulan, tetapi Nabi Muhammad SAW mengambil masa hanya satu malam. Baginda telah dipersiapkan seekor haiwan yang dikenali dengan “Buraq” sebagai kenderaan istimewa yang bergerak sepantas kelajuan cahaya.

Peristiwa Israk Mikraj telah mengilhamkan ahli sains untuk melakukan kajian serta berusaha untuk membuktikan secara ilmiah bahawa peristiwa tersebut dapat dijadikan sumber pengajaran untuk menemui pelbagai kemungkinan. Ilmu sains masih meneroka pembuktian baharu bagaimana peristiwa perjalanan Israk dan Mikraj boleh berlaku dengan begitu pantas, sedangkan jarak antara Makkah ke Baitulmuqaddis melebihi 1700 kilometer, belum termasuk perjalanan Baginda dari Masjidilaqsa meniti tingkat-tingkat langit hingga ke Sidratulmuntaha yang tiada sesiapa tahu berapa jauh jaraknya. Baginda telah melakukan perjalanan yang sangat jauh dalam tempoh yang sangat singkat – peristiwa yang sangat luar biasa lagi menakjubkan.

Pada tahun 1905, ahli sains telah menemui teori fizik, yang menghubungkaitkan antara masa dengan kelajuan. Jika sesuatu objek bergerak sangat pantas seakan-akan halaju cahaya, masa seakan-akan terhenti, atau hanya melalui satu tempoh masa yang singkat. Teori ini sering kali dikaitkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj.

Kajian sains dan teknologi yang diterokai telah berjaya menghasilkan pelbagai ciptaan kenderaan yang berupaya bergerak pantas sama ada di darat, di laut dan di udara, yang membolehkan manusia pada hari ini lebih cepat sampai ke destinasi perjalanan. Dengan izin Ilahi, manusia turut berjaya menghasilkan kapal menerokai angkasa sehingga dapat mendarat di bulan.

Peristiwa Israk Mikraj merupakan mukjizat teragung. Mukjizat ialah jawapan tuntas kepada perkara aneh yang berlaku kepada para rasul dan nabi. Mukjizat bermaksud suatu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT hanya untuk para utusan-Nya agar dapat dijadikan bukti kerasulan mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 38 yang bermaksud, “Dan tidak ada hak bagi seorang rasul mendatangkan sesuatu ayat (mukjizat) melainkan dengan izin Alah. Mukjizat ialah jawapan kepada peristiwa ajaib yang terjadi kepada para rasul dan nabi, dan berada di luar keupayaan logika pemikiran manusia sebagai bukti kebesaran Allah SWT, juga sebagai peringatan kepada manusia bahawa tiada sesiapa yang dapat menandingi kekuasaan-Nya. Selain itu, hal tersebut menjadi bukti bahawa para rasul dan nabi merupakan insan istimewa yang dipilih oleh Allah SWT untuk dipertanggungjawabkan membawa syariat-Nya.

Perintah mendirikan solat datang secara langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk Mikraj.

Oleh hal yang demikian, umat Islam perlu memberikan perhatian terhadap perkara yang berikut:

Pertama: Peristiwa Israk Mikraj mempertemukan Rasulullah SAW dengan para rasul terdahulu di setiap tingkat langit dan puncaknya berpeluang menghadap secara langsung di hadapan Rabbuljalil. Peristiwa tersebut menjadi penawar untuk mengubati kedukaan yang dialami oleh Rasulullah SAW, di samping memperkukuh semangat juang Baginda.

Kedua: Perintah mendirikan solat datang secara langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Menunaikan solat merupakan tanggungjawab yang wajib dipenuhi mengikut waktu yang ditetapkan. Solat hendaklah diutamakan, didahulukan daripada pekerjaan lain apabila kedengaran seruan azan, tidak boleh diabaikan, tidak boleh ditangguhkan dan tidak boleh diringankan.

Ketiga: Ketika menghadapi cabaran dan ujian yang berat, berserahlah diri kepada Allah SWT. Rintihan dan aduan seorang insan yang lemah itu, jika disampaikan secara ikhlas dan yakin, akan didengari oleh Allah SWT. Sedarlah bahawa manusia diciptakan bersifat kerdil dan lemah. Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, jika Dia menginginkannya berlaku sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Yasin ayat 82 bermaksud, “Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berfirman kepadanya, “Jadilah!” maka jadilah sesuatu itu.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 9 Februari 2024, bertajuk “Israk Mikraj: Memperteguh Semangat – Mempertingkat Keyakinan”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.