Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPeristiwa Israk Mikraj saban tahun dikenang bersempena dengan perjalanan ajaib Kekasih Allah naik ke langit, menuju Sidratulmuntaha untuk bertemu dengan Allah Azzawajalla. Banyak peristiwa luar biasa yang berlaku pada malam tersebut, antaranya termasuklah pertemuan Rasulullah SAW dengan para nabi dan bermulanya perintah solat lima waktu. Namun demikian, kembara ini hanya mengambil masa sesingkat satu malam, membuktikan kekuasaan Allah yang Maha Agung.
Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj merupakan dua perjalanan Rasulullah SAW yang berbeza-beza destinasinya. Israk ialah perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Baitulmuqaddis, manakala Mikraj ialah perjalanan Baginda dari Baitulmuqaddis ke Sidratulmuntaha. Perjalanan yang menakjubkan ini ditemani oleh malaikat Jibril a.s.
Ulama berbeza pendapat berkenaan dengan tarikh perjalanan ini berlaku, namun secara umumnya kita mengingati peristiwa tersebut pada setiap 27 Rejab. Ada juga pandangan ulama yang menyatakan perjalanan agung ini berlaku pada tahun ke-10 kenabian yang juga dikenali sebagai tahun kesedihan kerana wafatnya dua insan kesayangan Rasulullah, iaitu permaisuri hatinya, Sayidatina Khadijah dan bapa saudaranya yang selalu menyokong Baginda dalam segenap hal, Abu Talib. Perjalanan ini menjadi satu kembara yang Allah sediakan sebagai pengubat hati Baginda yang sedang rawan.
Menyentuh tentang tahun kesedihan, ketika ini juga umat Islam sejagat turut dirundung duka dek mengenangkan hayat saudara di bumi Palestin, tempat terletaknya Baitulmuqaddis – ya, tanah berlakunya peristiwa Israk itu. Negeri suci ini sedang dizalimi tanpa belas oleh rejim Zionis laknatullah sejak 75 tahun dahulu dan penindasan itu bertambah buruk bermula pada 7 Oktober 2023 yang lalu. Ibarat peristiwa Nakbah berulang kembali.
Lebih parah lagi, pemimpin negara besar masih lagi tidak mampu memberikan penyelesaian yang sewajarnya. Angka korban warga Palestin semakin meningkat setiap hari. Lebih menyayat hati, kanak-kanak dan wanita merekodkan jumlah mangsa tertinggi. Genosid ini semakin menggila!
Namun begitu, di sebalik lebatnya hujan, akan muncul pelangi indah. Jika kita telusuri rentetan Taufan Aqsa ini, sebenarnya perlahan-lahan sedang membuka mata dunia tentang bumi berkat Palestin. Makin hari, makin ramai yang menyokong dan menunjukkan soladiriti terhadap Palestin, tanpa mengira agama, bangsa dan negara, mahupun warna kulit. Walaupun si penjajah durjana itu masih tanpa segan silu mencanang diri seolah-olah dianiaya, hakikatnya mereka semakin membuka pekung di dada.
Masyarakat di seluruh pelosok dunia kebanyakannya sepakat mengadakan himpunan aman demi rakyat Palestin. Malah, sejak bermulanya serangan terhadap Palestin pada 7 Oktober itu, segenap lapisan masyarakat mula memboikot mana-mana syarikat yang mempunyai hubungan dengan negara haram Israel sebagai desakan untuk menghentikan serangan.
Benarlah kata pepatah, usaha tangga kejayaan. Baru-baru ini, pemilik sebuah syarikat yang merupakan satu daripada syarikat makanan segera tersohor di dunia mengakui terkena tempias boikot masyarakat dengan mengisytiharkan kemerosotan pertama dalam jualan suku tahunnya sepanjang tempoh empat tahun.
Adapun begitu, serangan berat sebelah yang hampir memasuki bulan keempat ini masih belum menunjukkan tanda akan berakhir. Kesengsaraan rakyat Palestin semakin keras. Tiada bantuan ubat-ubatan yang lengkap, tiada makanan dan minuman asas yang baik, hatta penginapan mereka juga hanyalah khemah plastik yang langsung tidak menyelesakan!
Oleh itu, teguhkanlah hati supaya terus bersuara demi Palestin. Usahakanlah dengan berbagai-bagai cara sekalipun untuk menyokong rakyat Palestin sehingga bumi yang berkat ini kembali merdeka.
Palestin, bumi para nabi, tanah penuh keberkatan dan kiblat pertama umat Islam. Bersempena peristiwa besar Israk dan Mikraj ini, renungkanlah firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud,
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidilaqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.