2 Februari 2024, 23:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Persoalan seni sastera Islam pada masa kini amat ketara. Apa-apa yang pasti, unsur seni yang ingin diperkatakan itu mempunyai makna dan tujuan yang sebenarnya. Inilah yang ingin disuarakan kepada masyarakat pembaca amnya.

Bagi golongan penulis umumnya, unsur seni sastera Islam merupakan suatu garapan pena yang diucap dan diolah mengikut landasan yang telah digariskan dalam falsafah kesusasteraan Islam pada awal penciptaannya.

Dalam memperkatakan hal sebegini, unsur sastera seharusnya menyulami maksud yang sebenar dan apa-apa yang pasti kini, unsur itu seharusnya menepati olahan yang akan diutarakan dalam sesebuah karya berbentuk Islam.

Sesungguhnya, seni sastera pada pandangan Islam ialah satu jenis kesusasteraan yang mendukung nilai-nilai Islam dan visinya tentang realiti dan berusaha merubah masyarakat ke arah penghayatan terhadap nilai-nilai dan pandangan hidup.

Pengkaryaan sastera berbentuk Islam menjuruskan diri seseorang insan ke arah mendekatkan diri kepada Tuhan yang satu. Dengan penghasilan sebegini, masyarakat dapat didedahkan dengan unsur-unsur pengamatan budaya Islam yang dibina dengan padu dan kukuh berlandaskan syariat Islam yang syumul.

Penghasilan yang diharapkan ini amat bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran 3:104).

Penghasilan karya sastera Islam seharusnya mendekatkan diri hamba dengan Pencipta.

Bagi mengatasi masalah sebegini rupa, tahap kesungguhan dan daya ketahanan perlu seimbang serta menyeluruh menepati konsep sebenar yang menjurus diri kepada ketakwaan, keimanan, pengorbanan dan keikhlasan terhadap keagungan dan kebesaran ciptaan Allah SWT.

Karya sastera Islam perlu berpandukan nas dan dalil yang telah digariskan dalam kitab suci al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. kepada Nabi dan Rasul tercinta, Muhammad SAW. Al-Quran dan hadis menjadi pedoman dan panduan akhir zaman.

Seni sastera Islam sentiasa menunjukkan secara langsung atau tidak langsung kepada suatu realiti yang lebih baik daripada apa-apa yang ada; realiti yang secucuk dengan sifat insan yang masih berpegang dengan pegangan hidup ini, yakni landasan Islam.

Sifat kepengarangan yang sejati dan tulen lahir daripada unsur pengamatan yang teliti dan berkesan serta bersungguh-sungguh terhadap betapa pentingnya unsur sastera Islam dalam budaya masyarakat yang inginkan sesuatu yang baharu dan dapat memberikan sesuatu kepuasan yang minimum di samping dapat memupuk minat cinta akan sastera dan budaya yang terkandung di dalamnya.

Oleh itu, jadikanlah medan sastera sebagai satu daripada wadah dalam usaha menghasilkan sesuatu yang baharu. Pena yang digarap terhasil daripada ilmu yang memberikan manfaat dan berguna dalam hidup seharian.

Sebagai penulis, kita seharusnya mengikut jejak langkah yang ditunjukkan oleh sasterawan Islam yang terkenal dan terulung dalam kesusasteraan Islam seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin Araniri dan Abdul Samad al-Falimbani. Ternyata bahawa mereka merupakan ulama berwibawa dan berkaliber dalam dunia penulisan sastera. Kemampuan mereka memahami Islam secara menyeluruh telah berupaya melahirkan karya-karya yang bermutu dan terbaik.

Dalam dunia penulisan sastera masa kini, seni sastera ialah gambaran jelas yang membawa pengalaman dan peristiwa yang terjadi dalam dunia masyarakat kita hari ini di samping perkara yang bersangkutan dengan dunia sastera masa kini.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh seorang ahli falsafah Islam, Muhammad Qatib menyebut: “Seni sastera Islam bukan sahaja seni yang penyebutan Islam semata-mata, bukan semata-mata terkandung kepada menasihati, menunjuk jalan dan menggesa membuat kebaikan dan tidak terhad kepada pembicaraan tentang akidah yang disulami falsafah semata-mata.”

Seni sastera Islam ialah seni yang menggambarkan segala kewujudan menurut jurus pandang keislaman, iaitu merupakan ungkapan yang indah tentang Islam, kehidupan dan insan menurut jurus pandang keislaman terhadap hakikat alam, kehidupan dan insan itu sendiri.

Seni sastera Islam ialah seni yang memaparkan pertemuan yang saling menyempurnakan antara keindahan dengan kebenaran. Keindahan ialah hakikat alam yang tercipta manakala kebenaran ialah puncak daripada keindahan.

Ingatlah bahawa sesungguhnya bidang pengkaryaan sastera merupakan wadah terbaik dalam usaha menghasilkan sesebuah karya kreatif yang bermutu dan terbaik di samping dapat mengubah realiti yang tulen agar budaya sastera dapat diperluas dengan lebih mendalam dan menyeluruh ke tahap yang membanggakan dunia kesusasteraan Melayu masa kini.

Apa-apa yang pasti, penulisan karya sastera Islam yang lahir daripada golongan penulis yang berjiwa Islam dapat memberikan sesuatu yang terbaik dalam dunia kesusasteraan Islam itu sendiri.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.