2 Februari 2024, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 86:

Maksudnya: “Apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu penghormatan (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah (penghormatan itu yang sepadan) dengannya. Sesungguhnya Allah menghitung segala sesuatu.”

Adab dan sopan merupakan sebahagian daripada budaya mulia masyarakat Melayu. Adab berakar kata daripada bahasa Arab yang telah dimelayukan dengan erti perlakuan baik mengikut syariat, memperlihatkan tingkah laku serta tutur kata yang halus.

Sementara itu, sopan ialah tingkah laku atau perangai yang mencerminkan sifat-sifat hormat, tertib dan takzim. Masyarakat Melayu pada kebiasaannya menyebut sopan santun dengan maksud sikap lemah lembut, tatalaku yang baik budi pekertinya, beradab dan hormat, selaras dengan tatasusila berlandaskan syariat.

Islam dan masyarakat timur sangat mementingkan budi bahasa dan adab sopan dalam kehidupan harian. Kesopanan bahasa semasa bertutur serta kesantunan tingkah laku, dan bukannya ijazah, jawatan, pangkat atau gelaran yang mencerminkan akal budi seseorang insan.

Sopan santun tidak terhad kepada kesantunan tingkah laku, bahkan kesopanan bahasa dan nada suara ketika bertutur, turut mencerminkan akal budi seseorang insan. Kelulusan akademik, jawatan, pangkat atau gelaran tanpa sulaman adab dan kesopanan hanya melambangkan kerendahan peribadi serta kelemahan akhlak seseorang insan.

Bagi memahami betapa pentingnya adab dan sopan, mari kita jadikan iktibar perintah Allah SWT kepada Nabi Musa a.s. untuk berdakwah dengan Firaun yang Allah sendiri sifatkan Firaun sebagai orang yang melampaui batas. Allah memerintahkan Nabi Musa AS menggunakan kata-kata yang baik dan lemah lembut ketika bersemuka dengan Firaun.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut”.

(Surah Taha 20:43 – 44)

Walaupun Firaun kekal ingkar, namun kaedah berdakwah secara berlemah lembut inilah yang melunakkan sebahagian hati ahli-ahli sihir Firaun untuk beriman dan mengenal Allah SWT.

Masyarakat di Malaysia, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, kaya dengan adat, budaya, nilai dan moral. Amat membimbangkan apabila kebelakangan ini, budi bahasa dan sopan santun semakin dipinggirkan.

Diperhatikan budi bahasa dan sopan santun dipinggirkan bukan oleh golongan yang tidak berpendidikan atau tidak berjawatan tinggi, tetapi dikorbankan oleh kumpulan yang berpelajaran tinggi, berjawatan dan bergelaran. Hal ini berlaku bukannya di tepi-tepi jalan atau di pasar, tetapi di pentas, tempat dan dewan yang memiliki status kemuliaan, malah lebih membimbangkan ada kalanya berlaku di tempat ibadat.

Bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina dengan suara yang tinggi semakin kedengaran, dilakukan tanpa segan silu, malah dilakukan dengan rasa megah, bangga dan riak.

Ungkapan kesat, lucah, fitnah, cercaan, cacian, maki hamun dan penghinaan, sepatutnya tidak terkeluar dari lidah seorang Muslim, seperti yang diperingatkan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang menjaga untukku di antara dua janggutnya (lidah) dan di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin syurga baginya.” (Hadis riwayat Ahmad).

Setiap Muslim perlu menjaga adab dan kesantunan khususnya dalam pergaulan sesama manusia.

Dalam usaha memenuhi tanggungjawab menyediakan generasi pewaris, kita wajib menyemaikan kesedaran dan mengasuh anak-anak didik kita, agar menjadi warga yang beradab dan bersopan. Asuhan dan didikan yang wajib dilaksanakan bermula di rumah, di pusat asuhan kanak-kanak, dan di semua peringkat persekolahan.

Pendidikan awal kanak-kanak dengan adab dan sopan sangatlah penting. Ibu bapa dan guru hendaklah mendidik dan mengasuh anak-anak dengan adab dan sopan seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam kesibukan Rasulullah SAW, baginda tidak pernah melupakan pendidikan adab kepada kanak-kanak. Dalam satu kisah, diriwayatkan oleh Umar bin Salamah, anak tiri Baginda menceritakan, “Ketika masih kecil, aku pernah dipangku oleh Rasulullah SAW, tanganku melayang ke arah dulang berisi makanan. Rasulullah SAW berkata kepadaku, ‘Anak, bacalah bismillah, lalu makanlah dengan tangan kanan dan ambillah makanan yang paling dekat denganmu.’ Maka seperti itulah cara makanku seterusnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ibu bapa dan guru hendaklah menjadi suri teladan terbaik. Pendidikan anak-anak tidak sempurna jika dibimbing sekadar untuk celik membaca, bijak menulis dan pintar mengira, tetapi menjadi insan yang tidak beradab dan tidak bersopan. Lenturlah buluh ketika rebungnya supaya mereka menjadi warga yang beradab dan bersopan apabila sampai ke menara gading dan apabila diamanahkan dengan jawatan yang penting dan pangkat yang tinggi.

Demikian juga dengan peranan penting para agamawan, pendakwah dan pemimpin untuk mempamerkan sebaik-baik contoh teladan mengutamakan adab dan sopan, dan menjadikan diri sebagai contoh terbaik mengamalkan pemikiran dan ajaran Islam menurut apa-apa yang dianjurkan dan diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, “kesopanan dan kesusilaan” merupakan asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera. Marilah kita bersama-sama berusaha mengamalkan sifat-sifat beradab dan bersopan yang menjadi mercu tanda Melayu Muslim zaman-berzaman.

Alangkah indahnya madah orang Melayu yang menyimpulkan ketinggian peribadi dengan menjadikan adab dan sopan sebagai sendi tertegaknya keperibadian Muslim yang sebenar:

“Tegak rumah kerana sendi,

Runtuh sendi rumah binasa;

Tegak bangsa kerana budi,

Runtuh budi hilanglah bangsa.”


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 2 Februari 2024, bertajuk “Adab dan Sopan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.