Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Terengganu – “Nadwah kepemimpinan sangat penting kepada para pelajar dalam usaha mempersiapkan pemimpin Islam untuk mengurus dan mentadbir negara dengan kepimpinan terbaik.”
Perkara tersebut diungkapkan oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia dalam program Bicara Insipirasi Tokoh bersempena dengan Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan Ke-41 Tahun 2023/2024 yang berlangsung di Dewan al-Farabi, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato’ Razali Ismail tengah hari tadi.
Menerusi program tersebut, YB Fadhlina meluangkan masa berdialog dengan para pelajar SBP tentang pelbagai perkara berkaitan dengan ciri kepimpinan yang perlu dimiliki oleh para pelajar.
Sebagai barisan kepimpinan pada masa akan datang, para pelajar dinasihatkan agar mengambil peluang untuk terlibat dalam pelbagai program, ruang bicara dan bacaan yang penting serta mendapatkan pendedahan dari dalam dan luar negara supaya dapat mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin negara.
Bagi menghadapi cabaran digital dan tekanan semasa seperti masalah kemurungan dan buli, YB Fadhlina menasihati para pelajar agar menepis segala dugaan yang dihadapi dengan kekuatan fizikal dan mental, serta mendapatkan bantuan menerusi ekosistem yang ada seperti mendapatkan bantuan daripada rakan sebaya atau guru kaunseling.
Selain itu, beliau turut memberikan penekanan terhadap hubungan komunikasi antara remaja dengan ibu bapa.
“Anak dan ibu bapa perlu saling memahami dan bertoleransi dalam pelbagai perkara agar dapat menjaga hubungan baik dan kerukunan keluarga,” katanya.
Bagi memastikan pemimpin yang lahir dalam kalangan pelajar ialah pemimpin berketerampilan dan pemimpin yang hebat, para pelajar juga diingatkan agar menjadi masyarakat yang mengamalkan budaya membaca.
Bagi memberikan inspirasi kepada pelajar, beliau turut berkongsi tentang bahan bacaan yang pernah dibaca oleh beliau seperti karya Baha Zain (Sasterawan Negara Dato’ Baharuddin Zainal), karya Usman Awang (Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang) dan karya Hamka (Abdul Malek Karim Amrullah) yang mengandungi pelbagai falsafah dan kritikan sosial yang amat tajam terhadap masyarakat.
Turut disentuh oleh beliau ialah keupayaan wanita menjadi pemimpin kerana pemimpin wanita juga amat penting dalam konteks memperjuangkan hak wanita.
Dalam segala usaha yang dilaksanakan, perkara yang paling penting yang diingatkan oleh beliau ialah:
Jangan ambil mudah hubungan kita dengan Tuhan. Kadang-kadang ujian kepimpinan ini kita tidak tahu dan macam-macam perkara boleh berlaku. Oleh sebab itu, asas kita pada peringkat awal perlu kuat. Kalau kita melakukan perkara baik, keyakinan kita juga perlu kuat.
Selain itu, YB Fadhlina turut menjelaskan kepada pelajar bahawa mereka perlu mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik demi masa depan mereka. Menurut beliau:
Takdir setiap insan itu boleh diubah dengan beberapa kriteria. Yang paling kuat ialah doa dan usaha.
Maka itu, YB Fadhlina menyeru semua pihak agar dapat mengurus bakat dalam kalangan pelajar dengan sebaik-baiknya kerana pengurusan bakat merupakan sesuatu yang mencabar bagi negara. Bagi mengembangkan bakat yang ada, para pelajar yang bakal menerajui kepimpinan pada masa akan datang diingatkan agar membuat persediaan awal, iaitu mempunyai perancangan dan persediaan, membudayakan pembacaan, meningkatkan penguasaan dan memiliki kepakaran.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Encik Sakri Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia; Tuan Haji Abdul Muie Ngah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM); Encik Ab Aziz Mamat, Pengarah Bahagian Pengurusan SBP, KPM; Kapten Shamsuddin Moner (B), Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM); Tuan Haji Jelani Sulung, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu; Dr. Hajah Narita Mohd Noor, Pengarah IPGM Kampus Dato’ Dr. Razali mewakili Rektor Pengarah Institut Guru Malaysia; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP; dan Tuan Haji Sulaiman Ngarif, Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit merangkap Jawatankuasa Pengelola Nadwah Kepemimpinan Islam SBP Peringkat Kebangsaan Ke-41.
Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2024 Negeri Terengganu. Negeri Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM32,357,700.00 untuk diagihkan kepada 504 buah sekolah yang melibatkan 212 718 orang murid dari tahun 2 hingga pelajar tingkatan 5 untuk sesi persekolahan tahun 2024/2025.
Nadwah Kepemimpinan Islam merupakan program tahunan SBP sejak tahun 1979 dan program tersebut terus dilaksanakan hingga kini yang bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang mencintai ilmu pengetahuan dan membudayakan ilmu dalam bentuk yang lebih praktikal.
Melalui program ini, para peserta diharapkan dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh serta mampu mengembalikan umat Islam kepada asas yang terkandung dalam al-Quran dan hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam.
Program anjuran Bahagian Pengurusan SBP dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini menghimpunkan 144 orang pelajar dan 71 orang guru pengiring dari semua SBP di seluruh negara.
Nadwah Kepemimpinan Islam merupakan program berbentuk latihan dan pendidikan ke arah membentuk generasi yang memiliki nilai keagamaan dalam kepimpinan.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang berlangsungnya program tersebut dari 24 hingga 28 Januari 2024 termasuklah sesi Latihan Dalam Kumpulan yang disampaikan oleh Jurulatih Utama Nadwah Kepemimpinan Islam yang juga merupakan guru penasihat Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) SBP; Sesi Ceramah Bersama-sama Ikon Kepimpinan Negara oleh Dato’ Dr. Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan, Timbalan Menteri Agama dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan YAB Perdana Menteri; dan Forum Nadwah oleh Ustaz Mohammad Fazril Moh Saleh, Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Rahman serta Tuan Haji Zulkiferee Ibrahim.
Program lain yang dilaksanakan ialah Ikon Dakwah, Pembentangan Fikrah Badar SBP @ Amalan Terbaik, Kembara Ilmu dan Pembinaan Pasukan.