26 Januari 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kestabilan ekonomi negara dan memelihara harta awam merupakan maqasid syariah yang dituntut, dan tugas mencapainya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh setiap rakyat. Cukai merupakan satu daripada sumber pendapatan yang amat penting bagi sesebuah negara. Hasil daripada cukai digunakan oleh kerajaan untuk belanja mengurus dan membangunkan negara.

Kerajaan juga membelanjakan hasil daripada cukai untuk membiayai perbelanjaan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan prasarana seperti membina jalan raya, perparitan, jambatan, hospital dan sekolah, menyediakan perkhidmatan sosial seperti perubatan, kesihatan, pendidikan dan kebajikan, serta untuk tujuan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Cukai merupakan satu daripada sumber pendapatan yang amat penting bagi pembangunan sesebuah negara.

Dalam Islam, istilah cukai mempunyai persamaan dengan al-kharaj yang membawa maksud perolehan yang diambil daripada harta atau pendapatan seseorang, pendapatan harta awam, sewaan, perolehan daripada orang perseorangan atau tanah, juga membawa maksud kadar-kadar tertentu yang dikenakan. Pada asalnya, sebahagian besar konsep al-kharaj merujuk cukai tanah, kemudiannya diguna pakai sehingga membawa kepada kewujudan pelbagai jenis cukai.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 94 yang bermaksud, “Mereka berkata: ‘Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (daripada hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?’”

Imam al-Syaukani menjelaskan bahawa al-kharaj dalam ayat tersebut bermaksud “daripada hasil pendapatan kami”. Ayat ini menjelaskan bahawa pemimpin diharuskan mengumpulkan sumber pendapatan negara, iaitu cukai bagi memelihara kepentingan negara dan rakyat.

Penghargaan diberikan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersempena dengan Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42 yang disambut pada 26 Januari. Umat Islam diseru untuk memberikan perhatian dan memberikan sokongan terhadap usaha Jabatan Kastam memungut cukai untuk menambahkan hasil negara.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia bertanggungjawab sebagai pentadbir cukai tidak langsung di negara ini. Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga bukan hanya bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang, namun turut berperanan untuk membantu meningkatkan kefahaman masyarakat akan tujuan baik di sebalik pemungutan cukai, dengan harapan lebih banyak rakyat tampil ke hadapan untuk membantu menjayakan tugas Jabatan Kastam Diraja Malaysia, di samping meningkatkan kesedaran rakyat agar secara sukarela mematuhi peraturan cukai dan bersedia membayar cukai secara jujur dan ikhlas.

Kewajipan membayar cukai merupakan tanggungjawab bersama untuk membolehkan hasil negara ditingkatkan. Negara yang berjaya memperoleh hasil yang lebih tinggi akan mempunyai dana yang lebih besar untuk dibelanjakan bagi tujuan pembangunan yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat. Dengan dana yang lebih besar, negara dapat menambahkan kemudahan perubatan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perhubungan, perumahan dan pelbagai lagi yang sangat diperlukan oleh rakyat.

Rakyat yang setia, sayang dan patriotik terhadap negaranya akan memenuhi tanggungjawab melunaskan cukai. Mengemukakan perakuan barangan bercukai secara palsu untuk mengelak daripada dikenakan cukai bukan sahaja merupakan perbuatan keji, bersifat mengkhianati negara dan rakyat, malah telah melakukan dosa kerana gagal mematuhi tuntutan fardu kifayah, malah tuntutan fardu ain, terhadap rezeki yang Allah kurniakan kepada seseorang.

Difatwakan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, perbuatan mengelak daripada membayar cukai menurut yang sewajibnya, dengan memberikan maklumat palsu berkenaan dengan pendapatan sebenar, menyamai perbuatan berdusta, perbuatan yang merupakan salah satu dosa di sisi syarak. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “ … manakala kedustaan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

(Hadis riwayat  al-Bukhari)

Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempunyai tanggungjawab yang amat penting sebagai barisan pertama negara memerangi kegiatan penyeludupan. Penyeludupan menyebabkan negara hilang pendapatan melalui cukai, bermakna hasil negara berkurangan, yang pastinya menjejaskan keupayaan negara untuk membelanjakan dana bagi kebajikan rakyat. Malah, kekurangan dana kerajaan turut memberikan kesan negatif terhadap usaha penguatkuasaan undang-undang untuk memulihara keselamatan negara dan keselamatan rakyat.

Islam mengharamkan perbuatan tidak membayar cukai atau membayar cukai secara mengelat dan tidak mengikut perkiraan yang betul.

Oleh itu, umat Islam diseru untuk menghayati perkara yang berikut sebagai pedoman  dalam kehidupan:

Pertama: Kita dituntut tidak berdiam diri terhadap kemungkaran atau perbuatan maksiat, kerana tugas amar makruf nahi mungkar diwajibkan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Allah SWT akan menurunkan azab jika kita memilih bersikap berdiam diri atas perkara mungkar seperti peringatan yang terkandung dalam Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh suatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Kedua: Kewajiban membayar cukai merupakan tanggungjawab semua rakyat. Haram hukumnya, perbuatan tidak membayar cukai atau membayar cukai secara mengelat, dengan tidak mengikut perkiraan yang betul dan tepat.

Hayatilah firman Allah SWT menerusi Surah Ali ‘Imran ayat 104:

Maksudnya: “Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 26 Januari 2024, bertajuk “Kewajipan Membayar Cukai Tanggungjawab Bersama”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.