21 Januari 2024, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Amalan solat berjemaah yang bersifat musiman, khususnya di kolej kediaman perempuan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilihat semakin subur sejak kebelakangan ini.

Hal ini dibuktikan dengan kehadiran penuh di Musala al-Haura’ bersempena dengan program solat hajat pada 18 Januari 2024 yang lalu, bagi menghadapi peperiksaan semester akhir yang bakal bermula pada hujung Januari ini.

Menurut pengarah program, Saudari Nur Athirah Alya, tidak mustahil untuk menghidupkan kembali amalan solat berjemaah dengan adanya pengisian yang malar segar bagi menarik penuntut perempuan mengimarahkan musala.

Saudara Harith Reazal menyampaikan perkongsian mendalam tentang persediaan menghadapi peperiksaan.

Beliau mengatakan bahawa sambutan hangat yang diterima menaikkan keyakinan majlis perwakilan kolej kediaman untuk menyebarluaskan aktiviti sebegini pada masa akan datang.

Majlis anjuran Mahallah Sumayyah ini menampilkan beberapa slot dengan pengisian yang segar, sekali gus memberikan nafas baharu kepada aktiviti solat hajat yang dianggap sekadar ritual biasa.

Majlis dimulakan dengan solat maghrib yang diimamkan oleh Saudara Saiful Hadi yang juga merupakan johan Pidato Hal Ehwal Islam Peringkat Kebangsaan 2023, diikuti dengan solat hajat, dan doa khusus yang dibacakan oleh Imam Saiful Hadi memohon ketenangan hati, ketajaman fikiran dan ketuntasan menjawab soalan peperiksaan, seterusnya bacaan Yasin beramai-ramai.

Sesi bergambar bersama-sama jemputan selepas majlis berakhir.

Gema suara jemaah memecah kesunyian kolej kediaman, diikuti dengan laungan qunut nazilah. Para jemaah menzahirkan solidariti bersama-sama rakyat Palestin yang tertindas dan ditindas oleh Israel. Doa dipanjatkan pada Rabbulizzati agar peperangan ditamatkan segera dan rakyat Palestin dapat menikmati kebebasan.

Bagi meredakan kegusaran siswi menghadapi peperiksaan, Saudara Harith Reazal tampil berkongsi tip dan persediaan beliau ketika bergelar penuntut undang-undang UIAM dan kemudian meneruskan pengajian dalam jurusan bahasa Arab di Universiti Kuwait. Kini, beliau masih meneruskan jihad ilmu dalam meraih ijazah sarjana muda undang-undang syariah di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim.

Menurut beliau, stres atau tekanan sentiasa ada, tetapi setiap individu perlu bijak menentukan prioriti dan jangan sesekali menjadikan orang lain sebagai kayu pengukur. Beliau tidak lokek berkongsi tip yang diamalkan setiap kali menghadapi peperiksaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.