21 Januari 2024, 21:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pelbagai daya dan usaha boleh dilakukan sebagai mewakili suara umum untuk memberikan tekanan demi tekanan kepada pihak musuh. Hal ini termasuklah usaha untuk melumpuhkan ekonomi dengan tindakan memboikot barangan dagangan mereka.

Sejarah pernah mencatatkan gerakan memboikot yang dilancarkan oleh kaum Quraisy terhadap Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya sebagai usaha untuk memprotes usaha dakwah Baginda. Sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Marhum Syeikh al-Buthi dalam kitabnya, Fiqh al-Sirah, usaha memboikot telah berlaku pada bulan Muharam tahun ke-7 hingga bulan Muharam tahun ke-10 kenabian.

Sesungguhnya usaha dan gerakan memboikot ini telah banyak berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Antaranya termasuklah ketika Baginda sampai di Madinah, Baginda telah membina sebuah pasar Madinah sebagai tanda memprotes terhadap pemilikan Pasar Bani Qainuqa’ oleh bangsa Yahudi. Mereka telah melakukan pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman terhadap para peniaga termasuklah mengenakan sewa pajak yang tinggi, monopoli, perjudian dan amalan riba.

Untuk memberikan keadilan kepada golongan yang ditindas, Baginda telah mendirikan sebuah pasar baharu yang disebut sebagai Pasar Madinah dan dijalankan aktiviti jual beli dengan aman dan adil. Hal ini disebutkan oleh Syeikh Safiyurrahman Mubarakfuri dalam kitab sirahnya, al-Rahiq al-Makhtum.

Selain itu, usaha memboikot monopoli oleh orang Yahudi juga telah dilakukan oleh Sayidina Uthman bin Affan yang membebaskan telaga Raumah daripada penguasaan Yahudi bagi manfaat umat Islam. Sayidina Uthman bin Affan telah membeli telaga Raumah yang pada asalnya dimiliki oleh Yahudi. Pada ketika itu, musim kemarau melanda Madinah, dan umat Islam sangat memerlukan bekalan sumber air. Malangnya, bekalan sumber air yang terdapat di telaga Raumah merupakan kepunyaan orang Yahudi.

Satu-satunya cara untuk umat Islam mendapatkan bekalan air pada ketika itu adalah dengan membeli telaga tersebut. Demi manfaat orang Islam, Sayidina Uthman telah menginfakkan hartanya dengan membeli telaga tersebut, sekali gus membebaskan telaga Raumah daripada penguasaan Yahudi.

Usaha memboikot telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW untuk memberikan keadilan kepada mereka yang ditindas.

Dalam Islam, aktiviti muamalat atau jual beli hukumnya harus, sama ada jual beli tersebut melibatkan orang Islam mahupun orang yang bukan Islam. Keadaan ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW yang telah berjual beli dengan orang Yahudi. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah r.a. yang bermaksud, “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda.”

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, ketika menjelaskan maksud hadis ini menyatakan bahawa keharusan berjual beli dengan orang bukan Islam sememangnya telah disepakati oleh para ulama. Namun begitu, keharusan tersebut terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja. Sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, menjalankan perniagaan yang dapat membantu menegakkan syiar agama mereka dan membeli kitab agama mereka, maka muamalat tersebut diharamkan.

Berdasarkan penjelasan tersebut, maka harus berjual beli dengan orang bukan Islam dengan syarat perkara tersebut tidak membantu mereka memerangi agama Islam. Melihat keadaan krisis Israel-Palestin yang tidak berkesudahan sejak 70 tahun lebih, maka seruan memboikot barangan Israel menjadi agenda utama umat Islam dalam usaha memberikan tekanan kepada Zionis dan sekutunya.

Usaha dan tindakan memboikot ini juga selari dengan perintah Allah SWT untuk tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan tidak bertolongan dalam kemaksiatan dan permusuhan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud, “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Dalam lembaran sejarah, perjuangan memboikot Israel-Yahudi telah bermula sejak tahun 1945 lagi. Pada tahun tersebut, satu resolusi dikeluarkan oleh Liga Arab bertajuk “The Boycott of Zionist Goods and Products” hasil pertemuan tujuh anggota Liga Arab pada 22 Mac 1945. Kempen memboikot berdasarkan resolusi ini adalah sebagai usaha memprotes kemasukan pendatang Yahudi dengan menghalang penjualan tanah terhadap mereka. Catatan sejarah juga menyatakan bahawa pada tahun 1951, Liga Arab telah menubuhkan Central Boycott Office di Damsyik bertujuan untuk menyelaraskan mekanisme dan aktiviti pemboikotan. Pun begitu, kerana faktor kebergantungan ekonomi pada kuasa dunia, akhirnya beberapa buah negara Islam mulai menamatkan tindakan memboikot ini seperti Mesir pada tahun 1970, Jordan pada tahun 1993 dan Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 1994.

Usaha memboikot barangan Israel-Yahudi bukanlah semata-mata kerana namanya Israel dan Yahudi, tetapi usaha memboikot ini adalah disebabkan permusuhan mereka terhadap agama Islam. Permusuhan dan kebencian bukanlah inti pati utama dalam ajaran Islam. Namun begitu, apabila ada pihak yang menyerang dan memusuhi Islam, maka tidak salah untuk mempertahankan diri dan agama ini, bahkan menjadi kewajipan umat Islam untuk berjuang dengan pelbagai cara termasuklah dengan usaha memboikot.

Sesungguhnya usaha memboikot ini merupakan satu daripada perjuangan berjihad pada jalan Allah. Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perangilah orang Musyrik dengan harta kamu, jiwa kamu dan lidah kamu.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Usaha memboikot barangan Israel bukanlah semata-mata kerana namanya Israel, tetapi disebabkan permusuhan mereka terhadap agama Islam.

Berdasarkan hadis ini, usaha memboikot termasuk dalam makna berjihad dengan harta kerana melalui harta wang ringgit yang dimiliki, kita boleh memilih untuk tidak membeli barangan Israel-Yahudi dengan sebab tidak mahu menjadi sebahagian daripada penyumbang ekonomi mereka. Maka dengan itu juga, dalam kitab alFiqh al-Manhaji dinyatakan beberapa jenis jihad yang memperincikan maksud keumuman jihad yang antaranya termasuklah jihad harta. Menjadi tuntutan kepada kita untuk menyumbangkan harta bagi menjamin keperluan manusia untuk membangunkan masyarakat Islam yang dicita-citakan.

Sesungguhnya kesempurnaan iman itu terletak juga pada keprihatinan akan nasib umat Islam yang ditindas. Pada pandangan kita, melihat umat Islam ada yang ditindas dan dibunuh itu bahawa mereka sedang diuji. Walhal, bagi kita yang melihat juga sedang diuji. Allah mahu menguji kita apakah tindakan yang diambil bagi membela nasib umat yang ditindas ini.

Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa jihad dengan harta dan diri ialah tanda kesempurnaan jihad. Pun begitu, semangat dan keghairahan kita untuk memboikot perlulah dilaksanakan dengan panduan ilmu dan adab. Usaha memboikot perlu jelas pada matlamatnya untuk menekan syarikat yang terlibat secara langsung menyumbang dana kepada Zionis.

Pada masa yang sama, umat Islam perlulah mengamalkan sikap tabayun apabila menerima maklumat dan bukannya bertindak semberono. Usaha ini juga perlu dilakukan dengan bijak dan berhikmah, bukan  bertindak secara ekstrem sehingga membakar kedai terlibat. Islam sangat menentang keras orang yang melampaui batas. Semoga Allah merahmati kita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.