19 Januari 2024, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Ciri-ciri orang bertakwa) iaitu orang yang membelanjakan harta pada waktu senang mahupun susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang yang melakukan kebaikan.”

(Surah ’Ali Imran 3:134)

Marah ialah naluri perasaan semula jadi, diciptakan oleh Ilahi dalam diri setiap manusia. Marah merupakan luahan perasaan tidak puas hati, atau berasa panas hati terhadap sesuatu perkara atau keadaan tertentu, ketika berasakan diri ditipu, dianiaya, dipermainkan dan sebagainya.

Kadangkala marah tercetus ketika seseorang sedang menghadapi masalah atau ujian kehidupan. Orang yang bersikap pemarah atau terlalu mudah marah hanya disebabkan kesalahan kecil, dikenali dengan istilah panas baran.

Mempunyai sikap marah yang sukar dikawal merupakan tabiat buruk yang perlu dijauhi demi kesihatan tubuh, kesejahteraan hidup dan kebaikan orang sekeliling. Sifat marah yang keterlaluan hanya mendatangkan pelbagai keburukan dan kesan tidak baik dalam kehidupan.

Pepatah Melayu berkias “marahkan nyamuk, kelambu dibakar”, menggambarkan orang yang sedang marah akan hilang pertimbangan akalnya sehingga tidak mempedulikan hukum agama, menyanggah adat dan tergamak melakukan tindakan luar kawalan tanpa memikirkan kesan buruknya.

Lazimnya, orang yang sedang marah sukar mengawal emosi, tidak mampu berfikir dengan baik dan bertindak mengeluarkan kata-kata kesat, menengking, mengherdik dan sebagainya. Tanpa disedari, kelakuan sedemikian boleh merungkaikan hubungan persaudaraan dalam kalangan ahli keluarga, bahkan boleh mengakibatkan terputusnya ikatan persahabatan jiran tetangga, rakan kerja dan sahabat handai.

Pada kebiasaannya, marah yang berpunca dari sifat dengki, dendam kesumat atau kebencian melampau boleh menjadi punca kepada kelakuan luar jangkaan atau perbuatan jenayah seperti memukul, mencedera, hatta ke peringkat sanggup membunuh.

Pergaduhan, keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, pertelingkahan antara pengguna jalan raya, perbalahan suami isteri yang membawa perceraian merupakan antara bentuk keterlanjuran kata dan perbuatan yang sebahagiannya dipengaruhi oleh nafsu marah yang tidak dikawal.

Oleh itu, ummah perlu beringat dan berwaspada akan keburukan yang boleh berlaku akibat kegagalan mengawal nafsu marah. Ummah hendaklah menyedari bahawa syaitan sentiasa mempengaruhi perilaku manusia sepanjang masa seperti maksud hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.” (Hadis riwayat Muslim)

Marah turut menjejaskan kesihatan tubuh badan. Ketika marah, berlakunya peningkatan tekanan darah, mengakibatkan pelaku menghadapi getaran badan, sesak nafas atau bernafas dengan lebih kencang di samping berhadapan risiko serangan jantung. Oleh itu,

Rasulullah SAW sangat menekankan agar manusia menjauhi marah sepertimana hadis Baginda yang bermaksud,

Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Sampaikan pesan kepadaku.’ Baginda menjawab, ‘Jangan marah.’ Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi Muhammad SAW tetap berkata, ‘Jangan marah.’

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Menjadi sunah kehidupan beragama, ada ketikanya manusia akan menempuhi fasa ujian yang menguji keimanan dan tahap kesabaran diri. Namun demikian, Islam menghendaki umatnya agar menjadikan ilmu dan iman sebagai panduan dalam usaha mengawal emosi serta menahan diri daripada sifat marah.

Ayat 134 Surah ’Ali Imran menunjukkan kedudukan istimewa di syurga akan dikurniakan untuk orang yang sentiasa mengawal kemarahan dan memilih untuk memaafkan kesilapan orang lain.

Cubaan menahan marah sukar dicapai tanpa kesedaran dan latihan yang betul. Oleh itu, Rasulullah SAW menyifatkan orang yang mampu menahan marah ialah orang yang kuat berdasarkan hadis yang bermaksud,Orang yang kuat itu bukanlah yang kuat berlawan, tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Syariat Islam membahagikan marah kepada dua, iaitu marah yang tidak dibenarkan dan marah yang dibenarkan. Marah tidak dibenarkan apabila tidak membuahkan faedah dan manfaat. Sementara itu, marah yang dibenarkan hanyalah dalam urusan mencemar dan melanggar perintah Ilahi. Sebagai contoh, Baginda pernah memarahi Usamah bin Zaid r.a. kerana membunuh musuhnya sekalipun musuh tersebut telah melafazkan syahadah.

Antara marah yang dibenarkan juga seperti berasa marah apabila ada pihak dengan sengaja menghina kesucian al-Quran atau menghina kerasulan Nabi Muhammad SAW. Diharuskan seorang guru memarahi anak muridnya yang malas belajar. Namun begitu, Islam mensyaratkan perasaan marah tersebut dikawal, tidak melampaui batas serta menjauhi tindakan yang melangkaui tatasusila dan kesopanan.

Satu daripada cara mengawal kemarahan seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW adalah dengan berwuduk.

Terdapat beberapa langkah boleh dilakukan bagi mengawal kemarahan, iaitu:

  • Pertama: Tenangkan diri dengan tidak berkata-kata, menarik nafas panjang dan cuba berfikir secara rasional.
  • Kedua: Beristighfar dan mengambil wuduk bagi meredakan marah selaras dengan saranan Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Abu Dawud, maksudnya: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api. Dan api akan dipadamkan dengan air. Jika seorang daripada kamu marah, hendaklah dia berwuduk.”
  • Ketiga: Dianjurkan untuk menukar posisi seperti maksud hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud: “Jika seorang daripada kalian sedang marah dalam keadaan berdiri, hendaklah dia duduk, jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia baring.”
  • Keempat: Amalkan senaman ringan setiap hari kerana senaman menghasilkan hormon endorfin (iaitu hormon kegembiraan) yang dapat menenangkan emosi.
  • Kelima: Dapatkan nasihat lanjut dengan merujuk pakar terapi di mana-mana pusat kesihatan sekiranya seseorang mendapati bahawa dirinya sukar melakukan pengawalan diri yang baik.
  • Keenam: Memastikan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta mendapat rehat yang cukup.

Sebagai kesimpulan, larangan Rasulullah SAW supaya tidak bersikap pemarah adalah berkaitan dengan perkara yang tidak mempunyai keperluan untuk bersikap sedemikian. Sebaliknya, marah boleh dilakukan jika menyentuh soal asas dalam kehidupan dan agama.

Marah yang melampau dan tidak dikawal akan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. Utamakan sifat sabar dan bertenang dalam apa-apa juga keadaan demi kesejahteraan hidup.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 19 Januari 2024, bertajuk “Menahan Marah”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.